EKONOMI MALAYSIA KE ARAH PEMBANGUNAN SEIMBANG
Nor Aini Haji Idris, Ishak Yussof
ISBN 978-967-942-914-5
Penerbit Univerisiti Kebangsaan Malaysia (UKM),2009
Pertumbuhan ekonomi merupakan entiti paling penting dalam meningkatkan
pendapatan dan taraf hidup rakyat. Namun pertumbuhan ekonomi sahaja belum
pasti menjamin faedahnya dinikmati secara saksama oleh semua lapisan
rakyat. Justeru keseimbangan di antara pertumbuhan ekonomi dan
kesejahteraan ekonomi, sosial dan politik penduduk perlu diberi perhatian
serius bagi menentukan pembangunan Negara.
Misi Nasional dilancarkan serentak dengan Rancangan Malaysia
Kesembilan, 2006-2009. Matlamat RMK-9 ialah untuk mencapai tahap ekonomi
negara yang lebih kukuh disamping Kerajaan berusaha untuk mencapai
pembangunan yang seimbang dan berkualiti. Proses pertumbuhan ekonomi
memerlukan pelbagai kompenan termasuk tanah, buruh, modal dan teknologi.
Kompenan ini harus digabungkan dengan bijak bagi menghasilkan pertumbuhan
yang seimbang dan berkualiti.
Pertumbuhan ekonomi merujuk kepada peningkatan dalam nilai barangan
dan perkhidmatan yang dihasilkan oleh sesebuah ekonomi. Terdapat pelbagai
cara untuk mengukur pertumbuhan ekonomi sesebuah negara seperti peratus
peningkatan dalam KDNK, ukuran KDNK per kapita, pekali Gini dan Keluaran
Dalam Negara Kasar Hijau (GGDP). Meskipun KDNK mempunyai kelemahan sebagai
ukuran pertumbuhan, KDNK masih diterima sebagai ukuran pertumbuhan dalam
konteks perancangan pertumbuhan ekonomi jangka panjang dan masih diterima
umum sebagai indikator terpenting (Meier 2005). KDNK boleh disesuaikan
dengan parity kuasa beli (PPP) sesebuah Negara dalam memberi gambaran
sebenar taraf hidup penduduk sesebuah Negara.
Terdapat dua pendekatan agihan iaitu yang pertama 'agihan dalam
pertumbuhan' iaitu agihan daripada kekayaan yang sediada dan yang kedua
'agihan bersama pertumbuhan' iaitu agihan yang diberikan hasil daripada
kekayaan baru. 'Agihan dalam pertumbuhan' sering dikritik kerana kegagalan
untuk memperbaiki fenomena miskin dalam kebanyakan negara membangun dan
pertumbuhan ekonomi yang tidak seimbang. Manakala 'agihan bersama
pertumbuhan' dianggap berupaya menjana ekonomi dengan lebih seimbang
sekaligus membebaskan negara membangun daripada fenomena kemiskinan.
Bagi mencapai pembangunan seimbang memerlukan dasar dan strategi dalam
ekonomi Negara. Di Malaysia dasar dan strategi ke arah mewujudkan
pembangunan ekonomi yang lebih seimbang telah lama diberi penekanan.
Cabaran yang dihadapi Malaysia bukan sekadar menjana pertumbuhan ekonomi
Negara sahaja, namun kesan penjajahan dan sejarah lalu adalah cabaran
terbesar yang harus dihadapi oleh Malaysia. Dasar 'pecah dan perintah'
melibatkan dan 'pembangunan wilayah berpilih' melibatkan wilayah mewujudkan
dualisme ekonomi dan menjadi cabaran terbesar dalam proses kemajuan ekonomi
Malaysia.
Semenjak merdeka, kemajuan ekonomi negara dipengaruhi oleh beberapa
siri rancangan lima tahun Negara. Pasca 13 Mei 1969 rusuhan yang melibatkan
kaum, kerajaan menyedari harus ada tindakan segera dalam menangani masalah
ini daripada terus menjarah. Maka pada tahun 1971 Dasar Ekonomi Baru (DEB)
atau Rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama (RRJP1) 1971-1990, telah
diperkenalkan dengan matlamat utama membangunkan ekonomi Negara secara
seimbang dari segi agihan dan meningkatkan perpaduan kaum sekaligus
membasmi kemiskinan yang melibatkan bumiputera.
Meskipun matlamat DEB untuk meningkatkan penguasaan 30% ekuiti
bumiputera belum tercapai, namun DEB berjaya mengurangkan kadar kemiskinan
daripada 49.3% kepada 15.0% dan KDNK per kapita meningkat daripada hanya RM
993 kepada RM 4,392 peningkatan sebanyak 3.42%. Dari segi agihan kekayaan
mengikut kaum, pegangan saham bumiputera meningkat kepada 19.3% daripada
2.4%. Guna tenaga bumiputera dalam sektor Profesional dan Teknikal serta
Pentadbiran dan Pengurusan turut meningkat masing-masing daripada 47.2% dan
22.4% pada 1970 kepada 60.3% dan 33.3% pada tahun 1990.
Setelah DEB berakhir, kerajaan meneruskan RRJP2 atau juga dikenali
sebagai Dasar Pembangunan Negara (DPN) meliputi tempoh 1991-2000. DPN
dilihat sebagai kesinambungan DEB memandangkan sebahagian matlamatnya
meneruskan usaha membasmi kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat.
Kerajaan berjaya mengurangkan kadar kemiskinan menjelang tahun 2000
daripada 5.2% kepada 0.8%. DPN juga turut memberi penekanan kepada kualiti
sumber manusia terutama tenaga mahir. Dalam tempoh ini tumpuan lebih
diberikan untuk mengalih aktiviti pengeluaran daripada intensif buruh
kepada berintensifkan modal dan teknologi tinggi. Untuk menyokong usaha ini
kerajaan telah menggubal Akta Pengajian Tinggi Swasta 1996 bagi menjadi
sumber masa hadapan dalam sektor tenaga mahir.
Pada tahun 2000 RRPJ3 atau Dasar Wawasan Negara (DWN) yang meliputi
tahun 2001-2010 telah dilaksanakan. Matlamat rancangan ini ialah untuk
mempertingkatkan kualiti pembangunan dan menjana pertumbuhan tinggi yang
mampan. DWN masih memberi fokus kepada isu kemiskinan, perpaduan kaum dan
agihan. DWN memberi penekanan yang lebih serius untuk mengalih ekonomi
Negara berasaskan pengeluaran (p-economy) kepada berasaskan pengetahuan (k-
economy) untuk menjamin daya saing di peringkat global.
Tempoh 2011-2020 dibawah RMK-9 kerajaan telah menggariskan strategi
menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Ini
lebih dikenali sebagai Misi Nasional dengan matlamat utama untuk mencapai
kadar pertumbuhan purata sebanyak 6.0% setahun dalam tempoh lima tahun akan
datang dan 6.5% dalam tempoh 2011-2020 berikutnya. Disamping mengejar
status negara maju, kerajaan juga bertekad membangunkan modal insan yang
boleh menjana pertumbuhan ekonomi secara seimbang dan tidak mengenepikan
isu kemiskinan, kemanusiaan dan moral. Di dalam RMK-9 kerajaan berkeyakinan
dengan pendekatan 'agihan bersama pertumbuhan'.
Di dalam RMK-9 kerajaan berusaha menangani masalah ketidakseimbangan
sosioekonomi. Antara fokus yang telah digariskan oleh kerajaan dalam RMK-9
ialah membasmi kemiskinan tegar menjelang tahun 2010, mengurangkan jurang
penduduk luar bandar dengan bandar, memajukan wilayah, merapatkan jurang
digital, menangani jurang antara kaum dengan menambah pendapatan melalui
peningkatan kemahiran, menggalakkan peluang pekerjaan sama rata, mewujudkan
usahawan generasi baru dan enterpris bumiputera yang berdaya saing dan
mengakaji dasar dan program penyusunan semula.
Pada umumnya segala dasar dan strategik yang diambil kerajaan dan
usaha-usaha yang dilakukan sejak merdeka sehingga kini membayangkan
keseriusan kerajaan untuk mewujudkan pembangunan ekonomi yang seimbang.
Pembangunan ekonomi seimbang melalui strategi 'pertumbuhan bersama agihan'
sememangnya menjadi matlamat yang ingin dicapai oleh kebanyakan Negara,
terutamanya dikalangan Negara membangun. Dalam konteks ekonomi Malaysia,
isu agihan antara kaum memerlukan masa yang lama untuk diselesaikan.
Kualiti hidup penduduk mempunyai kaitan yang rapat dengan pertumbuhan
ekonomi dan pembangunan seimbang sesebuah negara. Kelemahan KDNK perkapita
yang hanya memberi gambaran umum mengenai taraf hidup penduduk sesebuah
Negara telah membawa kepada kemunculan pendekatan alternatif untuk mengukur
kesan pertumbuhan ekonomi ke atas kehidupan penduduk secara lebih
terperinci dan komprehensif.
Antara pendekatan yang digunakan ialah pekali Gini yang digunakan
bersama Keluk Lorenz sebagai petunjuk kepada ketidak seimbangan agihan.
Indeks Kualiti Hidup Fizikal (PQLI), bagi mengukur kualiti hidup dan
kesejahteraan penduduk sesebuah Negara. Ukuran Kesejahteraan Sosial. Indeks
Asas Kesejahteraan Sosial (BWI) merupakan gabungan antara PQLI dan Ukuran
Kesejahteraan Sosial, dan akhir sekali Indeks Pembangunan Manusia (HDI)
yang dihasilkan oleh ahli ekonomi Pakistan, Mahbub ul Haq, dan digunakan
oleh UNDP sejak tahun 1993. Indeks HDI sangat berguna untuk mengukur
kesejahteraan hidup manusia dan bagi tujuan perbandingan antara negara.
Malaysia juga turut menerbitkan indeks kualiti hidup untuk mengukur
kesan pertumbuhan ekonomi ke atas taraf hidup dan kesejahteraan
penduduknya. Indeks Kualiti Hidup Malaysia (IKHM) menjadikan tahun 1990
sebagai tahun asas semasa mengira indeks berkenaan. IKHM menggunakan 42
petunjuk meliputi 11 kompenan kehidupan seperti pendapatan dan penagihan,
persekitaran kerja, pengangkutan dan komunikasi, kesihatan, pendidikan,
perumahan, alam sekitar, kehidupan keluarga, penyertaan sosial, keselamatan
awam, dan kebudayaan dan liburan.
Analisis impak pertumbuhan ekonomi ke atas IKHM menunjukkan kualiti
hidup penduduk negara secara keseluruhannya meningkat sejak 14 tahun
(2004). Indeks komposit IKHM meningkat sebanyak 10.9%. Data IKHM yang
diperolehi menujukkan, IKHM lebih berkait rapat dengan pendapatan per
kapita (KDNK per kapita) dan IKHM tidak terkesan dengan kadar pertumbuhan
ekonomi Negara sekaligus menunjukkan kadar pertumbuhan ekonomi yang
lazimnya diukur oleh perubahan dalam KDNK, bukanlah faktor utama yang boleh
menjamin kualiti hidup penduduk meningkat. Ini dibuktikan dengan dalam pada
tahun 1998 dan tahun 2001, meskipun pertumbuhan ekonomi Malaysia merosot,
namun ianya tidak menjejaskan indeks komposit IKHM.
Modal manusia atau kini dikenali sebagai modal insan diakui penting
dalam membangunkan sesebuah Negara. Ini dipandang serius oleh kerajaan
apabila menjadikan aspek modal insan iatu memupuk masyarakat 'minda kelas
pertama' sebagai teras kedua dalam Misi Nasional atau RMK-9. Sejak tahun
1990, kerajaan telah memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan dan
telah beralih daripada 'tenaga buruh yang ramai dan murah' untuk menarik
pelaburan asing kepada keperluan 'tenaga mahir' dalam usaha proses
penyerapan teknologi.
Melalui RMK-9, kerajaan telah menggariskan tiga strategi utama dalam
melahirkan modal insan kelas pertama. Strategi yang pertama adalah
meningkatkan keupayaan dan penguasaan ilmu pengetahuan. Antara usaha yang
dilakukan oleh kerajaan ialah memperuntukkan RM1.15 billion kepada sekolah
luar bandar, menubuhkan dua buah Universiti baru di Pantai Timur,
meningkatkan latihan kemahiran di Kolej Komuniti dan Pusat Teknologi
Lanjutan, menaik taraf Maktab Perguruan kepada Institut Perguruan dan
menggandakan pengambilan pelatih Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).
Strategi kedua ialah memperkukuhkan keupayaan R&D, sains dan inovasi.
Melalui pendekatan ini kerajaan dengan serius telah menyasarkan sasaran
perbelanjaan R&D Negara sebanyak 1.5% pada KDNK menjelang tahun 2010.
Tabung Tekno dan Tabung Sains diwujudkan bagi memudahkan pembiayaan
pendidikan dan Kerajaan telah melancarkan Program Brain Gain, untuk menarik
penyelidik dan saintis ke Malaysia.
Memupuk Masyarakat Berbudaya dan Memiliki Kekuatan Moral menjadi
strategi ketiga yang telah digariskan dalam RMK-9. Melalui strategi ini
kerajaan telah berusaha menjadikan rakyat Malaysia berdaya saing, berbudaya
kerja cemerlang, berintegriti dan memiliki kekuatan moral sekaligus
mengurangkan gejala rasuah, penipuan dan jenayah kolar putih yang akan
mengakibatkan pembaziran sumber, penambahan kos dan akhirnya memberi kesan
buruk kepada ekonomi dan pembangunan negara. Oleh itu kerajaan telah
membelanjakan sebanyak RM200 billion dalam RMK-9 yang meliputi 44.9% kepada
pembangunan sektor ekonomi, 10.6% sosial dan 6.9% kepada keselamatan dan
pentadbiran am. Dari segi subsektor, latihan dan pendidikan mendapat
peruntukan terbesar sebanyak 20.6% selaras dengan hasrat kerajaan untuk
meningkatkan kualiti modal insan. dalam usaha menuju kearah sebuah negara
maju menjelang tahun 2020, kerajaan sedar bahawa dalam membangunkan ekonomi
negara, rakyat perlu dibekalkan pengetahuan disamping berketrampilan dan
mempunyai jati diri yang kukuh untuk bersaing di peringkat global.
Kualiti alam sekitar juga sangat penting dalam menyumbang kepada
pembangunan ekonomi yang seimbang. Di Malaysia, urus tadbir alam sekitar
dilaksanakan di bawah peruntukan Akta Alam Sekitar 1974 menerusi kaedah
'kawal dan arah'. Kebanyakan pandangan mengatakan bahawa pertumbuhan
ekonomi seringkali memberi kesan buruk kepada alam sekitar. Namun ada juga
beberapa pandangan misalnya Grossman dan Krueger yang menyatakan bahawa
pertumbuhan ekonomi boleh memberi kesan positif atau negatif bergantung
kepada tahap pembangunan ekonomi berkenaan. Ini dibuktikan dengan Keluk
Kuznetz Alam Sekitar yang menunjukkan bahawa kualiti alam sekitar mempunyai
hubungan menyonsang dengan seperti 'U terbalik' dengan pendapatan per
kapita.
Kerajaan memandang serius isu alam sekitar ini sebagai masalah
nasional dengan memasukkan kepentingan memelihara alam sekitar menjadi
teras keempat dalam Misi Nasional. Meskipun terdapat pengurangan dalam
indeks pencemaran udara semenjak tahun 2000, namun Negara mengalami masalah
pencemaran sungai dan air marin yang semakin mendesak. Malaysia juga pada
masa ini menghuni tangga tertinggi di dunia dalam pembuangan sisa pepejal
sebanyak 7.34 juta tan metrik pada tahun 2005.
Untuk menghadapi masalah ini kerajaan telah menggunakan instrument
pasaran sejajar dengan inisiatif kerajaan yang ditekankan dalam RMK-9,
kaedah tadbir urus alam sekitar perlu menuju ke arah kawalan sendiri.
Kerajan telah memperkenalkan Insentif Galakan Pelaburan untuk Pengurusan
Alam Sekitar antaranya ialah Insentif projek berasaskan ladang hutan yang
ditanam semula, Insentif aktiviti kitar semula bahan buangan dan Elaun
modal tercepat.
Selain daripada itu kerajaan turut memperkenalkan pensijilan ISO
14001 dan pelabelan, dua inisiatif pasaran yang mempunyai ciri-ciri kawalan
sendiri. Kerajaan juga turut menggunakan Instrumen Pasaran untuk menghadapi
masalah kualiti alam sekitar. Antara instrumen pasaran yang digunakan ialah
Caj Pencemaran, Subsidi, Deposit & Pembayaran Kembali dan Permit pelepasan
pencemaran dan sistem jual Beli.
Langkah-langkah dan usaha yang diambil oleh kerajaan ini sangat perlu
bagi menjamin kepada pertumbuhan ekonomi yang berterusan tanpa mengancam
dan memberi impak yang negatif kepada kualiti alam sekitar. Secara umumnya,
strategi yang diambil oleh kerajaan menggunakan kaedah tadbir urus alam
sekitar menuju ke arah kawalan sendiri sangat perlu memandangkan kos
pengurusan alam sekitar semakin meningkat.
Dalam mencapai pembangunan seimbang, agihan pendapatan yang saksama
dan pembasmian kemiskinan adalah sangat penting. Di Malaysia, menerusi DEB,
DPN dan DWN memperlihatkan usaha keras kerajaan dalam mencapai perpaduan
Negara, pertumbuhan ekonomi dan mengekalkan keseimbangan sosial. Falsafah
asas DEB yang mengutamakan pengagihan saksama dalam konteks ekonomi yang
pesat disamping membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat untuk
mengurangkan ketidaksetaraan ekonomi telah diteruskan oleh DPN dan DWN.
Agihan pendapatan dapat diperhatikan melalui beberapa petunjuk
antaranya ialah bahagian pendapatan isi rumah, nisbah Gini dan min
pendapatan penduduk. Aliran agihan pendapatan di Malaysia boleh dibahagikan
kepada tiga fasa iaitu 1957/1958 hingga 1976/ 1977 hingga 1990 dan tahun
1991 hingga 1999. Pada fasa pertama menggambarkan berlaku ketidaksetaraan
agihan pendapatan meskipun DEB telah dilaksanakan. Namun pada fasa kedua,
Agihan pendapatan semakin baik dan setara dengan penunjukkan penurunan
pekali Gini. Keadaan ini selari dengan apa yang dihipotesiskan oleh Kuznet
pada peringkat awal pertumbuhan. Keadaan fasa ketiga pada tahun 1990
menunjukkan trend yang sebaliknya apabila agihan pendapatan meningkat
semula menurusi kenaikan pekali Gini.
Terdapat beberapa hipotesis mengapa ketidakseimbangan agihan
pendapatan berlaku selepas tahun 1990-an. Berdasarkan fakta yang ada,
hipotesis bahawa perubahan dasar kerajaan dalam menangani cabaran
globalisasi dengan melaksanakan dasar liberalisasi, deregulasi dan
penswastaan merupakan faktor utama mengapa ketidakseimbangan agihan
pendapatan berlaku. Selain itu juga proses globalisasi dan penyatuan
ekonomi dunia juga menjadi antara hipotesis ketidakseimbangan agihan
pendapatan yang berlaku terhadap negara membangun. Ini disebabkan kekayaan
hanya dirasai oleh sesebuah kelompok, benua dan wilayah tanpa ada agihan
kekayaan yang saksama. Di Amerika Syarikat pula, faktor yang menyumbang
kepada ketidakseimbangan pendapatan adalah kerana perdagangan bebas.
Justeru, bagi menjamin pertumbuhan yang tinggi dan keseimbangan
agihan pendapatan yang saksama maka beberapa starategi diperlukan untuk
menangani masalah kemiskinan dan ketidaksetaraan agihan pendapatan ini.
Kerajaan komited dalam usaha untuk membasmi kemiskinan dan masalah
ketidaksetaraan agihan. Ini diterjemahkan melalui dasar, strategi dan
program pembasmian kemiskinan yang telah dilakukan kerajaan. Usaha ini
dapat dilihat melalui RRJP1 dan RRJP2 merangkumi DEB, DPN dan DWN. Masalah
kemiskinan ini bukan sahaja merencatkan pertumbuhan ekonomi Negara malah ia
mendatangkan masalah perpaduan di dalam masyarakat majmuk di Malaysia
sehingga menjadi salah satu punca kepada tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969.
Umum mengetahui bahawa kemiskinan membelungi kaum Melayu dan Bumiputera
kerana pendapatan mereka yang relatif rendah jika dibandingkan dengan kaum
lain. Masalah pembangunan yang bersifat tidak setara juga menjadi
penyumbang masalah.
Antara usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan melalui DEB,
DPN dan DSN ialah memperuntukkan saham baru kepada bumiputera, program
penswastaan kepada usahawan bumiputera yang layak dan berpotensi,
pembentukan saham amanah seperti Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah
Saham Bumiputera (ASB), melancarkan dan membangunkan Masyarakat Perdagangan
dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) dan Skim Pembangunan Kesejahteraan
Rakyat (SPKR).
Selain daripada kesan dalaman sesebuah Negara yang menyebabkan
masalah kemiskinan, faktor dan kesan globalisasi juga menjadi penyumbang
utama kepada masalah ini. Agihan pendapatan tidak saksama antara negara
membangun dan negara kaya juga terjadi disebabkan kesan globalisasi.
Globalisasi merujuk kepada integrasi perdagangan, kewangan dan teknoklogi
maklumat dalam pasaran global. Terdapat dua teori umum yang sering
dikaitkan dengan globalisasi, iaitu Teori Ekonomi Menjurus dimana Solow
membuat hipotesis bahawa sebuah negara membangun akan cenderung mencatat
pertumbuhan lebih pesat jika mempunyai persamaan ciri dari segi teknologi,
kadar tabungan serta kadar pertumbuhan ekonomi dengan negara maju.
Teori yang kedua pula ialah Teori Ekonomi Menyimpang dimana negara
miskin akan terus kekal miskin dan negara maju akan bertambah kaya
disebabkan penggantungan dan eksploitasi sumber oleh negara maju terhadap
negara miskin. Milanovic berpendapat bahawa peningkatan ketidakseimbangan
agihan pendapatan di peringkat global disebabkan oleh dua faktor, iaitu
ketidakseimbangan agihan pendapatan antara negara dan ketidakseimbangan
pendapatan dalam negara itu sendiri. Kajian yang dilakukan Brown dan Kane
(1995) mendapati agihan pendapatan global menunjukkan tren
ketidakseimbangan yang semakin meningkat. Nisbah kaya kepada miskin dalam
agihan pendapatan global meningkat daripada 30:1 pada tahun 1960 kepada
64:1 pada tahun 1990.
Antara kesan lain globalisasi antaranya ialah jurang perdagangan
negara maju dan negara membangun, jurang pelaburan asing yang hanya
menumpukan pelaburan dibeberapa buah negara tertentu seperti China, Brazil,
Mexico dan Singapura, Jurang Perkembangan ICT antara negara maju dan negara
membangun dan Migrasi antarabangsa yang menyebabkan negara membangun
kehilangan sumber manusia yang berhijrah ke negara maju. Untuk menghadapi
masalah ini, Malaysia perlu meningkatkan daya tahan ekonominya daripada
pelbagai aspek untuk menghadapi kepesatan arus globalisasi demi menjamin
pertumbuhan ekonomi yang berkualiti dalam jangka panjang dan kearah
pembangunan yang seimbang.
Ketidakseimbangan wilayah juga berkaitan dengan ketidakseimbangan
dalam pembangunan sesebuah negara. Dalam tempoh RMK-9, pembangunan wilayah
seimbang kekal sebagai salah satu objektif utama pembangunan negara. Ini
selaras dengan teras Misi Nasional ketiga, iaitu untuk menangani masalah
ketidakseimbangan sosioekonomi yang berterusan secara membina dan
produktif.
Terdapat beberapa faktor yang mewujudkan keadaan wilayah yang tidak
seimbang dalam sesebuah negara. Antaranya ialah sejarah penerokaan kawasan,
saiz kawasan, keadaan politik, sosial budaya, pengaliran modal, pengaliran
buruh, dasar kerajaan pusat dan faktor geografi. Matlamat asas pembangunan
wilayah adalah agihan yang sama rata dari segi pendapatan, kemudahan awam,
perumahan dan peluang untuk kemajuan sosial serta ekonomi rakyat.
Menyedari masalah ini kerajaan telah melaksanakan beberapa dasar dan
strategi pembangunan wilayah sejak dari tahun 1970. Antara strategi yang
diambil adalah pembangunan tanah dan sumber asli, mempelbagaikan struktur
ekonomi negeri kurang maju, meningkatkan kualiti perkhidmatan bandar,
memesatkan pembangunan luar bandar dan menggalakkan kerjasama pertumbuhan
segi tiga.
Untuk memudahkan urusan pembangunan wilayah, 6 pecahan bahagian
wilayah telah dibuat meliputi Wilayah Utara (Koridor Utara), Wilayah
Selatan (Koridor Selatan), Wilayah Timur (Koridor Timur), Wilayah Tengah,
Wilayah Sarawak dan Wilayah Sabah. Dalam usaha mempercepatkan pembangunan
di wilayah atau negeri kurang maju, tumpuan diberi kepada pembangunan di
pusat pertumbuhan negeri serta pembangunan merentasi sempadan, misalnya Zon
Terengganu Utara-Kelantan Selatan-Pahang Barat di Koridor Pantai Timur, Zon
Pembangunan Utara Semenanjung di Kedah, Perlis, Seberang Prai di Pulau
Pinang dan Perak Utara Sebagai menerajui pembangunan industri makanan
termasuk hab halal. Bagi Sabah dan Sarawak, tumpuan kawasan pembangunan
adalah di sekitar pusat pertumbuhan luar bandar yang baru serta kawasan
pembangunan yang merentas sempadan. Di Wilayah Selatan pula terdapat
Wilayah Ekonomi Johor Selatan (SJER). Apabila segala perancangan dalam
pembangunan wilayah ini dapat dilaksanakan dengan baik dan lancar, masalah
ketidakseimbangan pasti dapat diminimumkan dan kesannya penduduk akan dapat
menikmati kehidupan yang lebih baik.
Sektor pertanian memainkan peranan penting terhadap ekonomi dan
pemodenan sesebuah negara disamping menyumbang ke arah pembangunan
seimbang. Sektor ini bertanggungjawab dalam menyumbang kepada penyediaan
buruh, penyediaan makanan bagi penduduk yang semakin bertambah, penyedian
simpanan modal bagi pelaburan di sektor lain dan sebagai pasaran barangan
industri.
Sektor pertanian juga merupakan sektor yang penting di dalam
menyumbang kepada pembangunan yang seimbang. Ini kerana hampir 80% sektor
ini di dominasi oleh etnik Melayu dan Bumiputera yang umumnya mempunyai
pendapatan yang rendah. Oleh itu kerajaan juga giat menjalankan dasar dan
melaksanakan strategi bertujuan untuk mencergaskan semula sektor pertanian
Negara.
Setelah RMK-8 mencapai pertumbuhan yang baik dalam aspek pengeluaran,
pembekalan bahan mentah, kepentingan nilai ditambah, eksport dan guna
tenaga, kerajaan telah meningkatkan semula sektor pertanian untuk menjadi
jentera pertumbuhan ketiga bagi ekonomi negara. Pada peringkat awal proses
transformasi ekonomi, sektor pertanian telah menyumbang kepada asas
pertumbuhan ekonomi negara. Misalnya, pada tahun 1970, sumbangan sektor
pertanian kepada KDNK negara ialah 30.8%, tetapi telah menurun kepada 18.7%
pada tahun 1990, 8.9% pada tahun 2000 dan dijangka menurun kepada 7.8% pada
tahun 2010. Tetapi dengan mengambil kira sumbangan industri asas tani,
sumbangan ini meningkat kepada 15.3%, 14.7% dan 14.2% masing-masing pada
tahun 2000,2005 dan 2010. Walaupun peratus KDNK berkurangan, namun jumlah
nilai tambah sektor pertanian meningkat daripada 18.7 billion pada tahun
2000 kepada 21.6 billlion pada tahun 2005.
Sejak tahun 1980 kerajaan telah memperkenalkan tiga dasar khusus
untuk pertanian negara iaitu Dasar Pertanian Pertama, Dasar Pertanian Kedua
dan Dasar Pertanian Ketiga. Di dalam RMK-9 teras dasar sektor pertanian
secara keseluruhannya akan ditumpukan kepada usaha mengorientasikan semula
sektor pertanian ke arah pengkomersilan yang lebih meluas bagi melahirkan
petani berpendapatan tinggi serta menggalakkan pelaburan swasta lebih besar
termasuk pelabur asing. Terdapat lima teras dasar pertanian dalam RMK-9
antaranya ialah 1) Meningkatkan pengeluaran pertanian termasuk penerokaan
sumber pertumbuhan baru dengan penyertaan sektor swasta lebih besar 2)
Mengembangkan aktiviti pemprosesan berasaskan pertanian dan kepelbagaian
produk 3) Memperkukuhkan pemasaran dan rangkain global 4) Meningkatkan
pendapatan pekebun kecil, petani dan nelayan 5) Menambahbaik sistem
penyampaian perkhidmatan.
Selain itu juga, kerajaan menerusi Kementeriaan Pertanian dan
Industri Asas Tani (KPIAT) telah memperkenalkan Plan Tindakan Balance of
Trade (BOT) bertujuan untuk membaiki defisit imbangan perdagangan makanan.
Antara usaha-usaha lain yang dilaksanakan KPIAT dalam proses mengubah
sektor pertanian ke arah lebih moden, dinamik dan berdaya saing ialah 1)
Transformasi ladang, 2) Transformasi tenaga buruh kepada penggunaan
mekanisasi, automasi dan teknologi, 3) Pengurusan ladang secara moden, 4)
Daya saing lebih tinggi, 5) Pengezonan, dan 6) Latihan.
Untuk menyokong usaha KPIAT mencergaskan semula peranan dan sumbangan
sektor pertanian kepada pertumbuhan ekonomi negara beberapa strategi telah
dirangka. Ini termasuklah strategi dan program yang telah dirancang untuk
dilaksanakan dalam tempoh RMK-9 antaranya ialah 1)Menggalakkan pertanian
secara komersial, 2) Memperkenalkan Pertanian Satu Perniagaan, 3) Memberi
tumpuan kepada subsektor pertanian, 4) Membangunkan produk halal, 5)
Memperkenalkan sistem ternakan secara integrasi dan 6) Pelan tindakan
pelaksanaan kempen Buku Hijau.
Dalam usaha kerajaan untuk mencergaskan semula sektor pertanian, ada
beberapa isu kritikal yang harus ditangani untuk memastikan sektor ini
moden, dinamik dan berdaya saing. Antaranya ialah saiz ladang yang berskala
kecil dan tidak ekonomik, kekurangan benih di sektor kecil tertentu,
kekurangan tenaga buruh, kekurangan pelaburan sektor swasta dalam sektor
makanan dan cabaran liberalisasi perdagangan di bawah WTO dan AFTA yang
menyebabkan hasil pertanian Negara menghadapi persaingan sengit dengan
negara-negara pengeluar yang lain.
Kenaikan harga minyak petrol memberi kesan kepada kebajikan rakyat
seterusnya menjadi cabaran kepada pembangunan ekonomi seimbang di Malaysia.
Minyak adalah sumber semula jadi utama yang menyumbang kepada perkembangan
industri, perdagangan dan ekonomi dunia. Harga minyak adalah satu petunjuk
ekonomi penting yang menentukan sama ada ekonomi dunia mengalami
kemerosotan atau sebaliknya. Umum mengetahui bahawa Malaysia adalah negara
pengeksport bersih minyak. Pada tahun 1970, minyak menyumbang sebanyak 4.0%
kepada eksport negara. Sumbangan tersebut meningkat kepada sekitar 16.0%
pada tahun 1980, tetapi menurun kepada sekitar 3.0% pada tahun 2000. Secara
ringkas, Malaysia mendapat manfaat dari segi pertambahan pendapatan eksport
kesan daripada kenaikan harga minyak dunia.
Terdapat empat krisis minyak yang berlaku di dunia antaranya ialah
Krisis Minyak Pertama pada tahun 1973-1974, Krisis Minyak Kedua pada tahun
1980-1981, Krisis Minyak Ketiga pada tahun 1990, Krisis Minyak Keempat pada
tahun 2006, dan yang terbaru kenaikan harga minyak pada tahun 2008.
Adakah Malaysia hanya menerima kesan positif daripada kenaikan harga
minyak dunia? Jawapannya tidak. Jika disoroti kembali Krisis Minyak
Pertama, harga minyak saat itu adalah tinggi, sekitar AS$12.19 setong pada
tahun 1974. Pada tahun tersebut pendapatan eksport negara bertambah
sebanyak RM409 Juta. Peningkatan pendapatan eksport adalah kesan langsung
daripada kenaikan harga minyak yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi
Malaysia. 1973, KDNK Malaysia bertumbuh sebanyak 11.7% meningkat daripada
9.4% tahun sebelumnya. Pada tahun 1974, pertumbuhan masih kekal tinggi
sebanyak 8.3% tetapi menurun secara mendadak kepada 2.2% pada tahun 1975.
Mengapa keadaan ini berlaku meskipun harga minyak di pasaran dunia
masih tinggi? Krisis minyak pertama memberi kesan negatif terhadap
pertumbuhan ekonomi dunia sekaligus menjejaskan negara perindustrian
seperti AS, Jepun dan Eropah disamping inflasi yang sangat tinggi.
Kemerosotan ekonomi negara-negara perindustrian menjejaskan permintaan
untuk eksport dan faktor ini yang telah menyumbang kepada kejatuhan kadar
pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun 1974 dan 1975. Kadar inflasi di
Malaysia sebelum tahun 1972 dalah sekitar 1.5% dan 2.5% setahun, tetapi
pada tahun 1973 kadar inflasi negara meningkat mendadak kepada 10.5% dan
kepada 17.4% pada tahun 1974. Ekonomi Malaysia pada awal 1970 terlalu
bergantung kepada import. Oleh kebergantungan ini, Malaysia boleh dikatakan
mengimport inflasi. Keadaan yang sama juga berlaku pada Krisis Minyak
Kedua, namun keadaan ini berubah pada Krisis Minyak Ketiga apabila negara
perindustrian semakin cekap dalam penggunaan minyak dan kurang bergantung
kepada minyak sebagai sumber tenaga.
Berikutan daripada kejatuhan pertama harga minyak, pada tahun 1973
dan penemuan sumber petroleum di kawasan luar pantai Terengganu Parlimen
telah meluluskan Akta Pembangunan Petroleum (PDA) yang telah memberi kuasa
kepada kerajaan membentuk syarikat minyak kebangsaan Petronas menggantikan
sistem konsensi yang diberikan kepada syarikat multinasional.Untuk
kepentingan sumber petroleum negara dalam menjana hasil untuk pembangunan
ekonomi dan juga menjimatkan sumber petroleum, kerajaan telah menggubal
Dasar Petroleum Kebangsaan (NPD) dengan lima matlamat. Kerajaan juga telah
membentuk Dasar Tenaga Negara (DTN) dengan meletakkan tiga matlamat seperti
matlamat bekalan, matlamat penggunaan dan matlamat alam sekitar.
Sudah pasti kenaikan harga minyak memberi kesan negatif kepada
pengguna sekaligus menjadi antara cabaran dalam pembangunan seimbang
sesebuah negara. Kenaikan bahan bakar ini akan mendorong kepada peningkatan
harga agregat dan seterusnya mengurangkan baki wang benar yang dipegang
oleh isi rumah, pengguna dan firma. Bagi Malaysia, kenaikan harga minyak
terpaksa dinaikkan kerana kerajaan terpaksa bagi menguraangkan subsidi yang
selama ini ditanggung. Kerajaan menegaskan pengurangan subsidi sebanyak RM4
billion akan digunakan untuk meningkatkan kualiti kemudahan pengangkutan
awam di Malaysia.
Beberapa analisis telah dijalankan untuk melihat sejauh manakah kesan
kenaikan harga minyak kepada pengguna. Antara kesannya ialah perbelanjaan
pengangkutan pengguna. Sebelum kenaikan harga minyak, pengguna hanya
membelanjakan sekitar RM100-RM200 untuk minyak, namun selepas kenaikan
harga minyak, terdapat kenaikan ketara kepada RM201-R330 iaitu peningkatan
daripada 34.6% kepada 65.5%. Kenaikan peratusan pengguna yang berbelanja
melebihi RM500 telah meningkat secara mendadak daripada 1.3% kepada 10.3%.
Oleh itu pengguna terpaksa mengambil beberapa mekanisme untuk
menangani kesan kenaikan harga minyak. Antaranya ialah mengurangkan
kekerapan makan di luar, membawa bekal ke tempat kerja, mengurangkan
perbelanjaan membeli berlah, mengurangkan penggunaan kereta ke tempat
kerja, menggunakan kemudahan pengangkutan awam, berkongsi keret dengan
rakan sepejabat dan menggunakan kereta kecil untuk ke tempat kerja atau
tujuan lain.
Kenaikan harga minyak yang berlaku sememangnya tidak dapat dielakkan.
Masyarakat harus menerima kenyataan ini. Apa yang perlu dilakukan kini
ialah rakyat perlu berusaha untuk meningkatkan pendapatan dan pada masa
yang sama mengasah budaya berjimat cermat supaya kesan kenaikan harga
minyak ini dapat dikurangkan.