Terapi Air Menurut teman sekerja setiap hari dia akan duduk berehat mendengar bunyi percikan dan aliran air dari kolam mini di halaman rumahnya untuk menenangkan fikiran. Bunyi aliran air yang menggunakan kuasa elektrik itu tidaklah semerdu alunan muzik tetapi ia memberi kesan positif kepada emosi dan minda. Air yang menjadi tonggak utama kehidupan mempunyai banyak manfaat lain termasuklah dalam bidang perubatan. Beribu tahun dulu secara tradisionalnya, air digunakan untuk merawat dan mengurangkan penderitaan pesakit artritis dan kaedah ini dikenali sebagai terapi air atau hidro. Ia juga dipanggil balneoterapi. Terapi hidro bermakna menggunakan air dalam sebarang bentuk untuk mengembalikan tenaga, mengekal dan menjaga kesihatan. Ada banyak jenis terapi air yang ditawarkan termasuklah sauna, mandi wap, mandi sitz (hanya merendamkan punggung dan paha) atau sekadar berendam dalam air suam. Malah, penggunaan pek panas atau sejuk bagi melegakan kesakitan otot juga dianggap sebahagian daripada hidro terapi. Berdasarkan sejarah, terapi air dipelopori paderi Bavaria Jerman, Sebastian Kneipp pada awal abad ke-19 yang menghidap batuk kering. Dia percaya banyak penyakit boleh disembuhkan dengan menggunakan air bagi menyingkirkan bahan kumuh dan toksik daripada badan.
Ketika sakit dia membaca buku mengenai terapi hidro karya seorang pakar perubatan mengatakan penyakitnya itu boleh dirawat dengan berendam dua atau tiga kali seminggu di Sungai Danube yang sejuk bagi merangsang sistem imun. Terbukti selepas melakukannya, kesihatan Kneipp bertambah baik dan dari situ dia mula meneroka lebih dalam mengenai terapi air dan memperkenalkan kaedahnya sendiri. Sebenarnya sejarah rawatan menggunakan air bermula 4,500 tahun sebelum Masihi berdasarkan penemuan runtuhan tab mandi kuno di Pakistan. Manakala rumah mandi awam dikatakan menjadi antara unsur penting dalam budaya Rom kuno. Malah, pakar perubatan Rom, Galen dan Celsus menulis makalah menyarankan amalan mandian sejuk dan suam bagi mencegah penyakit. Rumah mandi awam mula popular di seluruh Eropah pada kurun ke-17 dan 18 dan menjadi ikutan di Amerika pada pertengahan tahun 1700-an. Penggunaan air bagi tujuan perubatan juga tercatat dalam sejarah Cina, Jepun, India, Yunani dan Timur Tengah. Kini air masih menjadi antara kaedah utama dalam rawatan moden untuk pelbagai jenis masalah kesihatan. Perunding Rehabilitasi dan Senaman, Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Dr Tunku Nor Taayah Tunku Zubir berkata, walaupun ia terbukti berkesan tetapi terapi air perlu dilakukan dalam persekitaran selamat dan sempurna di baw ah penyeliaan jurulatih fisioterapi air. Katanya, terapi air yang dijalankan di kolam renang khas mempunyai kelebihan tersendiri kerana ada pergerakan yang tidak boleh dilakukan di atas tanah (darat) terutama bagi individu yang alami masalah kecederaan tulang belakang, strok dan artritis boleh dilakukan dengan mudah di dalam air.
Bagaimana air boleh menjadi ejen rawatan? Sifat air sangat unik. Ia boleh wujud dalam tiga bentuk iaitu cecair (air), pepejal (ais) dan wap. Air boleh menyimpan dan mengalirkan haba serta tenaga. Ia juga boleh melarutkan bahan lain seperti garam galian. Pada suhu bilik air tidak menyakitkan walaupun anda seorang yang amat sensitif pada perubahan persekitaran. Inilah sebabnya kita boleh mandi beberapa kali sehari tanpa sebarang masalah. Asas dalam terapi air ialah suhu air yang digunakan. Air sejuk akan memberi rangsangan kepada salur darah yang dekat dengan kulit untuk mengecut dan mengalihkan lebih banyak aliran darah ke organ dalam badan. Manakala air suam pula akan merehatkan otot, mengembangkan salur darah dan membantu menyingkirkan bahan buangan daripada tisu badan. Menggunakan air sejuk dan suam secara berselang seli dikatakan boleh memperbaiki proses penyingkiran bahan kumuh, mengurangkan keradangan dan merangsang aliran darah. Namun, ada beberapa ciri penting yang membolehkan air menjadi medium rawatan iaitu: # Daya apungan - Dalam air, badan akan menjadi 90 peratus lebih ringan kerana ia ditampung oleh daya apungan air. Secara automatik beban yang ditanggung otot tulang belakang dan kaki akan berkurang.
Ciri ini amat berguna membantu pesakit yang tidak boleh bersenam akibat sakit pada sendi terutama pada lutut, tulang belakang dan pinggul selain dapat membantu merawat pesakit yang mengalami keretakan tulang dan masalah berlebihan berat badan. Daya apungan ini membolehkan pesakit menggerakkan anggota yang sakit dengan menggunakan sedikit tenaga dan mengurangkan ketegangan otot. # Kelikatan air - Memberi halangan pergerakan. Bagaimanapun, gabungan daya apungan dan kelikatan, ia membolehkan seseorang pesakit melakukan pergerakan mengikut kemampuannya. Halangan ini tanpa disedari membantu pesakit membina kekuatan pada otot yang cedera dan lemah tanpa perlu mengangkat beban.
Pada peringkat permulaan, senaman boleh dilakukan mengikut arus air (arah pergerakan air dan kurang halangan) tetapi apabila apabila otot sudah kuat, senaman bolehlah dibuat melawan arus. Pergerakan air ini juga dianggap sebagai urutan. Apabila berada dalam air, seluruh badan akan menerima urutan. Jadi seluruh badan akan menerima manfaatnya. # Tekanan hidrostatik - Air memberi tekanan dari semua arah. Tekanan ini membantu meningkatkan kepekaan pesakit terhadap pergerakan semua ototnya. Apabila mengalami kecederaan otot, kebanyakan pesakit tidak mahu menggerakkan otot berkenaan bagi mengelakkan rasa sakit tetapi perkara ini sebenarnya hanya akan menyebabkan otot menjadi tegang. Terapi air membantu pesakit menggerakkan otot yang cedera dan pada masa sama ia mengurangkan masalah bengkak pada otot.
# Suhu air - Suhu air yang sesuai untuk terapi ialah antara 32 hingga 34 darjah Celsius (air terasa suam). Air suam akan merehatkan otot dan membolehkan ia digerakkan tanpa berasa sakit.
Apabila berendam dalam air suam, salur darah akan menjadi kembang dan melancarkan aliran darah yang secara tidak langsung mempercepatkan proses penyembuhan. Keadaan ini juga membolehkan enzim dan endorfin (ejen penahan sakit semula jadi dalam badan) bekerja dengan lebih baik khususnya pada anggota yang sakit, bengkak atau cedera. Haba juga membantu sel menyingkirkan bahan kumuh dan digantikan dengan oksigen serta nutrien. Bagaimanapun jangan berendam dalam air yang dirasakan terlalu panas kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan terutama kepada pesakit yang ada masalah jantung. “Kedalaman berbeza akan memberi tekanan, halangan dan daya apungan yang berbeza. Jadi pesakit boleh memilih berada pada kedalaman mengikut kemampuan dan masalah yang dihadapi. Pesakit tidak perlu bimbang kerana pakar fisioterapi akan bersama mereka ketika melakukan terapi air,” katanya. Terapi air untuk siapa?
Dr Taayah berkata hampir semua orang tanpa pada semua peringkat umur boleh mendapat manfaat daripada terapi air termasuklah individu sihat. Justeru itulah pusat rawatan kecantikan dan kesihatan seperti spa menawarkan sauna, mandi bunga atau mandi wap untuk menghilangkan tekanan. Namun, oleh kerana kemudahan terapi air yang agak terhad (hanya ada di beberapa hospital seperti Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Serdang dan satu atau dua pusat perubatan swasta), maka hanya pesakit tertentu saja yang akan diberikan terapi air. Pemilihan ini dibuat berdasarkan keperluan setiap pesakit dan pemeriksaan rapi termasuklah pengambilan tekanan darah, tahap kesihatan dan penyakit lain akan dilakukan terlebih dulu bagi mengelakkan sebarang masalah. Terapi air boleh membantu pesakit yang mengalami masalah:
# Sakit belakang atau mengalami kecederaan pada anggota badan (termasuk tangan dan kaki) # Semua jenis artritis # Pesakit yang ada masalah urat saraf (neuro) seperti yang alami kecederaan tulang belakang, strok, Parkinson, kanak-kanak serebral palsi (bagi meningkatkan kepekaan deria dan menguatkan otot seluruh badan), pesakit jantung, pernah menjalani pembedahan penggantian lutut, pesakit yang jalani pemulihan rawatan jantung. # Wanita hamil (terutama yang kerap alami masalah sakit belakang) Bagaimanapun ada golongan yang tidak sesuai menjalani terapi air iaitu
# Pesakit yang ada masalah paru-paru atau sakit jantung yang teruk (perlu lebih berhati-hati) # Inkontinens (tidak dapat mengawal kencing atau air besar) # Mempunyai luka yang belum sembuh # Sawan # Demam panas # Mengalami jangkitan Menurut Pakar Fisioterapi Kanan Pusat Perubatan Prince Court, Zalilah Salleh Ghany, terapi air boleh dilakukan secara bersendirian atau berkumpulan namun perlu dipantau pakar fisioterapi air. Bagi yang sudah mahir boleh melakukannya sendiri. Tempoh setiap sesi adalah antara 20 hingga 30 minit; dua kali seminggu. “Setiap pesakit memerlukan program terapi air yang berbeza; bergantung kepada tahap kesihatan dan sasaran yang ingin dicapai. Namun pesakit perlu ingat, terapi air hanyalah kaedah iringan untuk mempercepatkan penyembuhan dan bukan pengganti ubat. Program terapi air bisanya dijalankan serentak dengan pengambilan ubat. “Bila boleh bermula? Bila-bila yang dirasakan perlu. Lebih cepat, lebih baik. Contohnya bagi kanak-kanak serebral palsi, terapi air boleh dimulakan seawal umur enam bulan. Tiada had umur untuk melakukan terapi air tetapi sebelum memulakan sebarang program pesakit perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dulu,” katanya. Kelebihan
> Menguatkan otot > Memperbaiki keupayaan melakukan senaman regangan (pergerakan yang tidak boleh dilakukan di darat boleh dibuat dalam air) > Meningkatkan daya ketahanan (melalui senaman dalam air). Ini amat baik untuk pesakit kanak-kanak serebral palsi atau pesakit dewasa yang kerap alami kekejangan otot. > Memperbaiki keseimbangan > Merehatkan minda dan badan > Melegakan kesakitan > Meningkatkan kepekaan deria > Meningkatkan keyakinan diri khususnya pada pesakit yang tidak dapat mengikuti program di darat boleh mendapat manfaat melalui terapi air dan membuatkan mereka berada lebih baik.
> Mengurangkan kesakitan dan bengkak akibat kecederaan > Mengurangkan suhu badan (ketika demam) > Membantu badan menyingkirkan bahan toksin > Air menjadi ejen anti pengecutan otot yang tidak terkawal > Membantu mengatasi masalah sembelit > Meningkatkan sistem imun badan > Membantu mengawal tekanan darah dan paras gula dalam badan > Membantu memperbaiki pernafasan Oleh NORLAILA HAMIMA Jamaluddin