ESEI SEJARAH CIRI-CIRI TAMADUN MESIR PURBA
Ciri tamadun Mesir Purba yang pertama ialah petempatan kekal. Kesemua nome telah berjaya disatukan oleh Firaun Menes menjadi sebuah kerajaan yang berpusat di Bandar Thinis. Kemudian, pusat pentadbiran berpindah ke Bandar Memphis dan akhirnya ke Bandar Thebes ketika kemuncak Zaman Pertengahan. Banda-bandar lain turut memainkan peranan sebagai tempat kediaman firaun, pusat pentadbiran, pusat perdagangan, pusat tumpuan penduduk dan pusat keagamaan. Ciri seterusnya ialah kehidupan berorganisasi. Firaun ialah ketua kerajaan Mesir Purba. Ciri-ciri firaun ialah berkuasa mutlak, dianggap suci dan dianggap sebagai jelmaan Tuhan Horus. Semasa pemerintahan dinasti ketiga dan keempat, firaun memakai gelaran Raja Matahari kerana dipercayai merupakan anak Tuhan Matahari iaitu Amon-Re. Peranan firaun ialah ketua pendeta, ketua hakim, ketua pahlawan dan pemilik tanah. Selepas firaun, lapisan seterusnya terdiri daripada rahib, golongan bangsawan, tuan tanah dan jurutulis. Petani, pedagang dan artisan yang merupakan rakyat bebas menduduki lapisan seterusnya. Golongan hamba menduduki lapisan terbawah. Ciri ketiga ialah sistem pemerintahan. Diketuai oleh firaun yang dibantu oleh golongan bangsawan. Tugas-tugas golongan bangsawan ialah menjalankan pentadbiran, menjaga keamanan, mengurus dan mengagihkan penghasilan makananan dalam negara. Hal-hal keagamaan diuruskan oleh para rahib. Orang awam yang dilantik untuk menulis segala rekod kerajaan ialah jurutulis. Kaum wanita turut diiktiraf sebagai pemimpin contohnya Firaun Hatshepsut yang telah membina terusan dan padang pasir ditukar menjadi tanah pertanian yang subur. Perkara ini membuktikan wanita mampu memerintah dan memiliki status yang tinggi. Ciri seterusnya ialah pengkhususan kerja. Mesir Purba berkembang maju dengan adanya pengkhususan kerja seperti penenunan, pembuatan barang tembikar dan penciptaan peralatan. Eksport utama Mesir Purba ialah kertas dan tekstil. Wujudnya pelabuhan-pelabuhan seperti Thebes, Memphis dan Fayoum. Ciri selanjutnya ialah agama dan kepercayaan. Konsep politeisme diamalkan oleh orang Mesir Purba. Setiap tuhan dikaitkan dengan unsur alam seperti Re (Tuhan Matahari), Ra-Ataum (Tuhan Langit) dan Amun (Tuhan Angin). Mereka mempercayai kehidupan selepas mati, menyebabkan makan mayat dipenuhi dengan keperluan hidup. Jumlah barangan yang dikebumikan mencerminkan status mayat. Ciri terakhir ialah sistem tulisan. Sistem tulisan Tamadun Mesir Purba dipanggil hieroglif. Sistem tulisan ini merupakan gabungan gambar dan symbol yang berdasarkan bunyi. Kepentingan sistem tulisan ialah mencatat rekod aktiviti pertanian, merekod pengutipan cukai, tujuan agama dan tujuan amalan ritual kepercayaan.
SUMBANGAN TAMADUN MESIR PURBA Tamadun Mesir Purba telah menyumbang banyak perkara. Sumbangan yang pertama ialah dari segi seni bina. Seni bina tersebut ialah pembinaan piramid. Pembinaan piramid bermula daripada ilham Imhotep iaitu ahli fizik, arkitek dan penasihat penting Firaun Djoser. Beliau memperkenalkan teknik pembinaan bangunan menggunakan batu-bata. Beliau telah membina piramid Sakkara, piramid yang tertua dan binaan batu pertama di dunia untuk Firaun Djoser. Pembinaan piramid menggambarkan kreativiti masyarakat Mesir Purba dalam bidang pembinaan. Sumbangan kedua ialah dari segi pendidikan dan penggunaan kertas yang dicipta daripada pokok papyrus. Penciptaan kertas telah memudahkan penyimpanan dan meninggalkan kebergantugan pada batu bata untuk menyimpan segala khazanah bangsa. Sistem pe ndidikan adalah untuk kanak-kanak keluarga atasan yang diberi pendidikan sejak kecil. Tujuannya ialah untuk melahirkan pegawai kerajaan khususnya jurutulis golongan terlatih dan melahirkan golongan terlatih yang boleh menguruskan hal ehwal pertanian, pengawalan air Sungai Nil dan pembinaan piramid. Bidang pendidikan yang diajar adalah ilmu geometri, matematik dan sains. Institusi pendidikan diuruskan oleh rumah ibadat yang berada di bawah pentadbiran kerajaan. Sumbangan seterusnya ialah ilmu perubatan yang telah melahirkan pengamal perubatan. Pengamal perubatan telah mendapat kedudukan yang tinggi dalam masyarakat Mesir Purba. Mereka berkhidmat untuk firaun dan masyarakat. Proses memumiakan mayat membuktikan kemajuan dalam bidang perubatan. Tamadun ini memberi sumbangan penting dalam bidang fizik, kimia, perubatan dan pembedahan. Sumbangan selanjutnya ialah ilmu matematik dan astronomi. Perkembangan ilmu matematik meliputi bidang algebra, geometri dan astronomi. Kepentingan ilmu matematik ialah membolehkan orang Mesir Purba mengawal banjir Sungai Nil, mencipta sistem pengairan yang membolehkan mereka menukarkan kawasan padang pasir kepada kawasan tanah pertanian. Firaun Senuusret telah membina sebuah tembok pengairan sepanjang 123 kilometer bagi menebus guna kawasan padang pasir dan membina terusan untuk mengairkan kawasan seluas 10 000 hektar. Selain itu, kepentingan ilmu astronomi dan matematik ini membolehkan orang Mesir Purba memperkenalkan sistem kalender 365 hari berdasarkan 12 bulan setahun. Sumbangan selanjutnya ialah sistem tulisan. Masyarakat Mesir Purba mencipta tulisan hieroglif iaitu tulisan bergambar. Tulisan ini adalah dalam bentuk rekod yang tertulis dan terpahat. Kepentingannya ialah memberi maklumat tentang keagungan Tamadun Mesir Purba.
PROSES PEMBENTUKAN TAMADUN MESIR PURBA Pada Zaman Logam, masyarakat di Lembah Nil mencapai tahap kebudayaan gangsa sejak tahun 5000 S.M.. Mereka membina sistem perparitan dan pengairan yang baik untuk pertanian dengan menggunakan alat-alat logam ini. Ini membolehkan manusia yang mendiami lembah ini membina peralatan kawalan air dan terusan untuk meninggikan lagi nilai kesuburan tanah. Petempatan kekal berasakan pertanian wujud dan berkembang menjadi perkampungan. Kawasan perkampungan pula bergabung membentuk beberapa buah bandar. Bandar-bandar bergabung membentuk sebuah daerah atau nome. Kesemua nome disatukan dan sebuah bandar akan menjadi pusat pentadbiran. Contohnya ialah bandar Thebes, Thinis dan Memphis.