OUMM3203 Etika Profesional
Faktor-faktor yang Membentuk Etika Individu
1.0 PENGENALAN
Pada 28 Februari 1991, mantan Perdana Menteri Malaysia yang keempat iaitu Tun Dr Mahathir Mohamed telah membentangkan satu kertas kerja bertajuk "Malaysia – Melangkah ke Hadapan" semasa pelancaran Majlis Perdagangan Malaysia. Kertas kerja tersebut mengandung satu gagasan pemikiran dan rangka kerja mengenai matlamat Malaysia menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020. Gagasan tersebut kemudiannya dikenali sebagai "Wawasan 2020".
Matlamat utama yang dicita-citakan dalam wawasan ini ialah pembentukan sebuah negara Malaysia yang benar-benar maju menjelang tahun 2020. Kemajuan yang dimaksudkan bukan sahaja terhad kepada bidang ekonomi sahaja malah merangkumi politik, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan. Ini bermakna Wawasan 2020 bertujuan mentransformasikan Malaysia kepada sebuah negara maju berdasarkan acuannya sendiri tanpa meniru cara dan corak negara-negara maju yang wujud sekarang. Kemajuan yang dicita-citakan ialah kemajuan yang sempurna dan tidak hanya diukur daripada sudut pembangunan materialistik sahaja. Oleh itu, dalam gagasan ini kerajaan bertekad untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang sempurna berlandaskan kepada nilai-nilai moral dan etika yang tinggi. Kehendak ini adalah bertepatan dengan cabaran ketujuh yang terkandung dalam Wawasan 2020. Cabaran ketujuh tersebut adalah membentuk sebuah masyarakat berbudi yang berbudaya penyayang, sebuah sistem sosial yang lebih mementingkan masyarakat daripada diri sendiri, dengan kebajikan rakyat tidak diasaskan kepada negara mahupun individu tetapi pada sistem kekeluargaan yang kukuh lagi mantap.
Masyarakat yang sempurna seharusnya berpegang teguh kepada falsafah moral dan etika yang tinggi demi untuk kesejahteraan dan keharmonian sesebuah negara. Menghayati dan mengamalkan falsafah moral dan etika adalah penting kerana kemajuan daripada segi kebendaan sahaja akan menyebabkan sesebuah masyarakat dan negara itu pincang. Penghayatan dan amalan nilai-nilai moral dan etika oleh setiap anggota masyarakat akan menjadi penghalang dalaman kepada mereka untuk tidak menyalahgunakan kemahiran atau kelebihan yang dimiliki untuk mengganggu hak orang lain.
2.0 Definisi
Pembentukan etika yang baik adalah bermula daripada diri seseorang individu itu sendiri. Seseorang itu perlu memiliki satu set panduan dan peraturan yang berhubung kait dengan tingkah laku bagi mengawal dirinya dalam setiap tindakan yang dilakukan. Dengan berasaskan etika yang ada maka konflik terhadap keinginan boleh diselesaikan dan seterusnya meningkatkan fungsi sosial seseorang individu. Secara umumnya etika merupakan teori yang berkaitan dengan tindakan, hujah dan tujuan yang mengarah kepada makna sesuatu tindakan. Etika tidak bersangkutan dengan fakta atau fizikal manusia tetapi merupakan satu disiplin ilmu yang mengkaji tentang moral, prinsip moral, kaedah moral dan tindakan serta kelakuan manusia yang betul.
Daripada sudut bahasa, etika atau 'ethics' bermaksud sikap dan adat yang menentukan tingkah laku sesuatu golongan. White (1993) mendefinisikan etika sebagai salah satu cabang falsafah yang berkaitan dengan kebaikan moral (virtue moral) dan menilai tindakan manusia. Falsafah etika adalah berbeza daripada undang-undang keagamaan dan budaya. Pendekatan secara peribadi kepada etika adalah menerusi kajian tingkah laku tentang moraliti melalui rasional yang dilihat kepada kehidupan manusia. Menurut Sahakian et.al. (1993), etika berasal daripada bahasa Greek kuno iaitu ethos yang bermaksud "falsafah moral". Etika merupakan salah satu cabang utama falsafah yang merangkumi kelakuan betul dan kehidupan baik. Liputan etika adalah lebih luas daripada menganalisis apa yang betul dan salah. Salah satu aspek utama etika ialah "kehidupan baik", iaitu kehidupan yang bernilai atau memuaskan. Pencarian summum bonum atau "kebaikan yang terbaik" merupakan salah satu isu utama dalam etika. Tindakan yang betul akan membuahkan kebaikan yang terbaik, manakala tindakan yang tidak bermoral akan mengakibatkan hasil yang sebaliknya.
Etika boleh juga didefinisikan sebagai sains moral dan prinsip-prinsip moral, iaitu sesuatu yang dipertanggungjawabkan untuk menentukan tindakan seseorang itu sama ada baik ataupun buruk (Ahmad Khamis, 1999). Berdasarkan definisi etika yang telah dibincangkan, etika berkaitan dengan konsep-konsep moral seperti kebaikan, kejahatan, benar, salah, kewajipan, tanggungjawab, keadilan dan sebagainya. Oleh itu dapatlah disimpulkan bahawa etika ialah prinsip-prinsip tingkah laku yang bertanggungjawab untuk menentukan tindakan yang diambil oleh seseorang individu itu boleh diterima daripada segi moral atau sebaliknya. Setiap individu perlu mempunyai etika yang boleh diterima oleh setiap anggota masyarakat di sekelilingnya. Individu yang tidak mempunyai etika yang seimbang akan membawa kepada konflik sosial seperti rasuah, pecah amanah, tidak bertanggungjawab, cuai dalam tugas dan sebagainya.
2.1 Etika Profesional
Profesional boleh ditakrifkan sebagai keupayaan dan kecekapan dalam melaksanakan sesuatu tanggungjawab berdasarkan ilmu, latihan dan kepakaran. Etika professional pula merujuk kepada etika dalam sesuatu profesion dan bidang profesional. Menurut Mohd Janib Johari (2001), etika profesional merupakan satu alat kawalan sosial terhadap golongan profesional yang membolehkan organisasi dan masyarakat mengawasi dan menilai tingkah laku mereka dari semasa ke semasa. Secara ringkasnya, etika profesional boleh disimpulkan sebagai satu panduan dan tatacara yang menentukan kualiti moral, profesional dan nilai.
Dalam sesuatu profesion, etika profesional dijadikan sebagai panduan oleh setiap kakitangan dalam melakukan tugasan yang mereka pikul. Etika tersebut perlu dipatuhi untuk mengelakkan sebarang masalah atau konflik sosial seperti jenayah ketika menjalankan tanggungjawab. Kesimpulannya, etika profesional ialah satu garis panduan yang bertujuan untuk meningkatkan tahap disiplin, kualiti dan produktiviti seseorang kakitangan dalam sesebuah organisasi. Etika profesional memberi penekanan terhadap semua aspek yang berkaitan dengan peraturan, peradaban, peranan nilai serta tingkah laku profesion dalam masyarakat. Prinsip etika ini perlu difahami dan diaplikasikan oleh setiap anggota masyarakat dalam apa juga perkara yang dilakukan.
3.0 Faktor-faktor Mempengaruhi Etika Individu
Etika individu dipengaruhi oleh beberapa faktor. Faktor-faktor tersebut ialah keluarga, rakan, pengalaman hidup, nilai peribadi dan prinsip moral dan faktor keadaan.
3.1 Pengaruh Keluarga
Secara umumnya, kanak-kanak akan meniru atau mencontohi perilaku dan etika ibu bapa mereka. Sekiranya ibu bapa beretika, maka kanak-kanak juga akan beretika. Begitu juga jika berlaku sebaliknya.
3.2 Pengaruh Rakan
Faktor pengaruh rakan merupakan salah satu faktor yang paling berpengaruh dalam pembentukan etika seseorang individu. Untuk melihat keperibadian seseorang, kita hanya perlu melihat keperibadian rakan mereka. Jika kita berkawan dengan seseorang yang beretika dan mempunyai keperibadian yang baik, maka kita juga akan turut mempunyai etika dan keperibadian yang baik. Begitu juga sebaliknya.
3.3 Pengalaman Hidup
Pengalaman hidup juga amat berpengaruh dalam membentuk etika individu. Sekiranya sesuatu perbuatan yang tidak bermoral seperti mencuri tidak mendapat teguran atau hukuman, maka perbuatan mencuri itu dianggap bukan satu kesalahan. Tetapi sekiranya seseorang itu dihukum kerana kesalahan mencuri, maka dia akan mengetahui perbuatan tersebut adalah satu kesalahan.
3.4 Nilai Peribadi dan Prinsip Moral
Faktor ini dipengaruhi oleh kedudukan seseorang. Individu yang mengutamakan kedudukan pangkat dan kewangan akan bertindak berdasarkan keuntungan tanpa mengira implikasinya terhadap individu lain.
3.5 Faktor Situasi
Faktor situasi turut mempengaruhi etika seseorang. Walaupun sesuatu perilaku itu diketahui tidak beretika, tetapi faktor situasi boleh menyebabkan seseorang melanggar etika tersebut. Seorang ahli perniagaan yang mengalami masalah kewangan boleh bertindak mengubahsuai keuntungan perniagaan untuk mengurangkan cukai yang dikenakan.
4.0 Tiga Faktor yang Membentuk Etika Individu
Faktor-faktor seperti pengaruh keluarga, pengaruh rakan dan pengalaman hidup merupakan beberapa faktor yang utama dalam membentuk etika individu. Faktor-faktor tersebut akan dibincangkan di bawah.
4.1 Pengaruh Keluarga
Ahli-ahli keluarga merupakan sekumpulan individu yang paling hampir dengan kanak-kanak semasa mereka membesar. Ibu bapa dalam sesebuah keluarga mempunyai pengaruh yang besar terhadap pembentukan etika kanak-kanak. Segala kelakuan dan perbuatan yang diamalkan oleh ahli-ahli keluarga terutamanya ibu bapa akan ditiru dan diamalkan oleh kanak-kanak. Oleh itu, sekiranya ibu bapa mereka mempunyai etika yang positif, maka kanak-kanak tersebut akan meniru dan mengamalkan etika positif tersebut dalam kehidupan mereka. Ibu bapa yang mengamalkan gaya hidup yang bersih, sihat serta menghormati orang lain akan turut mempengaruhi etika anak-anaknya. Kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa seperti ini akan membesar menjadi individu yang beretika, menghormati orang lain dan menjadi seorang warganegara yang berguna.
Tetapi sekiranya ibu bapa kanak-kanak tersebut menunjukkan etika yang negatif, maka kemungkinan besar kanak-kanak tersebut akan membesar dengan perilaku dan etika yang negatif. Contohnya, seorang bapa yang melakukan penderaan fizikal terhadap anak-anaknya boleh mendatangkan kesan negatif ke atas fizikal dan psikologi mereka. Isu penderaan ialah suatu isu yang berkaitan dengan salah laku jenayah yang boleh menyebabkan seseorang menerima akibat atau kesan buruk daripada penderaan. Kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan akan mengalami trauma yang berpanjangan dan akan mempengaruhi hidupnya sehingga dewasa. Apabila individu tersebut berkeluarga dan mempunyai anak, besar kemungkinan dia juga akan menjadi seorang pendera. Oleh itu, ibu bapa sepatutnya menjadi seorang idola dan contoh terbaik kepada anak-anaknya dengan mengamalkan perilaku yang beretika.
Asuhan dan cara didikan ibu bapa terhadap kanak-kanak juga mempengaruhi pembentukan etika mereka. Ibu bapa yang bersikap penguasaan serta autokratik akan mewujudkan individu yang begitu taat kepada arahan tetapi menjadi pasif dalam tingkah laku mereka. Sebaliknya, ibu bapa yang mengamalkan sikap bebas akan mendapati sikap anak-anaknya tidak bersopan-santun, tidak bertanggungjawab dan tidak boleh berdikari. Ibu bapa yang mengamalkan cara demokrasi dan membincangkan masalah-masalah dengan anak-anak mereka serta mempertimbangkan pendapat anak-anak, apabila membuat keputusan-keputusan penting, akan mendapati anak-anak mereka mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Kanak-kanak yang membesar dalam suasana yang kondusif akan menjadi seorang individu yang aktif, cerdas dan lebih bersopan santun.
4.2 Pengaruh Rakan
Rakan sebaya merupakan satu lagi faktor yang mempengaruhi proses pembentukan etika dalam diri individu. Pengaruh keluarga semakin merosot apabila kanak-kanak meningkat remaja. Apabia mereka menjadi semakin dewasa, kumpulan rakan sebaya menjadi pengaruh yang lebih berkesan dalam proses pembentukan budi pekerti mereka. Oleh kerana keperluan untuk diterima oleh kumpulan rakan sebaya amat penting kepadanya, seseorang remaja akan menepati norma dan nilai yang ditonjolkan oleh kumpuan tertentu. Ini boleh membawa sama ada kesan positif ataupun negatif. Contohnya, sekiranya rakan-rakan dalam sesebuah kumpulan rakan sebaya tersebut mempunyai standard etika yang tinggi seperti mementingkan disiplin diri dan pelajaran maka besar kemungkinan individu-individu dalam kumpulan tersebut juga akan menerima standard etika tersebut.
Tetapi pengaruh rakan sebaya juga kadang kala mewujudkan keadaan yang tidak menyenangkan seperti vandalisme. Pengaruh rakan sebaya boleh menyebabkan vandalisme. Golongan remaja biasanya lebih mudah meniru dan terpengaruh dengan rakan sebaya. Pengaruh rakan sebaya akan mencorakkan sikap, nilai dan tingkah laku remaja, lebih-lebih lagi remaja yang tercicir dan menghadapi masalah keluarga. Kebiasaannya, golongan remaja yang melakukan vandalisme merupakan remaja dalam kumpulan. Mereka tidak mempunyai tujuan dan apabila berkumpul maka timbullah pelbagai idea termasuklah menconteng harta benda awam dan merosakkannya.
Kanak-kanak atau remaja yang berasal dari keluarga bermasalah mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya yang mungkin senasib dengannya dan membentuk kumpulan tersendiri. Kumpulan ini mudah terpengaruh dengan anasir-anasir jahat. Mereka akan membuat sesuatu di luar jangkaan untuk menarik perhatian orang lain. Kemunculan golongan rendah moral dan tidak bertanggungjawab yang menaja budaya hedonisme dalam kalangan remaja seperti Black Metal sudah cukup memberi cabaran kepada ibu bapa, guru-guru, kerajaan dan masyarakat untuk membimbing dan mendidik remaja sekolah ke arah pengalaman budaya sihat. Kesimpulannya, pengaruh rakan sebaya akan mencorak sikap, tingkah laku dan etika individu terutamanya mereka yang berasal daripada keluarga bermasalah dan tercicir dalam pelajaran.
4.3 Pengalaman Hidup
Setiap memori serta pengalaman yang dialami oleh individu sebenarnya menjadi satu pedoman dan pengajaran untuk meneruskan kehidupan. Setiap pengalaman yang diperoleh hasil daripada tindakan yang diambil oleh individu sama ada beretika atau tidak akan mendorongnya untuk meneruskan perbuatan tersebut atau meninggalkannya. Ini sebenarnya menjadi salah satu faktor pembentukan etika dalam diri individu. Contohnya, seorang pelajar yang suka meniru dalam peperiksaan tetapi tidak pernah mendapat teguran atau hukuman, maka perbuatan meniru itu dianggapnya bukan satu kesalahan. Tetapi sekiranya pelajar itu didapati bersalah meniru dalam peperiksaan dan dihukum, maka dia akan mengetahui perbuatan tersebut adalah satu kesalahan dan akan berhenti melakukannya.
Seseorang yang menyara hidupnya dengan meragut akan terus menjalankan aktiviti tidak beretika tersebut sekiranya tidak mendapat tentangan atau hukuman. Selagi dia belum ditangkap dan dijatuhkan hukuman, dia akan terus melakukan kegiatan tersebut kerana merasakan perbuatannya itu bukanlah satu kesalahan besar. Tetapi sekiranya individu tersebut dihukum kerana meragut, maka dia akan mengetahui bahawa perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan besar.
Sekiranya seseorang individu itu melakukan kebaikan, seperti memulangkan dompet pelancong yang tercicir dalam bas dan diberikan ganjaran di atas perbuatannya itu akan terus melakukan kebaikan. Ganjaran dan penghargaan yang diberikan kepadanya atas perbuatan baiknya itu akan menjadi satu motivasi kepada dirinya untuk terus mengamalkan etika dan perilaku yang positif.
5.0 Undang-undang Sebagai Panduan untuk Pilihan Moral
Undang-undang adalah satu set peraturan yang konsisten dan digubal oleh masyarakat untuk mengawal kelakuan masyarakat dan telah diterbitkan (published), diterima (generally accepted) dan dikuatkuasakan (enforced). Secara ringkasnya, undang-undang adalah satu set peraturan yang dibina oleh masyarakat untuk menguasai atau mengawal kelakuan di dalam sesebuah masyarakat. Semua keputusan yang akan diambil perlu ditentukan oleh undang-undang kerana masyarakat telah membina satu set peraturan yang dibuat secara kolektif oleh anggota masyarakat tersebut mengenai tindakan dan kelakuan yang harus dibuat apabila berlaku dilema moral.
Undang-undang memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia. Salah satu daripada kepentingan undang-undang ialah mengatur pelbagai perjalanan hidup manusia tidak mengira pangkat, warna kulit, agama, ideologi politik dan sebagainya. Ini terbukti apabila undang-undang itu sendiri mengatur dan menentukan peranan institusi atau badan kerajaan dalam sesebuah negara. Selain daripada itu, undang-undang juga berperanan sebagai ejen keamanan dan kesejahteraaan. Undang-undang digunakan untuk mengawal ahli-ahli masyarakat daripada melakukan sebarang tindakan yang salah dan memudaratkan diri dan orang ramai. Individu yang melanggar peraturan undang-undang akan dikenakan hukuman yang setimpal dengan perbuatan mereka. Hukuman tersebut dibuat bertujuan untuk memberi pengajaran kepada si pelaku dan orang ramai. Oleh yang demikian, hak-hak dan kebebasan setiap individu akan terpelihara dan akhirnya satu bentuk kehidupan sosial dan poitik yang stabil dapat diwujudkan.
Apa yang paling utama ialah, undang-undang dapat dijadikan sebagai panduan untuk pilihan moral. Ini bermaksud seseorang individu di dalam sesebuah masyarakat perlu merujuk kepada undang-undang apabila berhadapan dengan dilema etika sama ada di dalam atau di luar organisasi. Setiap individu yang tinggal di dalam negara Malaysia tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) yang bertujuan untuk melindungi rahsia keselamatan negara. Akta ini boleh dijadikan panduan untuk bertindak apabila berlaku situasi seperti berikut. Romeo, anak seorang imigran daripada sebuah negara jiran kini bertugas sebagai anggota polis di sebuah daerah di pantai timur Sabah. Walaupun keluarga Romeo sudah lama menetap di Malaysia, namun mereka masih mempunyai hubungan yang rapat dengan ahli-ahli keluarga di negara asal mereka. Romeo menghadapi dilema etika apabila berlaku konflik di antara kerajaan dengan sebuah kumpulan militan di negara asal ayahnya.
Sepupu kepada ayahnya, seorang jeneral dalam kumpulan tersebut meminta Romeo untuk menyalurkan maklumat tentang rahsia dan kekuatan pihak polis di daerah tersebut kepadanya. Romeo percaya maklumat tersebut akan digunakan untuk menyerang balai-balai polis di daerah tersebut. Sebelum mengambil tindakan yang sesuai, Romeo terpaksa menimbangkan beberapa faktor seperti tali persaudaraannya dengan jeneral tersebut, keselamatan keluarganya dan juga kesetiaannya kepada negara. Sebagai anggota keselamatan, Romeo merujuk kepada undang-undang sebagai panduan kepadanya untuk bertindak. Sekiranya dia bersetuju untuk menyampaikan maklumat tentang kekuatan dan rahsia polis tersebut kepada pihak musuh, kemungkinan besar Romeo akan dianggap sebagai pengintip. Seksyen 3 iaitu pengintipan bagi maksud yang mudarat kepada keselamatan atau kepentingan Malaysia dalam Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) memperuntukan penjara seumur hidup kepada pesalahnya. Atas nilai etika yang tinggi dalam diri dan kesetiaannya kepada negara, akhirnya Romeo mengambil keputusan bijak menolak permintaan jeneral tersebut dengan tegas.
Walaupun Romeo telah menolak permintaan jeneral tersebut, dia masih percaya bahawa kumpulan militan tersebut pasti akan mengotakan hasrat mereka untuk menyerang balai-balai polis di daerah tersebut dalam masa yang terdekat. Romeo juga sebenarnya masih lagi menghadapi dilema etika, kerana berpandukan kepada Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) dia masih lagi boleh dikenakan tindakan undang-undang. Ini kerana mengikut Seksyen 7 (a) akta yang sama, dia masih boleh dipenjara tidak kurang daripada satu tahun tetapi tidak lebih daripada lima tahun atas kesalahan tidak melaporkan kejadian bahawa terdapat individu yang meminta rahsia rasmi. Sebagai seorang anggota polis yang menjunjung tinggi undang-undang dan rasa tanggungjawab untuk mengekalkan keselamatan dan keamanan, akhirnya dia melaporkan perihal jeneral dan kumpulan militan tersebut kepada pegawai atasannya.
Undang-undang juga boleh dijadikan panduan untuk bertindak apabila berhadapan dengan dilema etika di dalam jabatan-jabatan kerajaan. Contohnya, seorang pembantu jurutera telah menemui bukti bahawa seorang jurutera awam di sebuah jabatan kerajaan telah menerima rasuah untuk memberikan kelulusan sijil layak menduduki bangunan apartmen kos sederhana yang telah siap dibina. Setelah membuat pemeriksaan, pembantu jurutera tersebut telah mendapati banyak spesifikasi yang tidak dipatuhi dan berkemungkinan menimbulkan masalah keselamatan pada masa akan datang. Dia ingin membuat aduan kepada pihak-pihak berwajib mengenai perkara tersebut tetapi bimbang tindakannya itu boleh menjejaskan kerjaya dan keselamatan dirinya. Atas nasihat rakan-rakan serta nilai etika yang tinggi, akhirnya dia melaporkan perkara tersebut kepada pihak berwajib kerana yakin dia akan dilindungi oleh Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) yang dikuatkuasakan pada 15 Disember 2010. Akta yang baru digubal ini memperuntukan perlindungan terhadap pemberi maklumat yang telah mendedahkan sesuatu kelakuan tidak wajar. Perlindungan yang diberikan merangkumi, perlindungan maklumat sulit, kekebalan daripada tindakan sivil atau jenayah yang cuba dikenakan terhadap pemberi makumat dan juga perlindungan terhadap tindakan yang memudaratkan.
KESIMPULAN
Etika merupakan salah satu unsur yang penting dalam kehidupan manusia. Berdasarkan kepada perkara-perkara yang telah dibincangkan sebelum ini, ternyata etika membantu membentuk keharmonian, kesejahteraan, kerukunan dan kedamaian hidup. Daripada sudut individu, seseorang yang beretika sentiasa menjaga perilaku dirinya agar tidak bertentangan dengan nilai dan kehendak moral sesebuah masyarakat.
Individu yang beretika mempunyai kualiti emosi yang membantunya membentuk sifat-sifat sabar, pengasih, rasional, bertimbang rasa dan sebagainya. Dari segi mental pula, orang yang beretika mulia tidak gemar memikirkan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Individu seperti ini akan sentiasa membuat pertimbangan daripada sudut baik dan buruk sesuatu perkara sebelum mengambil sesuatu tindakan. Oleh itu, individu yang sentiasa mengamalkan etika yang baik mempunyai sifat-sifat terpuji dan siasah diri yang unggul walau di mana sahaja dia berada kerana nilai etika telah membentuk falsafah hidup, gaya berfikir dan tindak- tanduknya.
Sesebuah kelompok manusia yang dipenuhi oleh individu-individu yang mempunyai nilai etika yang tinggi, akan membentuk keluarga, organisasi dan masyarakat yang lebih progresif, aman, damai dan harmonis. Negara juga akan turut aman, damai, maju dan mempunyai imej yang tinggi di peringkat antarabangsa. Selagi sesuatu bangsa itu dapat mengekalkan tahap amalan etika yang tinggi, selama itulah bangsa itu akan terus maju dan berkembang. Sejarah telah membuktikan perkara ini di mana beberapa tamadun agung yang pernah mengukir nama akhirnya tumpas dan lenyap seperti tamadun Babylon di Iraq, Mesir, Rome, Melaka dan banyak lagi hanya disebabkan oleh pemimpin dan ahli masyarakatnya sudah tidak bermoral dan beretika lagi.
2, 924 patah perkataan
RUJUKAN
Ahmad Khamis. (1999). Etika (Pendidikan Moral) untuk Institusi Pengajian Tinggi.
Selangor: Budiman Sdn Bhd.
Dr Ho Jo Ann & Dr Tee Keng Kok. (2011). Professional Ethics. Selangor Darul Ehsan:
OUM.
Mohd Jabib ohari. (2001). Etika Profesional. Johor: Universiti Teknologi Malaysia.
Prof Dr Ansary Ahmed et. Al. (2007). Pengenalan Pendidikan Moral. Selangor Darul
Ehsan: OUM
Rahmad Shukor. (2009). Pendidikan Moral: Tahun 3. Selangor Darul Ehsan: OUM.
Sahakin et.al. (1993). Ideas of the Great Philosophers. Pg31. Barnes and Noble Books.
White, T.I (1993). Busines Ethics: A philosophical Readar. New York: MacMiller
Pub. Co.
www. Agc.gov.my/Akta/vol.2/Akta 88.pdf (Diakses 7 Mac 2013)
www. Bheauu.gov.my/pdf/Akta/Akta 711.pdf (Diakses 7 Mac 2013)