Langkah-langkah memajukan industri kecil dan sederhana
Dewasa ini, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) memainkan peranan yang penting dalam pembangunan dan perkembangan ekonomi negara. IKS ditakrifkan sebagai perusahaan perkilangan atau syarikat yang menyediakan perkhidmatan berkaitan dengan perkilangan dengan pusing ganti tahunan tidak melebihi RM25 juta dan menggaji kakitangan sepenuh masa tidak melebihi 150 orang. Di Malaysia, terdapat pelbagai peluang usaha niaga berbentuk IKS yang mendapat sokongan penuh daripada kerajaan. IKS menyediakan sebanyak 44.2% peluang pekerjaan daripada jumlah tenaga kerja dalam sektor perkilangan, 48.9% dan 31.7% masing-masing dalam jumlah nilai keluaran dan jumlah nilai harta tetap. Demi merancakkan IKS, kerajaan telah mengatur beberapa banyak langkah yang konstruktif dan pragmatik.
Salah satu langkah perdana yang diambil oleh kerajaan ialah penawaran pembiayaan, geran, pinjaman dan insentif kepada para pengusaha IKSBantuan ini dapat mendorong para pengusaha yang mengusahakan perniagaan IKS berasaskan pertanian, perikanan, perternakan, pemprosesan makanan, dan sebagainya. Antara geran dan insentif yang disediakan kepada pengusaha IKS termasuklah skim kewangan, skim geran penyelidikan dan pembangunan, dan sebagainya. Kemudahan pinjaman yang disediakan pula melalui institusi kewangan kerajaan, seperti Bank Pertanian dan Bank Simpanan Nasional, bank komersial seperti Bank Rakyat dan Bank CIMB, serta syarikat kewangan Melalui Skim Khas Bank Negara, Bank Negara telah menubuhkan Unit Khas Enterpris Kecil dan Sederhana yang bertujuan membantu perusahaan IKS yang berdaya maju untuk memperoleh pembiayaan. Dengan adanya bantuan dan sokongan kerajaan, IKS nescaya dapat berkembang maju.
Dalam pada itu, khidmat nasihat dan perundingan kepakaran turut disediakan oleh pihak kerajaan. Usahawan dan pelabur yang ingin akan maklumat atau pendedahan lanjut mengenai IKS boleh mendapatkan khidmat nasihat yang disediakan oleh agensi kerajaan dan beberapa badan yang lain. Para pengusaha memang memerlukan khidmat nasihat dan sokongan teknikal dalam usaha melicinkan operasi IKS agar lebih produktif, dinamik, berdaya maju, dan kos efektif, di samping meningkatkan daya pengeluaran dan kualiti produk, serta pemasaran global. Antara agensi yang terlibat dalam khidmat nasihat dan bantuan teknikal termasuklah MARA (skim khidmat pakar perunding MARA), UKM Pakar Runding Sdn. Bhd., dan Persatuan IKS Malaysia. Tanpa khidmat nasihat dan perundingan kepakaran, pengusaha-pengusaha yang mentah dalam selok-belok pengurusan IKS ataupun baru menceburi bidang ini akan menghadapi pelbagai rintangan. Pendek kata, pihak kerajaan berprakarsa dan beriltizam membantu para usahawan untuk membangunkan IKS dan melipatgandakan perolehan.
Tidak ketinggalan juga, kerajaan menyediakan pelbagai program latihan dan pembangunan kepada usahawan dan pelabur yang cenderung mengusahakan aktiviti IKs. Dalam konteks ini, Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC) merupakan agensi kerajaan utama yang bertanggungjawab menyelaraskan pembangunan IKS.Selain menawarkan khidmat nasihat berkaitan dengan pembangunan industri, agensi ini menyediakan program latihan dan pembangunan untuk orang ramai dan pengusaha IKS. Antaranya termasuklah program rantaian industri, program pembekal global, program peningkatan kemahiran, dan sebagainya. Bahkan, Majlis Amanah Rakyat (MARA) merupakan agensi kerajaan yang ditubuhkan untuk menggalakkan, membimbing dan melatih penduduk Bumiputera, khususnya di luar bandar, supaya menyertai kegiatan perdagangan dan perusahaan. Antara program yang ditawarkan ialah latihan keusahawanan, skim latihan perintisan, dan program promosi pemasaran. Melalui agensi-agensi kerajaan, IKS berdaya maju dan menyumbang kepada iktisad negara.
Secara tuntasnya, kerajaan memainkan peranan yang mustahak dalam memajukan dan merancakkan IKS. Hal ini demikian kerana pertumbuhan pesat sektor perkilangan memperlihatkan kepentingan dan peranan IKS yang kian ketara. Penglibatan IKS dalam pelbagai jenis aktiviti perkilangan menjadi penggerak dan tulang belakang kepada pertumbuhan sektor perkilangan amnya. Kesedaran pelbagai pihak tentang keperluan dalam melahirkan usahawan yang berkemampuan dan bertaraf antarabangsa serta pekerja mahir adalah tinggi. Selaras dengan ini, pelbagai pihak telah mula menyedari bahawa salah satu langkah penting dalam mencapai hasrat ini adalah melalui bantuan dan sokongan kepada pembangunan IKS. Jadi, pihak-pihak yang terbabit dalam sektor ini haruslah meneroka dan merintis bidang-bidang IKS baru dengan menghadiri ekspo-ekspo perindustrian di luar negara. Dengan wujudnya inisiatif dan iltizam, IKS bukan sahaja berdaya maju bahkan menyumbang kepada ekonomi negara sekali gus merealisasikan Wawasan 2020.
Pada masa ini, penggunaan laman sosial melalui internet amat popular di Malaysia. Laman sosial seperti “Facebook”, “Instgram”, “Geegle+”, “Twitter” dan sebagainya mendapat perhatian masyarakat di negara ini terutamanya golongan remaja. Laman sesawang rangkaian sosial tersebut telah menjadi satu trend dalam kehidupan masyarakat masa kini. Remaja kini telah menjadikan penggunaan laman sosial di internet ini sebagai medium untuk mengisi kekosongan waktu mereka. Hal ini disebabkan oleh aplikasi yang terdapat di laman sosial yang canggih dapat menarik perhatian masyarakat di Malaysia. Secara tidak langsung, penggunaan laman sosial ini telah memberikan kesan positif dan negatif terhadap gaya hidup para remaja. Sebagaimana yang kita ketahui,penggunaan laman sosial dapat menambah kenalan yang baru di samping hubungan yang telah lama terputus dapat dieratkan semula. Apabila seseorang itu telah menamatkan sesuatu pengajian di sekolah menyebabkan mereka telah terputus hubungan antara satu sama lain. Laman sosial ini digunakan sebagai suatu medium utama untuk mencari kenalan lama yang telah terputus. Mereka dapat mengetahui kerjaya yang telah diceburi oleh rakan dan dapat berinterasi antara satu sama lain. Gambar yang telah diletakkan di dalam profil juga boleh dilihat dan dikomen oleh semua rakan. Mereka juga dapat menyampaikan maklumat seperti mengadakan satu perjumpaan di sesuatu tempat dengan mengumpulkan guru-guru dan rakan-rakan. Perkara ini menjadi mudah kerana dapat menjimatkan masa dan tenaga dengan cara menggunakan kemudahan yang sedia ada. Jadi jelaslah bahawa penggunaan laman sesawang sosial boleh menambahkan kenalan yang baru.
Selain itu,ramai remaja juga menghabiskan masa mereka dengan laman sosial. Dengan adanya laman sesawang sosial, mereka dapat mengisi masa lapang mereka dengan melayari facebook. Bagi mereka yang bijak, di samping mengisi masa lapang ada antara mereka membuat bisnes dan membuat promosi melalui laman sesawang sosial seperti Facebook dan Twitter. Mereka juga dapat menjadikan laman sesawang sosial tersebut sebagai alternatif untuk menambahkan pendapatan bulanan mereka. Orang ramai boleh membeli dengan mengklik di laman sesawang dan barangan tersebut akan dihantar melalui pos laju. Siapa sahaja yang berminat untuk membeli barangan tersebut hanya membayar dengan memasukan wang ke dalam bank yang telah ditetapkan oleh penjual. Oleh itu, medium ini dapat
menjimatkan masa dan tidak perlu bersesak-sesak di pusat membeli belah untuk membeli sesuatu barangan.
Penggunaan laman sosial bukan sahaja mendatangkan kesan yang positif malah mendatangkan kesan negatif iaitu penggunaan laman sosial melalui internet menyebabkan berlakunya banyak penipuan atau pemalsuan. Hal ini demikian kerana, terdapat banyak kes penipuan yang berlaku terutamanya dalam kalangan remaja perempuan. Perkara ini disebabkan oleh mereka yang baru dikenalinya melalui laman sosial. Mereka biasanya akan mengikut semua kemahuan yang diminta oleh rakan dalam laman sosial tersebut. Sebagai contohnya, perkara ini berlaku apabila pasangan dalam laman sosial menghantar sistem pesanan ringkas(sms) untuk membuat temu janji dengan menyatakan tempat dan masanya. Seterusnya, remaja perempuan tersebut akan pergi ke tempat yang telah dinyatakan tanpa berfikir panjang. Namun demikian, setibanya di tempat yang dinyatakan oleh kenalan laman sosial itu, mereka mungkin ditipu dan ada juga yang telah menjadi mangsa rogol.
Selain itu,penggunaan laman sosial menyebabkan golongan remaja menjadi lalai dalam melakukan sesuatu tugasan. Kepelbagaian aplikasi yang menarik seperti permainan yang terdapat dalam laman sosial mampu menarik minat pengguna laman sosial tersebut. Hal ini menyebabkan pengguna akan berasa seronok sehingga leka dan lalai untuk menyempurnakan urusan mereka. Tambahan pula, penggunaan laman sosial juga memberikan kesan kepada prestasi pelajaran dalam kalangan remaja. Hal ini akan menyebabkan mereka mengabaikan pelajaran kerana tiada masa yang diperuntuk untuk mengulang kaji pelajaran.Apabila berlangsungnya sesuatu peperiksaan markah yang diperolehi merosot dari peperiksaan sebelum ini menyebabkan mereka tercari-cari kesilapan yang telah dilakukan untuk diperbetulkan. Golongan pelajar yang menjadi tunjang kecemerlangan negara tidak dapat dilahirkan ekoran penggunaannya yang melalaikan masyarakat. Oleh itu, penggunaan laman menyebabkan seseorang itu membazir masa.
Kesimpulannya, penggunaan laman sosial ini mendatangkan pelbagai kebaikan dan keburukan kepada golongan remaja. Namun impak negatif yang wujud harus diberi perhatian yang serius oleh pihak berkuasa untuk mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap laman sesawang sosial yang tidak bertanggungjawab. Sebagai manusia yang berakal pastinya kita perlu menangkis setiap perkara yang buruk. Pepatah ada mengatakan bahawa “mencegah itu lebih baik daripada mengubati”.
kepentingan teknologi maklumat Dalam mendepani arus globalisasi, Malaysia telah berjaya berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain. Hal ini demikian kerana pelbagai kemudahan teknologi yang dicipta marcapada ibarat cendawan tumbuh selepas hujan apabila manusia berlumba-lumba untuk mencipta teknologi yang memudahkan kehidupan seharian. Terdapat pelbagai kepentingan prima penggunaan teknologi maklumat dalam kehidupan manusia. Antaranya ialah memudahkan manusia untuk mendapatkan maklumat di hujung jari terutama dalam kalangan pelajar. Menerusi teknologi maklumat ini, manusia akan dapat mempelajari pelbagai maklumat keduniaan yang dapat membuka dan meluaskan minda mereka. Selain maklumat pendidikan, kita juga dapat mencari maklumat mengenai hiburan, isu-isu politik dan sebagainya. Selain itu, manusia juga dapat berkomunikasi antara satu sama lain tanpa sempadan. Pengenalan mengenai laman sosial seperi "Facebook","Twitter","Friendster" dan sebagainya telah menghubungkan manusia dengan dunia luar. Sebagai contoh seseorang yang berada di luar negara sama ada atas urusan perniagaan atau menuntut ilmu dapat melepaskan rindu serta bertanya khabar kepada keluarga tercinta yang berada di perantaan hanya dengan menggunakan teknologi laman sosial. Seterusnya, teknologi maklumat ini juga memudahkan ahli pernigaan menjalankan aktiviti pernigaan mereka hanya di dalam talian sahaja sekaligus dapat menjimatkan kos dan tenaga. Aktiviti perniagaan yang dijalankan melalui talian bukan sahaja dapat memudahkan urusan pekerja, bahkan ia juga dapat memudahkan pembeli atau pengguna. Akhir sekali, manusia dapat melakukan pembayaran bil dan urusan perbankan melalui laman sesawang sahaja. Manusia tidak perlu menghabiskan tenaga dan bersusah-payah untuk menguruskan pelbagai pembayaran dan urusan-urusan kewangan. Ia juga memudahkan seseorang yang terlalu sibuk dengan kerja seharian membuat pembayaran dengan mudah.
Kesimpulannya, teknologi maklumat yang ada marcapada memainkan peranan vital kepada setiap manusia. Teknologi maklumat ini haruslah digunakan dengan sebaik yang mungkin kerana banyak manfaat yang dapat kita peroleh menerusi peranan teknologi maklumat itu sendiri.
Sains dan Teknologi Dalam Kehidupan Manusia. Kehidupan manusia memang banyak dipengaruhi oleh sains dan teknologi. Lihat sahaja ciptaan seperti kereta, rumah dan komputer yang begitu lumrah dalam kehidupan manusia kini. Jadi, memang banyak sumbangan yang wujud. Kewujudan teknologi dan sains telah menyebabkan banyak kerja manusia menjadi lebih mudah untuk dilaksanakan. Bayangkan kerja mengemas rumah tanpa alat pembersih habuk atau mesin pembasuh pakaian yang menyenangkan kerja membasuh baju kita. Kerja mengemas yang mudah ini menjadikan kehidupan manusia lebih produktif. Selain itu, teknologi dan sains juga mampu menjimatkan masa perjalanan seseorang dengan terciptalah system pengangkutan moden. Manusia boleh bergerak ke satu tempat yang lain dengan mudah melalui kereta, kapal terbang dan kapal laut serta kereta api. Kalau dahulu perjalanan memakan masa sebulan atau setahun kini perjalanan itu hanya memerlukan beberapa jam atau minit sahaja. Malahan, manusia juga memperoleh banyak ilmu pengetahuan menerusi teknologi dan sains ini. Kini sudah wujud buku secara elektronik dan internet pula memudahkan manusia untuk memperoleh pelbagai informasi dengan hanya menekan papan kekunci komputer mereka sahaja. Manusia menjadi semakin mengetahui keadaan sekeliling mereka dengan kemunculan teknologi dan sains ini. Sebenarnya, semua hasil ciptaan sains dan teknologi menjadikan kehidupan manusia lebih selesa. Kalau dahulu manusia terpaksa bekerja keras untuk melakukan sesuatu kini sudah berubah. Hasil teknologi dan sains menjadikan wujudnya pelbagai peralatan yang menjadikan manusia lebih baik kehidupannya.
Kesimpulannya, teknologi dan sains memang memberi sumbangan yang ketara terhadap kehidupan kita semua. Mungkin ada hasil ciptaan itu membawa keburukan tetapi semua kesan buruk itu ditimbulkan oleh sikap manusia sendiri. Oleh itu, kita harus menghargai semua ciptaan sains dan teknologi ini.
Ciri-ciri sahabat yang baik Setiap individu di dunia ini pastinya memiliki sahabat ataupun rakan dalam kehidupan mereka. Rakan-rakan amat diperlukan dalam menghilangkan kebosanan yang melanda diri. Namun demikian, beberapa perkara perlu dipertimbangkan dalam memilih rakan. Hal ini demikian kerana jika tersalah pilih rakan akan rosaklah masa hadapan kita. Jika diperhalusi, ada beberapa ciri dalam memilih sahabat yang perlu kita ketahui. Ciri yang paling utama sudah pastinya sahabat yang sentiasa membantu kita ketika susah dan senang. Peribahasa ada mengatakan rakan ketawa senang dicari tetapi rakan tangis sukar ditemui. Oleh itu, dalam memilih sahabat ciri ini perlu ada supaya mereka sentiasa membantu kita tanpa mengira waktu dan ketika. Jelaslah, rakan atau sahabat yang sebegini mampu mengisi kekosongan dan sentiasa ada saat diperlukan. Sahabat yang baik juga pastinya mampu menunjukkan teladan yang baik kepada kita. Sudah pasti kita tidak mahu menjadi seperti disebabkan nila setitik habis rosak susu sebelanga. Disebabkan sikap rakan kita yang tidak elok, habis rakan-rakan yang lain dituduh bersekongkol mahupun dilabel sebagai membawa pengaruh yang negatif. Huraian ini sangat bertepatan dengan peribahasa berteman dengan tukang minyak wangi kita akan ikut wangi, berteman dengan tukang minyak kita akan ikut bau minyak. Di samping itu, dalam memilih sahabat juga pilihlah sahabat yang sentiasa mengajak kita ke arah kebaikan. Sebagai contohnya, pilihlah sahabat yang tidak meninggalkan solat dan tahu menghormati orang yang lebih tua. Perkara ini penting kerana ciri-ciri sahabat yang baik itu akan menjadi ikutan kita sepanjang masa. Secara tidak langsung, masyarakat akan memandang tinggi individu-individu yang memiliki ciri-ciri yang baik dalam diri mereka.
Seterusnya, sahabat yang baik juga pastinya bersedia untuk berkongsi ataupun sekurang-kurangnya mendengar masalah kita pada bila-bila masa yang diperlukan. Sahabat yang baik mampu berfungsi sebagai pembimbing di saat kita menghadapi masalah. Namun demikian, nasihat dan bimbingan yang diberikan mestilah mampu membawa kita ke arah kebaikan. Tidak dapat dinafikan lagi, kita perlu bersedia mendengar masalah rakan jika ingin menjadi sahabat yang baik. Izharnya, ada berbagai-bagai ciri yang perlu diperhalusi dalam menilai erti persabahatan. Oleh sebab itu, kita wajar dan harus berhati-hati untuk menjadikan seseorang itu sebagai kawan, teman ataupun jua sahabat kita. Seorang sahabat semestinya memiliki sifat-sifat yang terpuji untuk diikuti dan dicontohi. Sahabat boleh membahagiakan kita untuk menempuh kehidupan di dunia ini dan juga membantu kita di akhirat kelak.
Langkah-langkah berkhemat dalam berbelanja Pada alaf baharu ini, harga barang semakin meningkat secara mendadak dari sehari ke sehari. Hal ini berpunca daripada permintaan terhadap sesuatu produk yang mencatatkan peningkatan sedangkan pengeluarannya tidak berlandaskan kadar permintaan di pasaran. Sehubungan dengan itu, masyarakat terkena akan tempiasnya kerana kuasa beli mereka menjadi lebih terhad. Oleh hal yang demikian, rakyat haruslah mengambil inisiatif supaya perbelanjaan keluarga dapat diurus dengan baik. Pertama sekali, kita haruslah berbelanja mengikut keperluan. Sekiranya kita mempunyai keghairahan untuk memiliki sesuatu barang demi memenuhi kehendak nafsu sendiri, maka mustahillah kita berdaya upaya untuk menampung keperluan seharian yang menelan belanja yang besar. Oleh hal yang demikian, amatlah wajar seseorang merancang perbelanjaan sebelum membeli-belah di pasar raya. Tuntasnya, perbelanjaan yang berdasarkan keperluan merupakan hasil daripada pengurusan perbelanjaan yang bijak dan berhemat. Selain itu, kita juga patutlah membelanjakan wang berpandukan bajet yang ditetapkan. Kita tidak seharusnya mempraktikkan amalan berbelanja secara boros kerana amalan tersebut akan mengakibatkan kita terperangkap dalam krisis kewangan malahan banyak yang didapati berhutang kepada ahli keluarga, rakan sebaya, saudara-mara dan sebagainya. Jikalau kita tidak mempunyai pendapatan yang memuaskan atau rendah, usahlah kita meniru gaya berbelanja golongan yang berada seperti jutawan, pengusaha syarikat antarabangsa dan golongan yang berstatus tinggi. Sesungguhnya, masyarakat yang berbelanja mengikut bajet merupakan pengguna yang pintar. Di samping itu, perbandingan harga produk sebelum membeli juga merupakan langkah yang efektif untuk menguruskan perbelanjaan keluarga. Ketika membeli barangan
baik produk elektronik mahupun barang keperluan seharian seperti beras, minyak masak dan sayur-sayuran, kita perlulah membandingkan harga produk pelbagai jenama agar kita dapat memperoleh sesuatu barang yang bermutu dengan harga yang lebih murah. Selain harga produk, pengguna sewajarnya menitikberatkan kualiti serta tarikh luput barangan. Jikalau barang yang telah dibeli luput tarikhnya dan tidak selamat untuk digunakan, bukankah perbelanjaan kita boleh dikategorikan sebagai pembaziran? Seterusnya, aktiviti berkebun secara kecil-kecilan di halaman rumah juga mampu menjimatkan perbelanjaan seharian keluarga. Hal ini demikian kerana seisi keluarga tidak perlu memperoleh sumber vitamin, sayur-sayuran dan buah-buahan yang dijual dengan mahal sekali di pasar tani. Dengan amalan berkebun yang berterusan, masyarakat dapat menikmati hasil titik peluh sendiri yang lebih organik kerana bebas daripada racun serangga dan racun rumpai. Hasil yang berlebihan pula boleh dijual kepada peniaga sayur-sayuran di pasar tani atau di pasar pagi. Tambahan pula, bercucuk tanam juga mampu mendatangkan pendapatan tambahan kepada sesebuah keluarga. Kesimpulannya, terdapat pelbagai langkah yang berkesan untuk menguruskan perbelanjaan keluarga dengan baik. Justeru, pelbagai lapisan masyarakat haruslah berbelanja secara berhemat agar kehidupan kita tidak terjejas dengan teruk sekali akibat kenaikan harga barangan di pasaran tempatan, bak kata ingat sebelum kena, jimat sebelum habis.