isu pencemaran udara By Tpb Love Mf in Mf in Pengajian Malaysia Ambilan Kedua · Edit doc
1.0
PENGENALAN
Pencemaran udara merupakan satu keadaan yang melibatkan kehadiran sebarang gas atau zarahan dalam atmosfera yang terhasil daripada kegiatan manusia (antropogenik) ataupun secara semulajadi. Isu ini sering biasanya terjadi di bandar besar misalnya Kuala Lumpur. Dewasa ini pencemaran udara banyak terhasil daripada kegiatan manusia. Biasanya pencemaran udara dikaitkan dengan pelepasan asap atau bahan-bahan cemar lain daripada ekzos kenderaan, stesen penjana kuasa, kilang, loji penuaan penu aan serta pembakaran bahan api fosil secara domestik di kawasan bandar dan industri. Namun Na mun demikian, bahan cemar udara juga boleh terhasil daripada kegiatan di kawasan pedalaman, seperti penyemburan racun perosak, atau perlombongan yang menghasilkan habuk ataupun amalan pertanian seperti pendebungaan dan penyemburan baja. Pencemaran udara juga terjadi secara semulajadi menerusi penyerakan habuk atau debu akibat tiupan angin, letusan gunung berapi, tiupan wap air oleh ombak dan sebagainya (Zaini Ujang, 1997).
1.1
Definisi Pencemaran Udara
Pencemaran udara adalah kehadiran satu atau lebih bahan cemar atau gabungannya di dalam atmosfera dalam kuantiti tertentu pada sesuatu jangka waktu yang boleh atau kecenderungan menyebabkan mudarat kepada kehidupan manusia, tumbuhan dan haiwan, harta benda, menganggu suasana kehidupan yang tenteram atau harta benda, dan kelangsungan sesuatu kegiatan. Mengikut Akta Pencemaran Udara di Amerika Syarikat 1960, telah mendefinisikan bahawa,
“ pencemaran udara terutamanya di kawasan bandar adalah keadaan di mana wujudnya apaapa bentuk pengotoran sekalipun di udara yang dianggap merbahaya, ataupun mungkin akan menjadi bahaya kepada kesihatan, keselamatan awam atau kepada manusia, tumbuhahan, haiwan dan harta benda atau menghalang manusia daripada menikmati hartanya atau dalam kehidupan yang baik”.
Menurut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dalam Perlembagaan Malaysia, definisi pencemaran udara dikaitkan dengan “bendasing udara” atau bahan-bahan cemar udara. Pendefinisian ini dimuatkan dalam Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih), 1978 sebagai bendasing udara termasuklah asap, jelaga, habuk, abuk (termasuk abu berterbang), arang, hancuran, kumin pejal dari apa-apa jenis, termasuklah kumin-kumin, gas-gas, wap-wap, kabus bau dan bahan radioaktif yang terpancar dari pembakaran bahan api dan bahan-bahan yang seumpamanya. Pencemaran udara juga ialah perubahan langsung atau tidak kepada sifat-sifat fizikal, haba, kimia, biologi atau radioaktif mana-mana bahagian alam sekeliling dengan melepaskan, mengeluarkan atau meletakkan buangan-buangan hingga menjejaskan apa-apa kegunaan berfaedah, menyebabkan suatu keadaan yang berbahaya atau mungkin berbahaya kepada kesihatan, keselamatan, atau kebajikan awam, atau kepada binatang, burung, hidupan liar, ikan atau hidupan-hidupan dalam air, atau kepada tumbuh-tumbuhan atau menyebabkan suatu perlanggaran terhadap apa-apa syarat, had atau sekatan yang dikenakan ke atas sesuatu lesen yang dikeluarkan di bawah Akta ini (Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974). Berdasarkan beberapa definisi tersebut, maka bolehlah dirumuskan bahawa pencemaran udara adalah sebagai kehadiran sebarang bahan cemar udara dalam atmosfera dengan ciri-ciri serta jangka masa tertentu sebagaimana yang termaktub dalam undang-undang yang kesannya boleh mengakibatkan apa jua mudarat kepada kehidupan manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan atau harta benda, atau mengganggu keselesaan serta kedamaian hidup sesuatu komuniti (Zaini Ujang, 1997).
2.0
JENIS-JENIS BAHAN PENCEMAR
Secara umumnya jenis-jenis pencemar udara ini boleh dikelaskan kepada tiga kategori utama iaitu pepejal, cecair dan gas. Namun demikian, pengelasan tersebut akan menjadi semakin rencam kerana sesuatu bahan pencemar udara biasanya wujud dalam atamosfera dalam bentuk yang bercampur-baur. Bahan zarahan (partikel) misalnya, bukan hanya terdapat dalam bentuk dan fasa pepejal sahaja, bahkan turut merangkumi bentuk cecair. Selain daripada bahan-bahan pencemaran jenis partikel ini, terdapat satu lagi kumpulan bahan pencemar udara, iaitu bahan pencemaran jenis gas. Di antaranya termasuklah sebatian sulfur, sebatian nitrogen, sebatian karbon, hidrokarbon dan unsur halogen.
3.0 3.1 3.1.1
FAKTOR-FAKTOR PENCEMARAN UDARA Faktor Semulajadi Pembakaran Hutan Semulajadi
Pembakaran hutan semulajadi adalah salah satu penyebab utama kepada berlakunya pencemaran udara di negara ini. Pembakaran hutan semulajadi banyak berlaku di Amerika Syarikat, Mexico dan negara-negara lain ekoran kemarau yang melampau sehingga menyebabkan berlakunya fenomena pencemaran udara. Musim kemarau yang berlaku di Malaysia telah menyebabkan kawasan hutan menjadi kering dan mudah terbakar secara semulajadi kerana kekurangan air dalam tanah. Hal ini kerana cuaca yang terlalu panas iaitu melebihi 37°C telah menyebabkan beberapa kawasan mengalami kebakaran secara semulajadi sehinga melibatkan beribu-ribu hektar kawasan hutan terbakar seperti Hutan Rompin dan Batang Berjuntai sehingga menyebabkan berlakunya jerebu. Malah, dijangkakan juga bahawa suhu di Malaysia akan
mencecah sehingga 41°C apabila berlaku ekuinoks di mana matahari berada di atas garisan khatulistiwa (Kosmo, 2005).
3.1.2
Angin
Angin memainkan peranan penting di dalam menyebarkan partikel dan zarah-zarah terampai ke kawasan lain sehingga menyebabkan berlakunya jerebu. Biasanya angin akan berada dalam keadaan tenang pada waktu tengah hari iaitu sekitar jam 12.00 tengah hari hingga 2.00 petang. Waktu tersebut merupakan waktu puncak bagi aktiviti-aktiviti yang dijalankan di bandar. Asap kilang yang berada di ruang udara disebarkan di merata-rata tempat kerana ketika itu keadaan lapse menjadi kuat. Keadaan ini dipanggil sebagai proses looping manakala peringkat cooning yang berlaku pada waktu petang telah menyebabkan angin membantu menyebarkan zarah-zarah habuk jauh dari kawasan bandar. Pada peringkat fanning yang berlaku pada waktu malam, angin bertiup perlahan dan tenang. Masalah pencemaran asap amat merbahaya sekiranya cerobong kilang lebih rendah dari bangunan di sekitarnya kerana partikel asap tidak dapat diserakkan dengan lebih jauh kerana dihalang oleh bangunan. Bandar Kuala Lumpur merupakan kawasan yang giat dalam perindustrian yang sering menghadapi masalah pencemaran udara Peringkat seterusnya adalah lofting, yang mana kosentrasi bahan-bahan pencemar akan dicairkan dengan cepat dan tidak sempat sampai ke bumi. Fumigation pula mempunyai 3 peringkat yang mana pada ketika ini bahan-bahan pencemar yang keluar dari cerobong asap kilang akan sampai ke permukaan bumi kerana olak suhu hanya berlaku di atas. Seterusnya trapping yang mana olak suhu dibahagian atas mampu memerangkap bahan-bahan pencemar yang dikeluarkan oleh cerobong asap (Sham Sani,1982). Secara keseluruhannya, angin memainkan peranan penting dalam menyebarkan partikel dan zarah-zarah terampai agar ia hanya tertumpu di kawasan bandar sehingga mewujudkan pulau haba bandar, kesan rumah hijau, kubah debu dan pemanasan global. Kebiasaanya, tiupan angin membawa habuk dari kawasan industri terutama dari pinggir bandar ke bandar. Sebagai contoh di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, angin telah membawa asap, habuk dan debu dari kawasan industri di Petaling Jaya ke pusat bandaraya Kuala Lumpur
sehingga menyebabkan suhu di kawasan bandaraya tersebut meningkat disebabkan kosentrasi karbon dioksida (CO²) dan lain-lain gas (Sham Sani, 1982). Keadaan ini juga biasanya terdapat di kawasan tandus yang terdedah dan mengalami tiupan angin kencang seperti kawasan gurun tropika.
3.1.3
Letusan gunung berapi
Kejadian ini juga berlaku pada musim sejuk kerana zarah-zarah asid sulfur menjadi beku dan tidak mampu untuk bertindakbalas di atmosfera. Namun, apabila berlaku musim panas selama 6 bulan, zarah-zarah ini akan mula bertindakbalas dan mengurai molekul ozon di lapisan stratosfera sehingga menyebabkan lubang ozon semakin membesar. Di samping itu, habuk dan asap yang dikeluarkan juga menyebabkan kawasan penempatan di persekitarannya termasuk bandar-bandar di Filipina dilanda jerebu dan habuk. Kesannya bukan sahaja kepada alam sekitar tetapi juga kepada kesihatan manusia.
3.2
Faktor Antropogenik
3.2.1 Pembakaran Terbuka
Di kawasan perumahan, perdagangan, kawasan pembinaan mahupun di kawasan pertanian, pembakaran sisa pepejal telah dilakukan secara terbuka sehingga menghasilkan asap dan habuk. Pembakaran sisa pepejal seperti serpihan kayu, sampah sarap dan sebagainya menghasilkan zarah pepejal terampai (bersaiz 10 mikron) yang merbahaya kerana boleh memudaratkan kesihatan manusia. Zarah yang bersaiz 10 mikron ini sukar memasuki ke saluran pernafasan kerana di bahagian atas sistem pernafasan hanya zarah yang berukuran 2 mikron sahaja mampu ditapis oleh sistem pernafasan tersebut (Abdullah Mohamad Said, 1999). Hal Ini akan memburukkan lagi kesihatan manusia apabila pembakaran secara terbuka dilakukan tanpa kawalan.
Pembakaran ini banyak dilakukan ditempat pelupusan sampah terutama di kawasan bandar bagi mengurangkan sampah sarap yang ada. Amalan pembakaran terbuka akan menghasilkan partikel-partikel halus, bau yang tidak diingini dan asap yang bertoksid yang membahayakan kesihatan manusia. Pembakaran terbuka daripada bahan organik seperti minyak dan kayu yang mengandungi karbon, apabila dibakar akan menghasilkan asap atau jerebu yang banyak. Menurut bahagian Alam Sekitar, Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar telah menganggarkan bahawa bahan-bahan sisa bandaran ini berjumlah kira-kira 3.7 juta tan setahun bagi Semenanjung Malaysia. Lebih 55% daripada kerajaan tempatan mengamalkan pembakaran yang terdedah untuk memusnahkan sisa-sisa tersebut.
3.2.2
Pelepasan Asap Kenderaan Darat dan Udara
Asap kenderaan turut menjadi penyumbang kepada pencemaran udara. Kenderaan bermotor telah menyumbangkan 90% daripada pencemaran CO di bandar-bandar besar. Di bandar besar seperti Kuala Lumpur nitrogen dioksida (NO²) yang dibebaskan oleh kenderaan terutama pada waktu puncak yang akan memenuhi ruang udara dan bercampur dengan lain-lain enapan serta wap air dalam atmosfera akan menghasilkan kabut berwarna kelabu. Di Malaysia, jenis kenderaan yang paling banyak menyumbang kepada pencemaran ini adalah lori. Statistik kenderaan yang dikenakan kompaun oleh Jabatan Alam Sekitar pada tahun 2002, kenderaan lori mencatatkan kes paling tinggi iaitu sebanyak 85%. Ini kerana lori lebih banyak menggunakan petrol berbanding kenderaan lain (sumber :http://www.jas.sains.my). Keadaan ini akan menjadi bertambah buruk pada waktu siang kerana rata-rata penduduk di bandar menggunakan kenderaan persendirian mahupun perkhidmatan awam. Contohnya di Malaysia, pada tahun 1974 jumlah kenderaan bermotor yang berdaftar di Kuala Lumpur-Petaling Jaya sahaja melebihi 31,000 unit dan ini menunjukkan tiga kali ganda jumlah kenderaan yang terdapat dalam tahun 1964 (Utusan Melayu, 1974). Dalam tahun 2004 pula, sebanyak 14 juta kenderaan berdaftar yang telah digunakan di negara ini yang mana angkanya meningkat dua kali ganda berbanding dengan sedekad lalu.
Kualiti udara persekitaran sebenarnya amat bergantung kepada jenis sistem pengangkutan yang digunakan, jenis sumber tenaga, tahap teknologi enjin dan juga jumlah tenaga yang diperlukan. Kenderaan bermotor adalah penyumbang utama kepada pencemaran udara. Oleh yang demikian, bagi mengatasi masalah ini penggunaan pengangkutan awam merupakan salah satu alternatif bagi mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian bagi mengurangkan impak pencemaran udara. Namun begitu, masyarakat pada hari ini lebih gemar menggunakan kenderaan persendirian ke tempat kerja kerana cepat dan menjimatkan masa. . 3.2.3Pembakaran Bahan Api
Di Malaysia, pembakaran bahan api banyak dilakukan di stesen-stesen janakuasa termasuk dandang (boiler) dan relau-relau (furnaces) telah mengeluarkan sulfur dioksida, nitrogen oksida dan juga partikel-partikel kecil. Menurut Sham Sani (1982), daripada jumlah 140, 000 tan sulfur dioksida yang dikeluarkan hasil dari pembakaran bahan api pada tahun 1975, stesen janakuasa bertanggungjawab bagi 53.2%, industri 39.2% sementara kilang-kilang pembersihan minyak petrol bertanggungjawab bagi 5.6%. Menjelang tahun 1997, penggunaan bahan api seperti kayu, fiber kelapa sawit dan kulit kerang kira-kira lebih daripada 1.5 juta tan yang digunakan oleh dandang-dandang. Pembakaran bahan-bahan ini sebenarnya mengeluarkan jumlah partikel yang banyak. Manakala pembakaran bahan api yang tidak lengkap menyebabkan jumlah habuk dalam udara di bandar adalah 4-1000 kali lebih besar berbanding di luar bandar. Semuanya berpunca dari asap kenderaan (Grifftith, 1985). Oleh itu, apabila bahan-bahan hidrokarbon (HO) dan nitrogen oksida (NO) yang dikeluarkan hasil daripada pembakaran petrol terdedah kepada matahari selama lebih kurang satu jam, bahan ini akan mengalami perubahan kimia (fotokimia) dan seterusnya menghasilkan O³. Molekul ozon ini pada dasarnya tidak baik untuk manusia walaupun terdiri daripada 3 atom oksigen. Molekul ini hanya berfaedah di lapisan stratosfera yang berfungsi untuk menyerap sinar UV (Sham Sani, 1982).
3.2.4
Aktiviti Perindustrian dan Pembangunan
Di negara ini, sektor perindustrian dan pembangunan semakin rancak dijalankan memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang sedang membangun dan peningkatan dalam sektor pembinaan sebenarnya telah menimbulkan banyak kesan buruk atau negatif kepada penduduk. Penghasilan bahan pecemar oleh kilang-kilang memburukkan lagi keadaan. Ekoran daripada kadar pengeluaran yang kian meningkat telah menyebabkan penambahan kepada pencemaran gas organik dan bukan organik serta bahan kimia dan juga habuk. Sebagai contohnya, ialah industri kimia yang mana dilihat melepaskan pencemar yang mengandungi pelbagai kompaun yang berasaskan nitrogen dan sulfur manakala kilang penapis minyak pula mengeluarkan asap yang mengandungi sulfur dioksida dan hidrokarbon. Menurut Abdullah Mohamad Said (1999), kilang yang menggunakan bahan kimia sebenarnya banyak menghasilkan gas beracun seperti ammonia. Manakala kuari, kilang simen, kilang batu-bata dan kilang papan akan menghasilkan asap hitam yang berpunca daripada proses pembakaran disamping mengeluarkan habuk dan debu.
3.2.5
Urbanisasi (Perbandaran)
Proses urbanisasi yang pesat menyebabkan penduduk semakin bertambah terutamanya di bandar bandar besar di dunia. Ekoran kepesatan ini menyebabkan penggunaan perkhidmatan pengangkutan contohnya kereta, bas dan motor amat diperlukan. Proses urbanisasi yang berlaku ini secara tidak langsung mempengaruhi sektor perindustrian. Peningkatan bilangan penduduk di kawasan bandar telah menyebabkan jumlah pencemaran udara semakin meningkat lebih-lebih lagi dengan aktiviti-aktiviti bandar yang giat dijalankan.
3.2.6
Aktivit Harian (Domestik)
Aktiviti harian seperti penggunaan Klorofluorokarbon (CFC) turut menyumbang kepada peningkatan pencemaran udara. Jika diteliti, isi rumah turut menjadi penyumbang kepada pencemaran terutamanya melalui penggunaan barangan elektrik dan elektronik.
Penggunaan tenaga mesin dan perkakas elektrik seperti peti sejuk, penghawa dingin sebenarnya menyumbangkan kepada penggunaan CFC yang tinggi. Peti sejuk dan penyaman udara bukan sahaja menggunakan banyak tenaga malah alat-alat ini turut mencemarkan udara apabila cecair penyejuk yang digunakan melepaskan ke udara yang menyebabkan pencemaran udara seterusnya boleh menipiskan lapisan ozon bumi.
4.0
KESAN-KESAN PENCEMARAN UDARA
4.1 Kesihatan manusia terejas
Golongan yang mudah terganggu apabila terdedah kepada bahan pencemar adalah golongan tua, kanak-kanak dan golongan yang mengidap penyakit kardiovaskular. Contoh penyakit yang berisiko dihadapi oleh penduduk bandar terutamanya ialah kanser paru-paru, sakit tekak, sukar bernafas, sakit dada dan batuk (Abdullah Mohamad Said, 1999). Mengikut laporan ketua bahagian program alam sekitar Bangsa Bangsa Bersatu (UNEP), pencemar di dalam jerebu juga mampu menyebabkan kematian berjuta-juta manusia di rantau Asia hampir setiap tahun. Selain daripada penyakit yang berkaitan dengan kardiovaskular terdapat juga penyakit lain seperti ketidaksuburan dan kecacatan bayi iaitu Polisiklik Aromatik Hidrokarbon (PAH). PAH terdiri dari lebih 100 jenis bahan kimia yang terdapat meluas di alam sekitar hasil daripada proses pembakaran yang tidak lengkap seperti pembakaran tar, arang batu, dandang industri,
rumah asap, incinerator, asap rokok, asap kayu, asap ekzos kenderaan dan sebagainya. Apabila ia telah dilepaskan ke udara ia boleh mencemarkan alam sekitar terutamanya udara, air dan tanah.
4.1.2
Menghalang Jarak Penglihatan
Apabila berlaku kejadian jerebu, jarak kurang dari 100 meter mengikut piawaian dianggap merbahaya kerana kemalangan mudah berlaku akibat daripada penglihatan yang kabur (sumber: http://www.kjc.gov.my/malay). Oleh itu, masyarakat tidak digalakkan keluar dari rumah serta mengurangkan aktiviti luar rumah untuk menghindarkan daripada terdedah kepada penyakit dan berlaku kemalangan.
4.1.3
Mengotorkan Persekitaran Banda
Habuk dan debu hasil daripada aktiviti industri dan pergerakan kenderaan melekat pada cermin dan dinding-dinding bangunan, struktur monumen turut mudah rosak akibat daripada hujan asid sehingga memberi imej negatif terhadap bandar Tambahan pula, kerajaan semakin aktif membangunkan sumber-sumber yang ada dengan membuka kilang-kilang perusahaan yang baru bagi mengimbangi pengeluaran perindustrian untuk bersaing dengan negara-negara lain. Aktiviti perkilangan mengeluarkan pelbagai jenis gas yang merbahaya seperti SO², Co, HO, NO, asap dan habuk. Perbezaan bahan udara yang dilepaskan adalah berdasarkan jenis industri. Kilang yang menggunakan bahan kimia akan menghasilkan gas beracun seperti amonia. Sebagai contoh, masalah pencemaran udara yang berlaku di Kuala Lumpur adalah berpunca daripada kegiatan industri perkilangan yang pesat membangun di negeri tersebut
4.2
Tumbuhan dan Haiwan
Apabila berlaku pencemaran udara, hujan asid akan terjadi. Keasidan hujan yang kurang daripada pH 4 boleh meyebabkan tumbuh-tumbuhan hutan mati kerana asid mampu memusnahkan nutrien dalam tanah dan akhirnya menghalang proses pembuatan makanan oleh tumbuhan. Apabila tumbuhan mati, habitat haiwan akan terganggu dan kehidupan haiwan terancam ekoran kemusnahan hutan musnah. Habuk dan debu yang dikeluarkan oleh kilang seperti kilang papan dan kilang simen malah juga asap kenderaan boleh mengurangkan kadar proses fotosintesis kerana liang-liang stoma pada daun tertutup terutamanya tumbuhan yang berada di dalam kawasan bandar. Sebagai contoh, pencemaran udara menyebabkan sinaran matahari tersekat untuk sampai ke permukaan bumi. Tumbuh-tumbuhan sekurang-kurangnya memerlukan kadar optimum tenaga matahari yang diterima dalam gelombang pendek untuk melakukan proses fotosintesis. Hal ini akan mengurangkan O² di udara dan meningkatkan kandungan CO² di bandar. . 4.3
Atmosfera dan Hidrofera
Peningkatan gas-gas merbahaya seperti CFC, karbon monoksida dan sulfur oksida, HO, NO, habuk dan debu yang dikeluarkan oleh industri, asap kenderaan dan pembakaran sampah ke udara di bandar mampu mengurai molekul ozon sehingga menyebabkan ozon semakin menipis. Wujud juga fenomena-fenomena lain seperti kubah debu, jerebu, hujan asid, pulau haba dan pemanasan global. Apabila membincang tentang hujan asid, secara tidak langsung ia boleh memberi kesan kepada kitaran hidrosfera termasuklah dengan kehidupan laut iaitu spesis ikan dan fitoplankton. Disamping itu, hujan asid yang turun juga boleh menyebabkan ketidaksuburan kepada sumber tanah sehingga mampu memusnahkan hutan dan kawasan tadahan. Kesan pencemaran udara juga turut menyumbang kepada penyusutan lapisan ozon yang melindungi hidupan di bumi daripada sinaran terus matahari. Penggunaan kloroflorokarbon dalam alat-alat penyembur dan penyaman udara dan peti sejuk telah menyumbang kepada penipisan lapisan ozon. Apabila hal ini berlaku, sinaran matahari akan terus sampai ke bumi dalam kuantiti yang banyak. Pendedahan terus cahaya matahari akan menyebabkan manusia terdedah kepada kanser kulit yang membahayakan nyawa dan turut mengancam hidupan lain.
Pancaran matahari juga menyebabkan ais-ais di kawasan kutub utara akan mencair menyebabkan kandungan paras air bumi semakin meningkat dari semasa ke semasa dan berlakunya ketidakseimbangan ekosistem di dunia.
5.0
LANGKAH-LANGKAH MENGATASI PENCEMARAN UDARA
5.1
Langkah Perundangan
Sistem perundangan telah lama digunakan dalam usaha untuk menguruskan masalah alam sekitar seperti pencemaran udara. Langkah perundangan bagi mengatasi masalah ini boleh terbahagi kepada dua iaitu peringkat antarabangsa dan peringkat tempatan. Di Malaysia, perundangan alam sekitar melibatkan sistem sumberjaya, sementara di peringkat antarabangsa perundangan seperti Protokol Montreal dan Environment Polluted Agency (EPA) dijadikan panduan dalam usaha untuk menangani isu pencemaran udara.
5.1.1
Peringkat Tempatan (Malaysia)
JAS menguatkuasakan undang-undang yang diperuntukkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Bahagian IV Akta Zon Eksklusif Ekonomi 1984. Antaranya ialah mengehadkan pelepasan asap kenderaan bermotor. Kenderaan bermotor merupakan salah satu kumpulan yang menyumbang kepada pencemaran udara. Justeru itu, perundangan bagi mengawal pelepasan bahan pencemar oleh kenderaan telah digubal melalui Ordinan Lalu Lintas Jalan Raya, 1958 Kaedah-kaedah Kereta Motor. Melalui peraturan ini, pelepasan asap kenderaan telah dihadkan,iaitu ketumpatan tidak melebihi 50 unit asap Hartridge (HDU). Hal ini dapat mengurangkan pelepasan asap ke udara sekaligus dapat mengurangkan pencemaran udara. Selain itu, mengenakan denda kepada pihak kilang yang melanggar Akta Kualiti Alam Sekitar. Denda akan dikenakan kepada pihak kilang sekiranya melanggar Akta Kualiti Alam Sekitar dengan mengeluarkan asap kilang yang merbahaya seperti sulfur, karbon dan sebagainya. Penapis udara juga perlu dipasang disetiap cerobong udara agar dapat mengurangkan
pengeluaran bahan cemar yang dikeluarkan oleh kilang-kilang tersebut. Rondaan dan pemantaun yang kerap juga perlu dilakukan bagi mengawal masalah pencemaran ini. Bagi memastikan prestasi pematuhan industri seperti pemasangan penapis asap, JAS sentiasa mengadakan lawatan ke kilang-kilang. Langkah ini sedikit sebanyak dapat mengelakkan pemaju atau pihak yang berkenaan daripada melanggar peraturan-peraturan yang telah termaktub dalam Akta Alam Sekitar. Ahli kaji cuaca pula berperanan mengadakan kempen atau ceramah untuk mendedahkan kepada orang awam dan pihak yang terlibat dalam industri perkilangan khususnya dengan mengesyorkan cara atau kaedah untuk mengurangkan pencemaran udara serta fenomena berlakunya pencemaran udara (sumber: Sham Sani, 1982). Di samping itu, pusat kaji cuaca perlu menempatkan stesen permonitoran kualiti udara. Hal ini demikian agar tahap kualiti udara khususnya di kawasan bandar yang menjadi penyumbang utama pencemaran udara dapat ditentukan serta dikenalpasti. Dibawah Peraturan Kualiti Alam Sekitar (Udara Bersih, 1978), jarak industri dengan kawasan kediaman perlu dihadkan kepada 1000 meter. Hal ini bertujuan untuk mengelakkan sebarang masalah yang bakal dihadapi oleh penduduk dikawasan kediaman seperti masalah kesihatan dan sebagainya. Selain itu, kedudukan yang sesuai adalah perlu bagi kawasan industri terutamanya, supaya kekotoran udara tidak membahayakan penduduk dan tumbuhan yang berhampiran (Sham Sani, 1982)
5.1.2
Peringkat Antarabangsa
Protokol ini ditubuhkan pada tahun 1987 di United Nation (UN) yang bertujuan untuk mengurangkan kadar penggunaan bahan CFC (Cloroflourocorban). Protokol ini juga sentiasa membuat kajian dan pemantauan terhadap lapisan ozon yang kosentrasi atau kandungan gas-gas pencemarnya banyak memberi kesan negatif kepada manusia. Penubuhan EPA ini adalah untuk memberi maklumat kepada masyarakat tentang penyumbang bahan pencemar udara di dunia. Malah agensi ini turut menjalankan kajian tentang
masalah pencemaran udara dan kesan semasa terhadap bumi dan atmosfera. Oleh yang demikian, kerjasama rapat dalam kalangan semua agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan serta badan perundangan global yang berkaitan serta media massa amat diperlukan dalam membuat pemantauan. Selain itu, Sebarang nasihat maklumat hendaklah disebarkan dengan cepat kepada orang awam. Contohnya diperingkat serantau, ASEAN telah memulakan Pelan Kerjasama ASEAN iaitu ‘Pengurusan Pencemaran Rentas Sempadan’ untuk menangani isu-isu pencemaran udara seperti jerebu rentas sempadan.
5.2
Langkah Bukan Perundangan
5.2.1
Pendidikan
Langkah pendidikan yang dijalankan ini pula dibahagikan kepada dua iaitu pendidikan secara formal dan juga pendidikan secara tidak formal. Pendidikan yang dijalankan secara formal ini adalah supaya melahirkan insan yang mempunyai kesedaran tentang pentingnya hubungan manusia dengan persekitaran. Hal ini akan menyebabkan mereka dapat menyelesaikan masalah yang berkaitan alam sekitar serta menghalang pencemaran daripada terus berlaku terutamanya pencemaran udara. Pendidikan secara formal ini melibatkan tiga tahap iaitu, tahap rendah, menengah dan tinggi. Misalnya menerusi Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) iaitu pada peringkat sekolah menengah telah diperkenalkan mata pelajaran Geografi yang khusus mempelajari mengenai alam sekitar. Mata pelajaran ini telah diambil oleh pelajar dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6 Atas namun begitu, bagi pelajar Tingkatan 6 mereka tidak diwajibkan untuk mengambil mata pelajaran Geografi. Melalui mata pelajaran yang diperkenalkan ini, diharapkan supaya dapat menerapkan nilai-nilai murni dalam diri pelajar seperti dapat
menyayangi alam sekitar seterusnya menjaga alam sekitar dari terus berlakunya pencemaran udara, air serta pembuangan sampah-sarap. Manakala, di peringkat institusi pengajian tinggi juga pendidikan alam sekitar turut diberi penekanan terhadap mahasiswa. Hal ini dapat dilihat apabila kewujudan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang diberi khusus untuk pertanian telah memartabatkan pendidikan alam sekitar ke peringkat yang lebih tinggi. Di samping itu juga, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) turut memperkenalkan beberapa subjek berkaitan dengan alam sekitar, antaranya adalah Pembangunan Wilayah, Perbandaran serta Pembangunan Lestari. Dengan adanya inisiatifinisiatif seperti ini dapat melibatkan mahasiswa secara langsung dengan alam sekitar dan seterusnya dapat memupuk semangat cintakan alam sekitar di dalam diri mahasiswa. Pendidikan secara tidak formal ini dilakukan untuk membantu menjayakan pendidikan secara formal dalam memberi kesedaran kepada masyarakat berkaitan dengan kepentingan alam sekitar serta mencegah masalah alam sekitar daripada terus berlaku. Hal ini dapat dilihat apabila Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang merupakan salah satu daripada badan bukan kerajaan yang terlibat telah menjalankan beberapa program kepada masyarakat yang bertujuan untuk mempertingkatkan kesedaran orang awam serta bertanggungjawab dalam menjaga alam sekitar. Antara program yang telah dilaksanakan oleh JAS adalah seperti perkhemahan, seminar serta motivasi khusus kepada pelajar sekolah semasa cuti sekolah berlangsung. Serta telah melancarkan kempen, menerbitkan majalah serta risalah. Sebagai contohnya adalah penerbitan Laporan Tahunan Kualiti Alam Sekeliling bagi memudahkan masyarakat mengetahui tentang masalah dan kualiti pencemaran yang wujud di negara ini. Tujuan kempen ini dilancarkan adalah untuk menyampaikan keprihatinan penduduk dunia mengenai perlunya satu tindakan yang proaktif dalam menangani isu pemanasan global.
5.2.2
Pemonitoran dan Penyelidikan
Bagi mengawal pencemaran udara, pengawasan dan pemonitoran kualiti udara yang telah berfungi untuk mengetahui ciri-ciri kualiti udara ambien serta mengenal pasti trend jangka
panjang kualiti udara. Aktiviti ini juga, mewujudkan data bagi menilai akibat projek pembangunan dalam sesebuah kawasan. Bagi menjayakan pengawasan kualiti udara ini, Jabatan Alam Sekitar telah mewujudkan dua jenis stesen pemonitoran iaitu stesen jangka panjang dan stesen jangka pendek. Stesen tetap atau juga digelar stesen jangka panjang telah diwujudkan dalam jarak yang jauh antara satu sama lain di seluruh negara. kewujudan stesen ini adalah untuk mengenal pasti kualiti udara dan trendnya secara keseluruhan bagi sesuatu wilayah ataupun negara. Manakala stesen jangka pendek pula digelar stesen sementara yang diwujudkan bagi pemonitoran sesuatu kawasan tertentu yang berada berhampiran punca pencemar. Program pemonitoran kualiti udara ini telah dimulakan pada tahun 1977 di sekitar kawasan Batu Caves dan di sekitar kilang simen di Rawang.
6.0
KESIMPULAN
Sebagai kesimpulannya, pencemaran udara banyak mendatangkan impak negatif yang serius kepada manusia dan juga alam sekitar. Semakin hari fenomena ini berlaku dengan berleluasa walaupun banyak usaha atau langkah yang telah diambil bagi mengatasi masalah ini. Kerakusan manusia dalam mengecapi nikmat hidup mendorong sesetengah individu untuk mencapai hasrat mereka itu tanpa memikirkan kesan dan akibat daripada perbuatan tersebut. Oleh itu, sesuatu perkara yang hendak dijalankan perlulah difikirkan akan kesan dan akibatnya agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini. Pencemaran udara merupakan masalah yang harus dipandang serius untuk menjaga bumi ini daripada kesan-kesan seperti pemanasan global, penipisan lapisan ozon dan sebagainya. Jika kesan-kesan serius seperti pemanasan global dan juga penipisan lapisan ozon ini terus berlaku tanpa dikawal, pelbagai masalah akan timbul bukan sahaja kepada manusia malah benda hidup lain, harta benda, ekosistem bumi, alam sekitar dan lain-lain lagi. Pencemaran udara berpunca daripada pelbagai sebab, jenis dan sumber-sumber pencemaran yang dihasilkan oleh setiap negara di seluruh dunia. Oleh yang demikian, semua pihak sama ada negara maju mahupun negara sedang membangun harus berganding bahu bagi mengurangkan masalah pencemaran
udara dari terus berleluasa. Semua pihak perlulah mengambil bahagian dalam menjamin kualiti udara agar sentiasa berada dalam keadaan bersih dan terkawal.