10
Seruan DAKWAH (kpd ketuhanan ) dan ancaman penentangannya
terletak dalam ayat 33 setiap surah surah
InsyaAllah jika direnungkan dengan penuh muhasabah pasti anda akan mengetahui dan meyakini bahawa ayat-ayat ini adalah merupakan perintah serta sumber untuk berdakwah.(Sebaiknya dibaca dalam teks Arabnya yang asal untuk perenungan)
Saya hanya menyampaikan hak Allah s.w.t kepada kamu semua melalui ilham Rabbani petang Sabtu (20 Rejab 1436H)
Al Baqarah (2): 33
Allah berfirman: "Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka". Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: "Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?".
-dakwah nabi Adam a.s kepada malaikat
Al Imran (3) :33
Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi Adam, dan Nabi Nuh, dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga Imran, melebihi segala umat (yang ada pada zaman mereka masing-masing).
Nabi-nabi Ulu Azmi terpilih untuk dakwah besar
An Nisa' (4) : 33
Dan bagi tiap-tiap (lelaki dan perempuan yang telah mati), kami telah tetapkan orang-orang yang berhak mewarisi peninggalannya iaitu ibu bapa dan kerabat yang dekat. Dan mana-mana orang yang kamu telah membuat ikatan setia dengan mereka (untuk bantu-membantu dalam masa kecemasan dan kesusahan) maka berikanlah kepada mereka bahagiannya. Sesungguhnya Allah sentiasa Menyaksikan tiap-tiap sesuatu.
Warisan yang paling utama adalah agama Allah , itu sebabnya ulama itu pewaris anbiya'
Al Maidah (5) :33
Hanyasanya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja), atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar.
-akibat yang sangat buruk bagi yang menentang dakwah para Rasul a.s
Al An'amt (6) :33
Sesungguhnya Kami mengetahui bahawa apa yang mereka katakan itu akan menyebabkan engkau (wahai Muhammad) berdukacita; (maka janganlah engkau berdukacita) kerana sebenarnya mereka bukan mendustakanmu, tetapi orang-orang yang zalim itu mengingkari ayat-ayat keterangan Allah (disebabkan kedegilan mereka semata-mata).
Yang menentang Rasulullah s.a.w sebenarnya menentang Allah s.w.t
Al A'raf (7) :33
Katakanlah: "Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar; dan (diharamkanNya) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkanNya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya.
-kepentingan melaksanakan perintah Allah dengan memenuhi hak sesama makhluk
Al Anfal (8) :33
Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang engkau (wahai Muhammad) ada di antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun).
Kerana Muhammad s.a.w adalah rahmatan lil alamin (pembawa ad Din dan penyempurna akhlak)
At Taubah (9) :33
Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.
-dakwah bil hal wajib mencontohi Rasulullah s.a.w
Yunus (10) :33
(Sebagaimana benarnya ketuhanan itu bagi Allah sahaja) demikianlah benarnya kalimah ketetapan hukum Tuhanmu, terhadap orang-orang yang fasik kerana bahawasanya mereka tidak beriman
Agar hukum Allah tegak di muka bumi
Hud (11) :33
Nabi Nuh menjawab: "Sesungguhnya Allah jualah yang akan mendatangkan azabNya itu kepada kamu jika Ia kehendaki, dan kamu tidak sekali-kali akan dapat melemahkan kuasa Allah.
-yang menentang Allah s.w.t pasti diazab kerana Dia adalah syari'ul hisab
Yusuf (12) :33
Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya".
-Allah s.w.tlah sebenarnya yang menganugerahkan dan menjagai iman dalam diri kita
Ar Ra'd (13) :33
Setelah diketahui demikian maka tidaklah patut disamakan Allah Tuhan yang berkuasa mengawas, tiap-tiap diri dan mengetahui akan apa yang telah diusahakan oleh diri-diri itu, (dengan makhluk yang tidak bersifat demikian). Dalam pada itu, mereka yang kafir telah menjadikan beberapa makhluk sebagai sekutu bagi Allah. Katakanlah (wahai Muhammad): "Namakanlah kamu akan mereka (yang kamu sembah itu). Atau adakah kamu hendak memberi tahu kepada Allah akan apa yang tidak diketahuiNya di bumi? Atau adakah kamu menamakannya dengan kata-kata yang lahir (sedang pada hakikatnya tidak demikian)?" Bahkan sebenarnya telah diperhiaskan oleh Iblis bagi orang-orang yang kafir itu akan kekufuran dan tipu daya mereka (terhadap Islam), dan mereka pula disekat oleh hawa nafsu mereka daripada menurut jalan yang benar. Dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan pilihannya yang salah) maka tidak ada sesiapapun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.
-kenalilah kebatilan dan raihlah hidayah
Ibrahim (14) :33
Dan Ia juga yang menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar, untuk kepentingan kemudahan kamu, dan yang menjadikan malam dan siang bagi faedah hidup kamu.
Agar kamu dapat menjalankan tugas kamu dalam dakwah dengan sebaik mungkin
Al Hijr (15) :33
Iblis menjawab: "Aku tidak patut sujud kepada manusia yang Engkau jadikan dia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya".
-Iblislah musoh kamu yang akan sentiasa menggoda dan menjatuhkan makam kamu
An Nahl (16) :33
(Apakah yang ditunggu-tunggu oleh mereka yang tidak beriman itu?) Mereka tidak menunggu melainkan kedatangan malaikat (yang akan mencabut nyawa mereka), atau kedatangan azab Tuhanmu (yang akan membinasakan mereka). Demikianlah juga yang dilakukan oleh orang-orang kafir yang terdahulu daripada mereka (lalu dibinasakan); dan (sebenarnya) Allah tidak menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.
Siapa yang tidak menerima dakwah Nabi a.s dan pengikutnya, maka mereka harus menyalahkan diri mereka sendiri bukan kepada pendakwah
Al Isra' (17) :33
Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak).
Laksanakanlah hukum Allah dengan penuh teliti dan memenuhi hak manusia
Al Kahfi (18) :33
Kedua-dua kebun itu mengeluarkan hasilnya, dan tiada mengurangi sedikitpun dari hasil itu; dan kami juga mengalirkan di antara keduanya sebatang sungai.
Dua surga bagi mereka yang sentiasa bersabar dalam melaksanakan tugas kekhalifahan
Maryam (19) :33
Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku diperanakkan dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat)".
-doa kesempurnaan daripada Nabi Isa a.s untuk dicontohi oleh semua para salik
Taha (20 ) :33
Supaya kami sentiasa beribadat dan memujiMu
Iaitu tunduk dan pasrah sebagai hamba Allah yang sejati
Al Anbiya' (21) :33
Dan Dia lah (Tuhan) yang telah menjadikan malam dan siang, serta matahari dan bulan; tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edaran masing-masing (di angkasa lepas).
Iatu setiap jiwa dalam edaran qada' dan qadarnya dalam memenuhi tugas sebagai hamba Allah
Al Hajj (22) :33
Kamu beroleh berbagai-bagai faedah dan kegunaan pada binatang ternak itu hingga ke suatu masa yang tertentu (bagi menyembelihnya); kemudian waktu menyembelihnya ketika sampai di tanah haram Baitullah yang tua sejarahnya itu.
Pemisalan tentang pengorbanan dalam pelbagai bentuk yang akhirnya sampai kepada Sang Pencipta yang mempunyai Baitullah di dunia dan di langit.
Al Mukminun (23) :33
Dan (bagi menolak seruan itu), ketua-ketua dari kaumnya yang kafir serta mendustakan pertemuan hari akhirat, dan yang Kami mewahkan mereka dalam kehidupan dunia, berkata (sesama sendiri) "Orang ini hanyalah seorang manusia seperti kamu, ia makan dari apa yang kamu makan, dan meminum dari apa yang kamu minum.
Bahawa tugas dakwah itu terletak pada diri manusia biasa, bukan hanya Nabi a.s dan waliyullah a.s yang menjalankannya, bukan juga malaikat.
An Nur (24) :33
Dan orang-orang yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin, hendaklah mereka menjaga kehormatannya sehingga Allah memberi kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya; dan hamba-hamba kamu (lelaki dan perempuan) yang hendak membuat surat perjanjian untuk memerdekakan dirinya (dengan jumlah bayaran yang tertentu), hendaklah kamu melaksanakan perjanjian itu dengan mereka jika kamu mengetahui ada sifat-sifat yang baik pada diri mereka (yang melayakkannya berbuat demikian); dan berilah kepada mereka dari harta Allah yang telah dikurniakan kepada kamu. Dan janganlah kamu paksakan hamba-hamba perempuan kamu melacurkan diri manakala mereka mahu menjaga kehormatannya, kerana kamu berkehendakkan kesenangan hidup di dunia. Dan sesiapa yang memaksa mereka, maka sesungguhnya Allah - sesudah paksaan yang dilakukan kepada mereka - Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
-penuhilah hak semua manusia , walaupun kamu penuh berkuasa untuk mengubahkannya
Al Furqan (25) :33
Dan mereka tidak membawa kepadamu sesuatu kata-kata yang ganjil (untuk menentangmu) melainkan Kami bawakan kepadamu kebenaran dan penjelasan yang sebaik-baiknya (untuk menangkis segala yang mereka katakan itu).
Itulah al Furqan atau pembeza yang Allah s.w.t letakkan dalam dada dan lidah manusia agar risalah Allah s.w.t sampai kepada hati-hati manusia yang ingin menerimanya
As Syuara' (26) :33
Dan ia mengeluarkan tangannya, maka tiba-tiba tangannya menjadi putih (bersinar-sinar) bagi orang-orang yang melihatnya.
Adalah mukjizat kepada Nabi a.s dan karomah bagi waliyullah dan istiqamah bagi seluruh manusia yang ingin menjadi hamba Allah yang sejati
An Naml (27) :33
Mereka menjawab: Kita adalah orang-orang yang kuat gagah dan amat berani merempuh peperangan; dan perkara itu (walau bagaimanapun) terserahlah kepadamu; oleh itu fikirkanlah apa yang engkau hendak perintahkan.
Dan sayugia , setiap jiwa wajib berniat dan melaksanakan jihad baik peperangan kecil mahupun peperangan besar (jihad akbar)
Al Qasas (28) :33
Nabi Musa merayu dengan berkata: "Wahai Tuhanku, bahawa aku telah membunuh seorang dari kalangan mereka; oleh itu aku takut mereka akan membunuhku "
Mengakui kesalahan dan memohon pertolongan dengan Rabbul Izzati dalam melaksanakan tugas dakwah, dan takut bukan kerana ancaman nyawa sendiri tetapi takut jika mati risalah suci untuk memperkenalkan manusia kepada Allah juga akan terkubur.
Al Ankabut (29) :33
Dan ketika datang utusan-utusan Kami kepada Nabi Lut, ia merasa dukacita dengan kedatangan mereka, dan merasa tidak terdaya untuk mengawal mereka (dari gangguan kaumnya); dan (setelah melihatkan halnya yang demikian), utusan-utusan itu berkata: "Janganlah engkau takut dan janganlah berdukacita, sesungguhnya kami akan menyelamatkanmu dan keluargamu (serta pengikut-pengikutmu) - kecuali isterimu, ia adalah dari orang-orang yang dibinasakan.
- bahawa tentera Allah s.w.t khasnya dalam bentuk malaikat akan sentiasa datang /hadir untuk membantu dalam urusan penyebaran ad Din
Ar Ruum (30):33
Dan apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, mereka segera berdoa kepada Tuhan mereka dengan keadaan rujuk kembali bertaubat kepadaNya; kemudian apabila Allah memberi mereka merasai sesuatu rahmat daripadaNya, tiba-tiba sebahagian dari mereka mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Tuhannya
Sifat manusia itu selalu lupa untuk bersukur dan berapa banyak yang bersyukur? Oleh itu bersyukur adalah amalan keutamaan
Luqman (31) :33
Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu, dan takutilah akan hari (akhirat) yang padanya seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari azab dosanya, dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya dari azab dosa masing-masing sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia, dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan Syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah.
Janganlah diperdayakan dunia dek mengikuti hawa nafsu , walhal kehidupan semua Nabi a.s membuktikan kehidupan yang zuhud dan bercerai dari kehendak keduniaan dan kemewahan
Al Ahzab (33) :33
Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu - wahai "AhlulBait" dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).
Bahawa rumahlah sebaik-baik mesjid untuk bermunajat , oleh itu dirikan mihrab di rumah kamu dan penuhilah perintah Allah s.w.t agar kamu menjadi "ahli baits" yang sejati.
Saba' (34) :33
Dan berkata pula orang-orang yang tertindas kepada orang-orang yang sombong takbur itu: "Tidak! Bahkan (yang menghalang kami daripada beriman ialah) perbuatan kamu memperdaya kami malam dan siang, ketika kamu menyuruh kami berlaku kufur kepada Allah dan mengadakan sekutu-sekutu bagiNya. Akhirnya masing-masing diam sambil memendamkan perasaan sesal dan kecewa semasa mereka melihat azab; dan Kami pasangkan belenggu-belenggu pada leher orang-orang yang kafir itu. Mereka tidak dibalas melainkan dengan apa yang mereka telah kerjakan.
-berhati-hatilah dengan orang dan dunia yang boleh memperdaya manusia
Fathir (35) :33
(Balasan mereka ialah) Syurga - syurga " Adn ", yang mereka akan masukinya; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan dari emas dan mutiara; dan pakaian mereka di situ adalah dari sutera.
Syurga And adalah bagi mereka yang benar-benar mengikut teladan Rasulullah s.a.w seratus peratus
Yasin (36) :33
Dan dalil yang terang untuk mereka (memahami kekuasaan dan kemurahan kami), ialah bumi yang mati; kami hidupkan dia serta kami keluarkan daripadanya biji-bijian, maka daripada biji-bijian itu mereka makan.
Bahawa Allah s.w.t berkuasa terhadap sesuatu , dan Allah s.w.t memilih sesiapapun untuk dijadikannya Nabi a.s, kekasihNya atau pun tenteranya dalam menyampaikan risalah tauhidNya.
As Saffat (37) :33
Maka sesungguhnya mereka semua pada hari itu, menderita azab bersama.
Azab adalah bagi mereka yang menentang Allah s.w.t dan rasulNya baik dari segi perbuatan, iktikad mahupun prasangka.
Saad (38) :33
(Kemudian Nabi Sulaiman berkata kepada orang-orangnya): " Bawa balik kuda itu kepadaku"; maka ia pun tampil menyapu betis dan leher kuda itu (seekor demi seekor).
-bahawa apapun sarana yang Allah s.w.t anugerahkan kepada kita, semuanya penting dan harus dijaga agar tugas dakwah kita berjaya disampaikan secara berkesan.
Az Zumar (39):33
Dan (nyatalah bahawa) yang membawa kebenaran (tauhid dan hukum agama) serta ia (dan pengikut-pengikutnya) mengakui kebenarannya (dengan mematuhi hukum itu), mereka itulah orang-orang yang bertaqwa.
Bahawa yang membawa Tauhid itu sebenarnya adalah orang yang bertaqwa bukan semestinya orang yang pandai berpidato atau mengurus organisasi.
Ghaafir (40): 33
"(Iaitu) hari kamu berpaling undur melarikan diri; padahal semasa itu tidak ada sesiapapun yang dapat menyelamatkan kamu dari azab Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tiada sesiapapun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.
Bahawa hidayah dan inayah itu datang daripada Allah s.w.t dan merupakan anugerah istimewa kepada orang-orang pilihan .
Fusshilat (41): 33
Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!"
Para pendakwah itulah yang terbaik dalam amalan dan ucapannya
As Syuraa (42):33
Jika Ia kehendaki, Ia menghentikan tiupan angin, maka tinggalah kapal-kapal itu terapung-apung di muka lautan. Sesungguhnya yang demikian mengandungi tanda-tanda (yang besar pengajarannya) bagi tiap-tiap seorang (mukmin) yang sentiasa bersikap sabar, lagi sentiasa bersyukur.
Tajalli Allah s.w.t itu dalam setiap ruang dan waktu tanpa mengira keadaan manusia atau keadaan alam , oleh itu manusialah yang harus bersabar dan bersyukur dalam setiap masa.
Az Zukhruf (43):33
Dan kalaulah tidak kerana manusia akan menjadi umat yang satu (dalam kekufuran), nescaya Kami jadikan bagi orang-orang yang kufur ingkar kepada Tuhan Yang Maha Pemurah, bumbung rumah-rumah mereka dari perak, dan tangga-tangga yang mereka naik turun di atasnya (dari perak juga).
Dalam keadaan yang kurang mewah pun manusia boleh menjadi kufur ,maka bagaimana pula jika mereka diberi limpahan kemewahan yang berlipat ganda?
Ad Dukhaan (44) :33
Dan Kami berikan kepada mereka (melalui Nabi Musa) berbagai mukjizat yang mengandungi ujian yang jelas nyata (untuk melahirkan sikap mereka).
Ujian adalah sebahagian daripada lumrah dan kelaziman , kerana melalui ujianlah manusia menjadi lebih baik dan sempurna menuju insanul kamil
Al Jaathiyah (45) :33
Dan (pada ketika itu) ternyatalah kepada mereka balasan kejahatan-kejahatan yang mereka telah lakukan, serta mereka diliputi oleh azab yang mereka ejek-ejek itu!
Maka kebenaran (terhadap risalah yang dibawa oleh para Nabi a.s dan disebarkan oleh para hawariyun dan ansar ad Din) akan terbukti jua, maka janganlah jadi orang yang terlambat dan rugi.
Al Ahqaf (46) :33
Masihkah mereka ingkar dan tidak mahu memikir serta mengetahui bahawa sesungguhnya Allah yang telah menciptakan langit dan bumi dengan tidak mengalami kesukaran dalam menciptakannya - berkuasa menghidupkan makhluk-makhluk yang telah mati? Sudah tentu berkuasa! Sesungguhnya Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Tidakkah kamu memerlukan masa yang secukopnya untuk merenungi perintah dan ajakan Allah s.w.t serta ajakan serta nasihat NabiNya agar jiwa itu menjadi lembut , tenteram , lalu menerima ilham untuk mengenaliNya.?
Muhammad (47) :33
Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul Allah, dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu!
Janganlah batalkan amalan kamu kerana melanggar AlQuran dan sunnah ! walaupun dalam usaha kamu menjalankan dakwah dan mengajak manusia kepada Allah dan Rasulnya.
Qaaf (50): 33
"(Iaitu) orang yang takut (melanggar perintah Allah) Yang Maha Pemurah, semasa tidak dilihat orang dan semasa ia tidak melihat azab Allah, serta ia datang (kepada Allah) dengan hati yang tunduk taat".
Iaitu jadilah kamu seorang yang sentiasa muhasabah (mawas) diri dalam setiap waktu, samada bersendirian walaupun dikhalayak ramai.
Az Zariyat (51) :33
"Supaya Kami menimpakan mereka dengan batu-batu dari tanah (yang dibakar).
Ya, tanah asal kamu itu sendiri boleh menjadi bahan bakar, oleh itu sentiasalah berwaspada terhadap iblis dan nafsu kamu.
At Tuur (52) :33
(Bukan sahaja mereka ingkar dan degil) bahkan mereka berkata: "Dia (Muhammad) telah mereka-reka Al-Quran itu". (Tuduhan mereka yang demikian tidak berasas) bahkan mereka sengaja tidak mahu beriman!
Pelajari dan kajilah al-Quran , barulah mukjizat dan khasiatnya kamu merasai sendiri dan tidak berprasangka bahawa al-Quran itu begini dan begitu……
An Najm (53):33
Adakah engkau mengetahui (keburukan) orang yang berpaling (dari menurut kebenaran kerana ia dihasut)?
Adakah kamu juga sudah berhati-hati daripada pelbagai hasutan untuk menentang kehendak Allah s.w.t dan kehendak Rasulnya?
Al Qamar (54):33
(Demikian juga) kaum Nabi Lut telah mendustakan peringatan dan amaran (yang disampaikan oleh Rasulnya).
Bahawa semua peristiwa tentang umat dahulu adalah satu pengajaran baik secara individu mahupun ijtima'i.
Ar Rahman (55): 33
Wahai sekalian jin dan manusia! Kalau kamu dapat menembus keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi (untuk melarikan diri dari kekuasaan dan balasan Kami), maka cubalah kamu menembus keluar. Kamu tidak akan menembus keluar melainkan dengan satu kekuasaan .
Bahawasanya kamu hanya akan dapat menembus dengan kekuasaan yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t sahaja iaitu melalui "ruh" dan "cahaya" yang kuat (bi sultan!)
Al Waqiah (56):33
Yang tidak putus-putus dan tidak pula terlarang mendapatnya.
Iaitu segala kebaikan dan anugerah dalam bentuk pelbagai tajalliyat yang infinit bilangannya , jika kamu benar-benar mengikuti perintah Allah s.w.t (Al-Quran) dan RasulNya (sunnah) baik didunia mahupun diakhirat.
Alhamdulillahi rabbil alamin.
TAMAT
Catatan: Shahidan Radiman , B. B. Bangi 10 Mei , 2015