1.0 PENDAHULUAN Selaras dengan kemajuan Negara dalam memacu wawasan 2020, aspek jenayah juga turut mengalami perkembangan negatifnya. Konsep jenayah itu pada amnya, satu perbuatan yang menyalahi undang- undang kerajaan. Menurut kamus dewan, jenayah ialah kesalahan yang dilakukan oleh individu atau kumpulan dengan niat hendak melakukan kesalahan itu. Undang – undang pula ialah sesuatu peraturan atau keseluruhan peraturan yang di gubal (dibuat) oleh sesebuah kerajaan negeri atau negara dan iannya mesti dipatuhi oleh setiap individu atau masyarakat tersebut. Di dalam sesebuah negara demokrasi, Parlimen membuat undang - undang yang mesti diikuti oleh setiap orang. Berdasarkan definisi yang telah dilampirkan dapatlah dirumuskan bahawa, jenayah adalah perkara yang melanggar sesuatu peraturan yang telah ditetapkan oleh kuasa eksekutif dan dilaksanakan oleh bidang kehakiman. Sesuatu perbuatan atau kesalahan jenayah adalah dilakukan dengan niat salah. Sesuatu perbuatan tidak boleh menjadi jenayah sekiranya tidak disertai dengan niat, walaupun akibat dari perbuatan seperti itu, membawa kecederaan atau maut terhadap mangsanya. Didalam perundangan jenayah moden Lord Kenyon menyatakan pensabitan jenayah perlu disertai niat dan perbuatan. “The intent and the Act must both concur to constitute the crime” 1. Ini bermakna dengan sebab kesalahan sesuatu jenayah itu, maka pelaku kesalahan
itu akan dihukum dengan balasan penjara, atau denda atau diseksa atau boleh di kenakan hukuman mati jika disabit kesalahan.
2.0 ELEMEN- ELEMEN JENAYAH 1
https://en.wikipedia.org/wiki/Fowler_v_Padget diperoleh pada 1 ogos 2015
1
Dalam undang-undang jenayah, prinsip actus non facit reum nisi mens sit rea yang bermaksud “an act does not make a man guilty of a crime unless his mind be also guilty” adalah prinsip asas yang dipakai dalam menetapkan sama ada individu itu dapat disabit kesalahan dan dihukum atas kesalahan jenayah ataupun tidak. Secara umumnya, prinsip ini menyatakan individu itu tidak disabitkan dengan jenayah melainkan pihak pendakwa berjaya membuktikan tanpa keraguan munasabah kedua-dua unsur ini iaitu: a. Beliau menyebabkan kejadian ataupun tanggungjawab diletakkan ke atas bahunya kerana beliau sudah menyebabkan kewujudan keadaan yang dilarang oleh undangundang jenayah iaitu actus reus. b. Beliau berada dalam keadaan sedar dan fikiran yang waras berhubung dengan sebab kejadian ataupun wujudnya keadaan-keadaan itu iaitu mens rea. Perbuatan jenayah ataupun actus reus yang dilakukan tanpa kehadiran niat jahat ataupun mens rea menjejaskan liabiliti jenayah individu terbabit. Walau bagaimanapun, terdapat juga jenis perbuatan jenayah yang dikategorikan sebagai tanggungan keras atau strict liability yang tidak memerlukan sebarang kehadiran niat jahat dalam perlakuan jenayah. 2.1 Actus Reus Actus Reus ialah elemen fizikal yang perlu ada dalam membentuk liabiliti jenayah atau tanggungan jenayah. Jenayah ditakrifkan sebagai sebarang perbuatan (conduct), tinggalan (omission) ataupun keadaan yang dinyatakan dalam definisi jenayah yang dituduh beserta keadaan sekeliling. Perkara ini selain daripada elemen niat jahat dan apa-apa akibat perbuatan ataupun tinggalan yang diperlukan oleh definisi itu.
2
Bagi memastikan kewujudan actus reus dalam perbuatan jenayah, konsep perbuatan dan kesan yang terhasil daripada perbuatan jenayah perlu dibezakan. Hal ini kerana, actus reus bukan tertumpu kepada perbuatan semata tetapi memerlukan bukti kelakuan itu mempunyai akibat yang relevan dengan perbuatan itu. Dalam memahami konsep akibat jenayah, undang-undang berminat dengan akibat ataupun kesan dan bukannya kelakuan yang membawa kepada akibat tersebut. Sebagai contoh, dalam jenayah membunuh. Perbuatan A yang menikam perut dan dada B dengan pisau secara bertubi-tubi dikira sebagai jenayah. Hal ini kerana hasil tikaman itu diketahui dapat menyebabkan kematian B. Misal kata, A hanya menikam kaki B dengan pisau, jenayah itu terhad kepada kesalahan menyebabkan kecederaan parah. Secara lazimnya, tikaman sedemikian diketahui tidak menyebabkan kematian. Begitu juga dengan situasi apabila individu melepaskan tembakan ke arah mangsa, tembakan itu tidak menjadi jenayah. Namun, perkara yang menjadi jenayah adalah apabila peluru itu menembusi tubuh dan mengakibatkan kematian mangsa. 2.2 Mens Rea Elemen kedua yang perlu ada bagi mewujudkan tanggungan atau liabiliti jenayah adalah niat jahat atau mens rea. Actus reus menjadi jenayah apabila disertai mens rea yang sesuai dengannya. Mens rea digambarkan sebagai satu elemen mental yang diperlukan bagi sesuatu jenayah. Elemen mental ini boleh jadi dalam bentuk niat bagi melakukan satu perbuatan atau bagi menghasilkan satu kesan, dan boleh jadi juga dalam bentuk kecuaian sehingga terhasil perbuatan ataupun kesan itu. Mens rea merupakan keperluan mental yang mesti dipenuhi dan biasanya boleh dilihat dalam peruntukan seksyen tertentu. Keperluan mental ini mesti dipenuhi kerana
3
undang-undang jenayah hanya menghukum orang yang melakukan perbuatan jenayah itu dengan niat. Misalnya dalam seksyen 300 (a) Kanun Keseksaan yang berikut: “Kecuali dalam hal-hal yang dikecualikan kemudian daripada ini, mematikan orang dengan salah ialah membunuh orang-jika perbuatan yang menyebabkan kematian itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kematian; …………” Mens rea bagi seksyen 300 (a) ini adalah niat untuk menyebabkan kematian. Untuk didapati bersalah bagi kesalahan membunuh di bawah seksyen ini, tertuduh mestilah dibuktikan mempunyai niat untuk menyebabkan kematian mangsa. Gabungan actus reus dan mens rea akan membuktikan bahawa perbuatan tertuduh, misalnya melepaskan tembakan ke kepala mangsa, dibuat dengan niat untuk menyebabkan kematian mangsa. Mens rea bukanlah sesuatu yang boleh dilihat, mens rea disimpulkan melalui tindak tanduk atau perlakuan tertuduh serta keadaan-keadaan sekeliling tertuduh dalam melakukan sesuatu perbuatan jenayah. Dalam menjelaskan kes-kes pembunuhan, persoalan perihal niat tertuduh ketika melakukan pembunuhan adalah sangat penting. Bagi mengenal pasti niat penjenayah, bentuk perbuatan, tahap keseriusan, dan sasaran perbuatan jenayah dapat memberi gambaran maksud yang mahu dicapai olehnya. Sebagai contoh dalam kesalahan mematikan orang, tikaman dan bahagian anggota tubuh yang ditikam dapat memberi gambaran niat pembunuh, sama ada mahu mangsanya mati ataupun hanya mahu mencederakannya sahaja. Apabila seseorang tertuduh menikam senjata tajam ke bahagian perut seseorang dengan kekuatan yang mencukupi bagi menembusi perut dan organ dalaman, tidak syak lagi beliau sebenarnya berniat menyebabkan kecederaaan yang pada kebiasaannya boleh membawa maut.
4
3.0 ASPEK TANGGUNGAN KERAS DAN TANGGUNGAN MUTLAK Bagi tertuduh yang disabitkan dengan satu kesalahan jenayah, dia sepatutnya dibuktikan memenuhi kedua-dua elemen actus reus dan mens rea bagi kesalahan tersebut. Peruntukan yang memperkatakan tentang kesalahan jenayah itu akan meletakkan elemen mens rea ini dengan memasukkan perkataan tertentu seperti niat, mengetahui, dengan curang, cuai, dengan jahatnya, dengan gopoh dan sebagainya. Oleh kerana kebanyakan undang-undang kini merupakan undang-undang bertulis, maka mahkamah biasanya dalam membuat keputusan akan cuba memberikan apakah yang pada pendapatnya dimaksudkan oleh penggubal undangundang bertulis itu. Jika tiada perkataan yang berbentuk mens rea seperti berniat, dengan curangnya, cuai, dengan jahatnya, dengan sengaja, dengan gopohnya atau pengetahuan yang dimasukkan di dalam peruntukan itu. Maka mahkamah biasanya akan memutuskan bahawa niat Parlimen adalah untuk tidak menjadikan elemen tersebut sebagai elemen yang wajib dibuktikan untuk kesalahan itu. Namun pada masa yang sama, elemen mens rea merupakan elemen asas yang wajib dipenuhi untuk membuktikan satu kesalahan, sebelum tertuduh disabitkan. Di sinilah timbulnya isu adakah peruntukan yang tidak meletakkan elemen mens rea sememangnya tidak berniat untuk menjadikan elemen itu sesuatu yang perlu dibuktikan. Atau adakah elemen mens rea itu masih perlu dibuktikan walaupun peruntukan itu membisu mengenainya. Kesalahan tanggungan keras tidak sama dengan kesalahan tanggungan mutlak. Kesalahan tanggungan mutlak bermaksud tertuduh bersalah tanpa memerlukan sebarang elemen mental dan dia tidak mempunyai sebarang dalihan, samada berasaskan common law ataupun statut. Kesalahan ini hanya memerlukan actus reus dibuktikan untuk tertuduh disabitkan. Sementara kesalahan tanggungan keras merupakan kesalahan di mana Mahkamah mengetepikan elemen
5
mental bagi mendapati tertuduh bersalah. Tertuduh mesti melakukan perbuatan itu dengan sengaja. Perbuatan itu mestilah berlaku dalam kawalannya.
4.0 DALIHAN-DALIHAN AM Bahagian ini akan membincangkan dalihan-dalihan am yang boleh digunakan oleh tertuduh sebagai belaan terhadap pertuduhan melakukan perbuatan jenayah yang dikemukakan terhadapnya. Selain daripada dalihan am ini, Kanun Keseksaan turut menyediakan dalihan spesifik yang boleh digunakan oleh tertuduh seperti yang dilihat dalam seksyen 300 Kanun Keseksaan. Kejayaan untuk menggunakan dalihan spesifik ini akan menyebabkan kesalahan itu tidak dikategorikan sebagai kesalahan membunuh tetapi kesalahan mematikan orang dengan salah.
Tertuduh tidak sepatutnya didapati bersalah
seandainya dia dapat menggunakan dalihan-dalihan am yang disediakan kerana walaupun dia melakukan perbuatan jenayah itu, tertuduh itu mempunyai dalihan mengenai perbuatan itu. Mengikut Seksyen 105 Akta Keterangan 1950, seseorang tertuduh mempunyai beban untuk membuktikan bahawa terdapat keadaan di dalam kesnya yang boleh menyebabkan dalihan itu terpakai kepada kesnya. Dalihan-daliham am ini menunjukkan perbuatan tertuduh itu mempunyai justifikasi atau terdapat sesuatu pada dirinya yang menjadi alasan kepada perbuatannya itu. Sedikit perbincangan akan dibuat mengenai justifikasi dan alasan. Apabila tertuduh dikatakan mempunyai alasan dalam melakukan sesuatu perbuatan jenayah itu, tingkahlaku tertuduh yang menjadi perhatian. Tertuduh tidak bersalah kerana ada sesuatu pada dirinya yang menyebabkan dia tidak boleh dipersalahkan, misalnya jika dia tidak sempurna akal atau melakukan sesuatu dalam keadaan mabuk, atau tertuduh merupakan seorang kanak-kanak
6
yang belum mencapai umur tertentu ataupun jika telah mencapai umur, belum mempunyai kematangan. Apabila tertuduh melakukan sesuatu perbuatan jenayah kerana adanya justifikasi, ini bermakna perbuatan jenayah tertuduh itu diterima sebagai dibenarkan untuk dilakukan oleh undang-undang. Misalnya A membunuh B. Fakta menunjukkan bahawa B telah datang ke rumah A dengan sebilah pisau dan cuba menyerang A. A cuba merampas pisau itu dan semasa pergelutan berlaku, A menikam B yang menyebabkan B mati. Dalam keadaan ini perbuatan A membunuh B dibenarkan kerana A melakukannya semasa cuba mempertahankan dirinya daripada serangan B. A di sini mempunyai justifikasi untuk melakukan perbuatan jenayah itu. Perbuatan A dibenarkan oleh undang-undang untuk mempertahankan dirinya. Membahagikan dalihan ini kepada justifikasi ataupun alasan turut membantu Mahkamah dalam menentukan hukuman kerana bagi kesalahan yang dilakukan kerana justifikasi, Mahkamah tidak perlu mengkhuatiri untuk kesalahan ini berulang lagi. Keadaan ini berbeza dengan perbuatan jenayah yang dilakukan dengan alasan. Kemungkinan perbuatan jenayah yang sama berulang adalah besar kerana sesuatu yang ada pada tertuduh yang menyebabkan tertuduh melakukan perbuatan itu. Dalam keadaan ini tertuduh mestilah diletakkan di bawah pengawasan. Misalnya bagi seorang tertuduh yang tidak sempurna akal, dan dia berjaya menggunakan dalihan ini, dia mesti diletakkan di tempat yang mempunyai pengawasan, agar dia tidak mengulangi perbuatan jenayah yang sama di masa hadapan. Namun apa yang pasti sama ada justifikasi ataupun alasan, tertuduh tidak didapati bersalah untuk perbuatan jenayah yang telah dilakukan.
4.1 Dalihan am (silap faham) 7
Dalihan berbentuk silap faham di sini merujuk kepada silap faham nyataan dan bukan undang-undang. Jika dalihan silap faham mengenai undang-undang dibenarkan, maka amatlah sukar untuk digunakan bersama dengan maksim yang menyatakan bahawa kejahilan undang-undang bukanlah suatu dalihan (ignorance of the law is no excuse). Dalam kes Bailey (1800) 168 ER 657 di mana tertuduh didapati bersalah untuk perbuatan jenayah yang telah diwujudkan oleh Parlimen semasa dia berada di tengah lautan. Walaupun dia tidak mengetahui tentang peruntukan Akta itu dan dia tidak mempunyai cara untuk mengetahuinya, dia masih dianggap bertanggungan. Apakah yang dimaksudkan dengan silap faham undang-undang? Silap faham undangundang berlaku apabila satu pihak yang mempunyai pengetahuan mengenai fakta telah membuat kesimpulan yang salah berkaitan dengan kesan undang-undang tersebut. Dalam kes Kaluram Nenuram AIR (1934) Sin 52 tertuduh telah ke rumah pengadu dengan seorang pegawai mahkamah untuk menguatkuasakan waran. Pegawai mahkamah memanggil nama pengadu tetapi tiada jawapan. Isteri pengadu berada di dalam rumah pada masa itu. Apabila melihat orang yang tidak dikenalinya, isteri pengadu telah menutup pintu rumahnya. Tertuduh telah menolak pintu itu sehingga menyebabkan isteri pengadu terjatuh dan pengsan. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 352 untuk kekerasan jenayah dan didapati bersalah. Mahkamah berpendapat bahawa tertuduh bukan orang yang bertanggungjawab untuk menguatkuasakan waran itu maka dia tidak berhak untuk menolak pintu sehingga mencederakan isteri pengadu. Silap faham undang-undang ini boleh berlaku samada kerana tertuduh menyangka bahawa undang-undang mengenai sesuatu perkara itu ada ataupun tidak, atau silap faham berkaitan dengan subjek yang diperkatakan oleh sesuatu undang-undang itu. Seksyen 76 dan 79 Kanun Keseksaan merujuk kepada dalihan berdasarkan silap faham. Seksyen 76 menetapkan bahawa tidaklah menjadi kesalahan bagi seorang tertuduh yang melakukan sesuatu kerana silap faham nyataan bahawa dia terpaksa melakukannya di 8
sisi undang-undang. Sementara Seksyen 79 pula merujuk kepada tertuduh yang melakukan sesuatu perbuatan jenayah kerana silap faham nyataan bahawa dia dibenarkan untuk berbuat demikian oleh undang-undang. Di antara kedua-dua seksyen ini, Seksyen 79 adalah lebih luas kerana dibenarkan oleh undang-undang, boleh merangkumi terpaksa di sisi undang-undang. Ungkapan dibenarkan oleh undang-undang merujuk kepada keadaan di mana tertuduh mempunyai sebab yang mencukupi untuk mempercayai bahawa dia dibenarkan untuk melakukan perkara tersebut. Dalam keadaan ini perbuatannya tidak menjadi satu kesalahan. Apakah yang dimaksudkan dengan silap faham nyataan? Silap faham nyataan merujuk kepada kesilapan yang melibatkan sesuatu fakta atau nyataan. Keadaan ini mungkin berlaku kerana tertuduh tidak mempunyai maklumat yang cukup, atau menerima maklumat yang salah, terlupa, cuai atau mempunyai syak wasangka. Untuk menggunakan dalihan silap faham nyataan ini, perlu dibuktikan beberapa perkara iaitu: (i) Keadaan mengenai perkara yang dipercayai itu, jika benar, membenarkan perbuatan tertuduh (ii) Silap faham itu mestilah munasabah, dan (iii) Silap faham itu mestilah melibatkan silap faham nyataan berkaitan dengan fakta dan bukan undang-undang Misalnya dalam kes Chirangi, AIR (1952) Nag 156 tertuduh membunuh anaknya kerana dia menyangka anaknya itu adalah seekor harimau. Tertuduh menghadapi masalah bilateral cataract di samping mengalami keadaan suhu badan yang tinggi menyebabkan dia mengalami temporary delirium. Akibat daripada gabungan kedua-dua masalah ini, tertuduh dengan suci hati menyangka yang dibunuhnya adalah seekor harimau dan bukan anaknya. Dia tidak didapati bersalah kerana adanya silap faham nyataan. Dalam kes Bonda Kui, 43 Cri LJ 787 tertuduh menyangka dia dibenarkan oleh undang-undang untuk membunuh mangsa 9
yang dipercayai sebagai satu makhluk yang memakan manusia. Dia bertindak berdasarkan silap faham nyataan. Lihat pula kes Abdullah (1954) 20 MLJ 195 tertuduh dituduh merogol dan perbincangan mengenai Seksyen 79 berbangkit daripada dalihan yang dikemukakan oleh tertuduh bahawa dia menyangka mangsa berumur lebih daripada enam belas tahun, sedangkan pada hakikatnya mangsa berusia kurang daripada empat belas tahun. Sementara dalam kes Sulong Nain (1947) MJL 138 mahkamah mendapati bahawa tertuduh tidak mempunyai sebarang silap faham mengenai apakah barang yang berada dalam milikannya iaitu dua biji bom tangan maka dalihan di bawah seksyen 79 ini tidak boleh digunakan. Selain daripada membuktikan silap faham nyataan, tertuduh juga perlu membuktikan bahawa tindakan yang dilakukannya adalah dilakukan dengan suci hati. Seksyen 52 mentakrifkan suci hati sebagai melakukan atau mempercayai sesuatu dengan hemat dan cermat. Di dalam kes ini, peguam tertuduh cuba menggunakan seksyen 76 dan 79 sebagai dalihan kepada tertuduh. Sebagaimana diketahui, seksyen 76 berkenaan dengan silap faham nyataan. Manakala seksyen 79 berkaitan dengan silap faham undang-undang. Peguam tertuduh membawa hujah bahawa anak guamnya telah silap fakta mengenai barang yang dibawanya dan mahkamah mendapati bahawa tertuduh tidak mempunyai sebarang silap faham mengenai apakah barang yang berada dalam milikannya dan beliau sendiri mengetahu bahawa beliau membawa atau memiliki senjata api iaitu dua biji bom tangan maka dalihan di bawah seksyen 76 ini tidak boleh digunakan. Seksyen 79 juga tidak terpakai di dalam kes ini tertuduh tidak mempunyai silap faham undang-undang dan sebagaimana diketahui, semua orang dianggap sebagai mengetahui akan sesuatu undang-undang tersebut. 5.0 ALASAN PENGHAKIMAN DAN KEPUTUSAN Mahkamah dalam penghakimannya terhadap rayuan perayu terhadap pensabitan bagi kesalahan membawa senjata iaitu dua bom tangan yang bertentangan dengan Seksyen 3 (1) 10
Arahan Awam dan Pengisytiharan Keselamatan. Fakta yang tidak dipertikai, iaitu semasa ditangkap, perayu membawa beg, dan di dalamnya terdapat dua bom tangan beserta dua sumbu yang lengkap dengan bahan peledak. Perayu dalam keterangannya kepada pihak mahkamah menyatakan bahawa semasa ditangkap beliau membawa dua bom tangan dengan niat untuk menyerahkannya kepada pihak polis. Hakim dalam alasan penghakimannya menyatakan bahawa perayu didapati bersalah kerana membawa senjata. Ini kerana, pada masa tersebut, Undang-undang Darurat melarang pemilikan senjata api dan tujuannya adalah bagi menghalang pemilikan senjata api secara berleluasa setelah tamat perang dan sesiapa yang melakukannya, dikira bertanggungan keras. Bagi alasan perayu yang menyatakan bahawa beliau berniat untuk menyerahkan bom tangan tersebut kepada pihak polis, Mahkamah tidak menerima alasan ini. Hakim dalam penghakimannya menyatakan bahawa tidak syak lagi bahawa tertuduh membawa bom tangan tersebut ke Seremban bagi tujuan dirinya sendiri, dan beliau tiada niat untuk menyerahkannya kepada pihak polis. Beliau juga mengetahui bahawa barang yang beliau miliki merupakan senjata api dan dengan ini beliau didapati bersalah. Oleh yang demikian, Mahkamah memutuskan bahawa perayu didapati bersalah kerana memliki senjata api iaitu dua bom tangan yang bertentangan dengan seksyen 3 (1) Arahan Awam dan Pengisytiharan Keselamatan. Beliau telah disabitkan dan dijatuhkan hukuman penjara bagi satu tempoh yang ditentukan.
6.0 ANALISIS Kes ini berkaitan dengan OKT yang menghadapi tuduhan membawa senjata api yang bertentangan dengan seksyen 3(1) di bawah Arahan Awam dan Pengisytiharan Keselamatan 1946. Kesalahan tersebut ialah satu larangan keras dan mutlak. Perayu dalam hujahnya 11
mengemukakan dalihan silap fakta di bawah Seksyen 76
Kanun Keseksaan. Namun,
mahkamah menolaknya dan menyatakan bahawa sekiranya seseorang dengan sengaja telah membawa senjata, dengan ini tiada lagi kesilapan fakta yang boleh diterima dalam perundangan. Oleh itu seseorang itu memang telah tahu dia membawa senjata dan sekaligus sememangnya berniat membawa senjata itu. Oleh itu, bagi sesuatu kesalahan jenayah yang bertanggungan keras, maka elemen mens rea ternyata tidak diperlukan dan memadai dengan wujudnya elemen actus reus sahaja. Bagi dalihan am pula, perayu cuba menggunakan seksyen 76 dan 79 sebagai dalihan. Di dalam kes ini, dalihan silap faham fakta atau nyataan tidak diterima. Ini kerana, perayu memang telah mengetahui bahawa beliau sedang membawa senjata api ketika ditangkap. Oleh itu, tiada salah faham fakta yang boleh dibuktikan bagi membuktikan bahawa beliau tidak mengetahu akan barang yang sedang dibawa itu. Seksyen 79 pula tidak boleh digunakan dalam kes ini kerana perayu sememangnya mengetahui akan kesalahan membawa atau memiliki senjata api pada waktu itu dan mustahil beliau tidak mengetahui akan undangundang tersebut. Ini kerana semua orang dianggap mengetahu akan kewujudan undangundang.
7.0 KESIMPULAN Secara keseluruhannya, sesuatu perbuatan atau kesalahan jenayah adalah dilakukan dengan niat salah. Sesuatu perbuatan tidak boleh menjadi jenayah sekiranya tidak disertai dengan niat, walau pun akibat dari perbuatan seperti itu, membawa kecederaan atau maut terhadap
12
mangsanya. Namun niat dan perbuatan belum cukup mensabitkan jenayah sekiranya ada dalihan-dalihan yang diwujudkan oleh pelaku.
8.0 RUJUKAN ACP (B) Mohd Reduan Aslie. 2009. “Jenayah”. Kuala Lumpur : Alaf 21 Publication Fazlur Rahman. 1985. “” Law and ethics in Islam”. In Hovannisian, R.G. (ed) Ethics in Islam. California: Udena Publication 13
Abdul Aziz Hussin .1988. “Panduan Umum Undang-undang Jenayah Di Malaysia” . Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
14