Usaha-usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan masyarakat di negara kita pada masa ini seperti yang didakwa oleh banyak pihak. Hal ini berlaku demikian kerana masing-masing sibuk dengan urusan sendiri yang menyebabkan mereka tidak menghiraukan perkara lain. Pada pendapat mereka, perkara yang penting dalam hidup ialah mereka perlu berusaha untuk mencari kekayaan dan hendak mencari wang untuk menambahkan pendapatan semata-mata. Oleh itu, mereka tidak menitikberatkan semangat patriotik dan tidak tidak mempedulikan sambutan hari kebangsaan, contohnya anggota masyarakat kita tidak mengibarkan bendera Malaysia ketika sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dijalankan. Jadi, kita berharap agar semangat patriotik dalam kalangan masyarakat dapat ditingkatkan. Sebenarnya terdapat banyak cara yang boleh dijalankan untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita. Satu daripada caranya adalah dengan memberikan penekanan tentang proses pemupukan semangat patriotik dari bangku sekolah lagi. Perkara ini membolehkan semangat patriotik sebati dalam diri pelajar seperti kata peribahasa Melayu, “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Sekiranya semangat patriotik dapat dipupuk sejak kecil, sudah tentulah semangat patriotik akan terus diamalkan dan dikekalkan hingga dewasa. Tambahan pula, amalan ini penting kerana kita dapat melahirkan masyarakat yang sentiasa cinta akan negara dan tidak melakukan perkara-perkara yang akan memburukkan nama negara. Cara lain yang boleh dijalankan adalah dengan membuat pengubahsuaian dan memberikan penekanan tentang aspek semangat patriotik ini dalam kurikulum di sekolah dan di institusi pengajian tinggi. Sekiranya perkara ini dilakukan, murid-murid akan memahami dan menghayati semangat patriotik kerana aspek tersebut dipelajari dalam mata pelajaran tertentu. Dengan perkataan lain, perkara itu akan dipelajari secara formal di dalam kelas, diuji dalam peperiksaan dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian. Oleh hal yang demikian, semangat patriotik itu akan terus subur dalam sanubari murid-murid hinggalah selepas mereka menamatkan persekolahan atau pendidikan mereka di institusi pengajian tinggi. Pihak yang bertanggungjawab hendaklah menjalankan kempen secara besarbesaran melalui media massa. Kempen-kempen yang berkaitan dengan semangat patriotik ini akan memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita Oleh itu, Kementerian Penerangan Malaysia, di samping media elektronik seperti televisyen dan radio memang berkesan untuk menyuburkan dan meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Dengan perkataan lain, televisyen dan radio hendaklah menyiarkan rancangan atau program yang dapat meningkatkan semangat patriotik seperti menyiarkan rencana tentang pejuang-pejuang kemerdekaan negara. Selain itu media elektronik itu juga hendaklah menayangkan filem seperti “Bukit Kepong”, “Paloh”, dan drama-drama yang berkaitan dengan semangat cinta akan negara. Agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab pula perlulah menjalankan aktiviti yang bersesuaian dengan usaha untuk meningkatkan semangat patriotik
dalam kalangan masyarakat agar dapat memupuk semangat ini. Aktiviti tersebut boleh dijalankan di kampung-kampung dan juga di kawasan perumahan. Oleh itu, aktiviti seperti sambutan hari kemerdekaan pada peringkat taman perumahan dan kampung perlulah digalakkan. Di samping itu, Jabatan Penyiaran atau stesen televisyen juga perlu mengadakan forum tentang semangat patriotik dengan menjemput tokoh-tokoh akademik daripada pelbagai bangsa dan juga tokoh masyarakat yang memperjuangkan semangat kebangsaan suatu masa dahulu. Aktiviti tersebut bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik malahan dapat mengeratkan perpaduan antara kaum di negara kita. Semangat patriotik juga dapat dipupuk melalui contoh dan teladan daripada pemimpin-pemimpin negara dan pemimpin masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Dengan cara itu, anggota masyarakat akan mencontohi pemimpin-pemimpin mereka yang memiliki semangat patiotik yang tinggi. Para pemimpin perlulah selalu mengingatkan dan menekankan kepentingan menghargai kemerdekaan yang telah dicapai hasil perjuangan dan titik peluh pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu dan menghayatinya dengan sepenuh hati. Hal ini penting kerana, kemerdekaan yang dinikmati ini hendaklah dihayati, dijaga dan dikekalkan sampai bila-bila. Sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan oleh semua orang sudah pasti kemerdekaan yang dinikmati sukar untuk dipertahankan dan tidak tidak akan memberi makna lagi kepada generasi yang akan datang. Oleh hal yang demikian, usaha-usaha untuk memupuk semangat patriotik perlulah dijalankan sepanjang masa tanpa henti. Hal ini demikian kerana, semangat patriotik ini penting untuk melahirkan warganegara yang cinta akan negaranya dan pasti akan menjadi individu yang berguna kepada bangsa, agama dan negaranya sendiri. Individu yang memiliki semangat patriotik yang tinggi juga akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan negaranya agar mencapai kemajuan dan pembangunan dengan cepat, setanding dengan negara-negara maju yang lain. Skiranya semangat patriotik tidak dapat dipupuk dalam kalangan remaja, pastilah mereka tidak ada perasaan cinta akan negara dan menyebabkan mereka hilang jati diri. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing agar semangat patriotik dapat dipupuk dan disuburkan dalam kalangan masyarakat
Kepentingan Memelihara dan Mengekalkan Bangunan Bersejarah di Negara Kita. Malaysia kaya dengan bangunan dan monumen bersejarah. Kerajaan telah mengambil langkah bijak dengan menjadikan binaan lama tersebut sebagai salah satu daripada Warisan Kebangsaan. Bincangkan kepentingan memulihara dan mengekalkan bangunan bersejarah di negara kita. . Pembangunan di negara kita semakin hari semakin maju dan pesat seiring dengan nama Malaysia yang kini berjaya menempa nama di persada antarabangsa. Banyak kilang perindustrian, pusat beli-belah dan perumahan dibina bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Senario ini telah menggunakan ruang yang luas
sehingga memakan tanah yang berhektar-hektar. Antara isu yang hangat yang telah dibincangkan adalah sama ada Stadium Merdeka patut dirohohkan untuk pembangunan kerana bangunan itu tidak lagi berfungsi sebagai tapak akvtiviti sukan lagi. Isu tersebut pernah menjadi polemik pelbagai lapisan masyarakat kita. Mengapakah ada kejadian seperti ini berlaku? Adakah perlu bangunan tersebut diruntuhkan? Tepuk dada tanyalah selera. Sebenarnya, terdapat pelbagai kepentingannya kita perlu mengekalkan bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita. . ……….Satu daripada kemaslahatan bangunan bersejarah perlu dikekalkan ialah bangunan bersejarah dapat dijadikan sebagai bukti yang kukuh kepada sesuatu era atau peristiwa sejarah yang telah berlaku. Monumen, mengikut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat bermaksud bangunan yang dibina untuk memperingati seseorang atau peristiwa penting. Walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama 52 tahun, kesan yang ditinggalkan oleh penjajah kolonial seperti British, Belanda dan Portugis masih dapat dilihat dan perlu dijaga dan bukanlah untuk dimusnahkan. Di samping itu, bangunan bersejarah amat penting untuk generasi kini dan juga generasi yang akan datang kerana dengan kewujudan bangunan bersejarah, kita dapat membuktikan bahawa sejarah Malaysia yang telah dicatat merupakan sesuatu yang realistik dan bukanlah cerita-cerita dongeng, mitos atau legenda. Sebagai contohnya, zaman kegemilangan bandar pelabuhan Melaka pada abad ke-15 dan abad ke-16 dapat dirasai dengan wujudnya Pintu Gerbang Porta de Santiago, Gereja Christ, Bangunan Stadhuys dan Gereja St.Paul. Selain itu, Kota Cornwallis, Masjid Kling, Gereja St.George di Georgetown, Pulau Pinang dapat mengimbas kembali detik-detik sejarah negara yang pernah suatu masa dahulu dijajah dan juga dapat membuktikan bahawa berlakunya penjajahan awal pemerintahan British di Semenanjung Tanah Melayu pada akhir abad ke-18. Tegasnya, usaha meruntuhkan bangunan bersejarah dan monuman negara tidak wajar dilaksanakan. . ……….Pendapat sesetengah pihak yang mengatakan bahawa bangunan bersejarah perlu diruntuhkan adalah tidak berasas kerana bangunan bersejarah dan monumen lama dapat memberikan teladan dan iktibar kepada masyarakat terutamanya remaja kini yang mempunyai semangat patriotisme yang semakin menipis. Walaupun ada antara bangunan bersejarah yang hanya menggambarkan sejarah hitam negara, namun jika kita menghayati sejarah di sebalik bangunan tersebut semula serta mengambil pengajaran daripada peristiwa yang telah berlaku, maka kita dapat terus mara ke hadapan tanpa mengulangi kesilapan yang telah dilakukan oleh masyarakat terdahulu. Sebagai contohnya, Kota A Famosa di Melaka yang merupakan sebuah kubu pertahanan yang kukuh telah dibina oleh Portugis setelah mereka berjaya menakluki Melaka dapat dijadikan iktibar. Penaklukan ini terjadi kerana terdapatnya masalah perpaduan, kelemahan kepemimpinan dan juga kelemahan tentera pada zaman Kesultanan Melaka. Negara kita jugamampu menjadi negara yang setaraf dengan negara-negara maju yang lain bagai berdiri sama tinggi duduk sama rendah sekiranya kita tidak mengambil mudah dan mengambil iktibar daripada sejarah negara. Oleh itu, bangunan bersejarah di negara kita sememangnya tidak perlu diruntuhkan kerana yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. . ……….Bukan itu sahaja, dari sudut pelancongan pula, bangunan bersejarah dan monumen dapat menarik pelancong baik pelancong domestik mahupun pelancong
dari luar negara untuk melawat ke negara kita. Bangunan ini juga menjadi salah satu faktor dominan pelancong bercuti di negara kita selain menyaksikan pemandangan alam yang indah. Oleh itu, bangunan bersejarah tidak perlu diruntuhkan sebaliknya dipulihara dan diubah suai. Sebagai contohnya, bangunan lama hendaklah diubah suai untuk dijadikan muzium, galeri seni lukis dan pusat pelancongan. Fenomena ini sudah menjadi suatu perkara biasa di beberapa buah negara Eropah seperti di England, Perancis, Itali, dan Belanda. Bandar-bandar bersejarah seperti York, Bath, Oxford, dan Cambridge di England telah berjaya melindungi sebahagian besar daripada bangunan bersejarah mereka dengan baik. Usaha seperti ini dapat menarik lebih ramai pelancong dari seluruh dunia dan dapat menjadi sumber pendapatan negara. Di samping itu, pelancong juga dapat melawat bangunan bersejarah dan melihat monumen-monumen yang terdapat di sekitar bangunan selain menikmati keindahan alam semula jadi negara kita dan artifak-artifak di dalam muzium dan galeri seni lukis bagai menyelam sambil minum air. Oleh itu, bangunan dan monumen ini secara tidak langsung dapat membantu industri pelancongan negara. . ……….Di samping itu, bangunan dan monumen lama juga memainkan peranan yang penting dalam pendidikan di negara kita khususnya para pelajar dan penyelidik. Pelbagai ilmu yang dapat dipelajari dengan memahami dan mengkaji bangunan dan monumen lama. Sebagai contohnya, dengan terdapatnya bangunan dan pancutan air Horse di sekitar Dataran Merdeka dan Masjid Jamek di pertemuan Sungai Gombak dan Klang di Kuala Lumpur, seseorang dapat mengetahui bukan sahaja kepentingan Kuala Lumpur dalam era kolonial British tetapi juga kehidupan dan kebudayaan masyarakat penjajah dan tempatan pada ketika itu. Bangunan Kelab Di Raja Selangor dan Dataran Merdeka telah dibina bagi kemudahan sosial dan rekreasi khasnya kepada rakyat British dan Eropah yang berkhidmat di Tanah Melayu pada akhir abad ke-19. Begitu juga halnya dengan kepentingan pancutan air Horse yang telah dibina di persimpangan Jalan Raja dan Jalan Raja Laut pada tahun 1897. Pancutan air Horse dibina sebagai memperingati seorang inspektor polis negeri Selangor, iaitu Encik Steve Harper. Pemuliharaan dan penghayatan kemaslahatan bangunan bersejarah persis peribahasa, yakni “tak kenal maka tak cinta”. Oleh itu, bangunan bersejarah dan monumen sememangnya mempunyai nilai yang tersendiri. . ……….Secara tuntas, bangunan bersejarah amat penting dalam pembentukan minda generasi muda negara terutamanya ke arah penghayatan warisan dan khazanah negara. Bangunan dan monumen yang bersejarah merupakan aset yang patut dipelihara dan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. Dengan terdapatnya bangunan bersejarah, generasi baharu akan lebih menghargai dan peka akan perkembangan sejarah negara. Hal ini akan membentuk sebuah masyarakat yang sensitif terhadap sebarang perobohan atau pemusnahan bangunan bersejarah. Sesungguhnya, pihak kerajaan pula perlulah mewartakan bangunan bersejarah sebagai bangunan yang perlu dikekalkan dan dilestarikan, bak kata pepatah “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”. Oleh hal yang demikian, mana-mana pihak yang merobohkan atau memusnahkan bangunan bersejarah, mereka perlulah dikenakan tindakan undang-undang.
LANGKAH-LANGKAH MENINGKATKAN MUTU SUKAN DI MALAYSIA Pendahuluan - prestasi/mutu sukan negara masih belum mencapai tahap yang boleh dibanggakan - langkah-langkah yang efektif perlu dilaksanakan dengan kadar segera Isi-isi
Meningkatkan kemudahan sukan - memastikan prasarana sukan mencukupi & diselenggara dengan baik - ahli sukan boleh berlatih dengan lebih gigih tanpa sebarang kekangan Menghantar ahli sukan negara menghadiri kursus/latihan intensif di luar negara - beri pendedahan kepada mereka - bagaimana hendak meningkatkan mutu permainan - tidaklah nanti dilabel sebagai 'jaguh kampung' Membawa masuk jurulatih luar negara/ menghantar jurulatih negara berkursus ke luar negara - teknik dan kepakaran dari luar bolah dipraktikkan dalam membentuk atlet yang berkualiti dan mampu menjulang nama negara Memberi insentif kepada atlet yang cemerlang - sebagai tanda penghargaan & satu bentuk motivasi untuk semua agar lebih giat berusaha Menambah bilangan sekolah sukan - melatih atlet muda agar dapat menjadi pelapis negara Menyemai minat dalam apa jua jenis sukan sejak kecil lagi
Penutup - isu ini tidak boleh dipandang sebelah mata. - perlu mencontohi kepakaran negara luar agar nama Malaysia berdiri sama gah dengan negara - negara lain di atas pentas sukan dunia.
FAEDAH KOKURIKULUM DI SEKOLAH Kerajaan telah memberi penekanan terhadap aspek kokurikulum sekolah. Pelajar sudah mula diwajibkan untuk terlibat dalam aktiviti ini. Malah kemasukan ke universiti mula menekankan aspek kokurikulum juga. Huraikan. Kegiatan kokurikulum telah dianggap satu aktiviti yang penting tetapi pembabitan pelajar agak mengecewakan. Ada pelbagai faktor yang menyebabkan pelajar tidak mahu melibatkan diri mereka dalam aktiviti ini. Sikap tidak acuh pelajar ini telah menyebabkan kerajaan mewajibkan kegiatan ini dan menjadi syarat unntuk pemilihan ke universiti. Sebenarnya, kokurikulum mempunyai banyak kebaikan yang tersirat. Pelajar yang terlibat dengan kokurikulum dapat menyihatkan badan mereka. Peluh yang keluar dapat menghilangkan toksik badan. Pelajar yang menghadapi era persekolahan zaman ini memang penuh masalah, jadi pembabitan dalam kokurikulum mampu mengurangkan tekanan ini. Kegiatan yang dijalankan itu
mampu mengalih fikiran pelajar sejenak daripada persiapan peperiksaan mereka yang penuh dengan penghafalan dan membuat latihan. Minda mereka dapat berehat sebentar apabila melakukan aktiviti yang berbeza iaitu kokurikulum. Dalam masa yang sama pembabitan pelajar memastikan mereka tidak terbabit dengan aktiviti yang tidak sihat. Kegiatan kokurikulum dilakukan pada masa-masa yang telah ditetapkan. Penetapan masa ini menyebabkan pelajar terpaksa menguruskan masa mereka dengan bijak. Pelajar yang terbabit dalam aktiviti ini akan mengutamakan aktiviti kokurikulum dan pembelajaran mereka. Ringkasnya, mereka kekurangan masa untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang tidak sihat seperti melepak. Selain itu, pelajar turut dapat menambah keyakinan diri mereka melalui aktiviti kokurikulum ini. Kokurikulum menyediakan satu “medan” yang sesuai kepada pelajar untuk memimpin atau mengetuai sesuatu pertubuhan. Situasi ini memberikan mereka satu keyakinan terhadap kemampuan mereka dalam aspek-aspek tertentu. Mereka mula menyedari bakat yang ada dan berupaya untuk mengembangkannya serta mengasahnya menjadi sesuatu yang lebih cemerlang lagi seperti memimpin pertubuhan belia, syarikat dan mungkin juga negara. Malahan, aktiviti kokurikulum membuka minda dan mata pelajar tentang erti persahabatan dan pergaulan. Mereka akan bertemu dengan pelbagai orang dalam menjalankan aktiviti kokurikulum itu. Mereka mengenal jenis manusia sebenar terutama apabilamenghadapi masalah untuk menganjurkan sesuatu aktiviti. Mereka juga mengenali erti persahabatan yang sejati. Pengalaman ini semua akan mengajar pelajar erti kehidupan yang tidak boleh mereka peroleh di luar. Pelajar juga mengetahui banyak perkara baru. Aktiviti dalam pertubuhan beruniform akan mendedahkan mereka kepada cara-cara untuk menyelamatkan mangsa ketika kecemasan, cara berkhemah, cara memasak dan cara menguruskan perbelanjaan persatuan. Semua ini memberi satu pengetahuan yang berguna kepadapelajar. Ilmu ini turut memberi pelajar satu dimensi baru dalam cara mereka melihat sesuatu pertubuhan apabila mereka keluar dari sekolah. Kesimpulannya, aktiviti kokurikulum haruslah disertai oleh semua pelajar tanpa sebarang prasangka buruk. Mereka tidak harus menganggap aktiviti ini akan menghalang kemajuan mereka dalam peperiksaan. Mereka tidak harus menyalahkan kokurikulum kalau mereka tidak memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Mereka seharusnya melihat aktiviti ini sebagai satu proses pembelajaran yang harus dialami oleh semua orang sebagai sebahagian daripada proses kehidupan kita sebagai manusia.
KARANGAN MASALAH PENYAKIT BERJANGKIT Rangka Karangan Pendahuluan - Wabak penyakit berjangkit di negara ini terkawal - kerajaan mengambil langkah-langkah untuk mengatasi masalah penyakit berjangkit. Isi-isi Penting i. Pesakit-pesakit dikuarantin daripada orang awam supaya tidak berjangkit. ii. Jangan melancong atau berkunjung ke negara-negara yang dilanda oleh penyakit tersebut. iii. Gunakan mesin pengimbas - sekat kemasukan pelancong asing dari negara yang terlibat memasuki negara Malaysia. iv. Penyediaan ubat-ubatan seperti vaksin untuk ketahanan tubuh badan melawan penyakit. v. Memusnahkan punca penyakit yang berpunca daripada unggas (ayam, burung dan lainlain). Penutup - Kerajaan dan rakyat perlu sentiasa peka dengan keadaan sekeliling – aspek penjagaan kebersihan dan kesihatan perlu diutamakan - meyakinkan pelancong asing. Karangan Contoh Industri pelancongan negara terjejas sedikit akibat wabak selesema burung dan penyakit Sindrom Pernafasan Akut yang Teruk (SARS) yang berlaku di kebanyakan negara di dunia baru-baru ini. Namun demikian, wabak penyakit itu berjaya dikawal dan tidak memberikan kesan yang serius terhadap industri pelancongan dan kesihatan rakyat negara ini. Hal ini demikian kerana, pihak kerajaan telah mengambil langkah-langkah yang efektif untuk menangani penyakit tersebut. Berdasarkan langkah mencegah lebih baik daripada mengubati, penyakit tersebut tidak merebak kepada rakyat negara ini. Seterusnya rakyat negara ini perlu berasa bimbang akan wabak yang menular di seluruh dunia itu. Negara kita dan negara-negara yang terlibat sepatutnya mengambil langkah seperti mengasingkan pesakit yang menghidap wabak tersebut. Dengan perkataan lain, pesakit perlu dikuarantin dan diasingkan daripada orang awam agar penyakit tersebut tidak merebak kepada orang lain iaitu sebelum nasi menjadi bubur. Jika tindakan ini diambil sudah pasti penyakit ini dapat dikawal dan tidak akan disebarkan kepada orang lain dan juga ke negaranegara lain. Seterusnya, keadaan ini tidak akan menjejaskan kesihatan manusia malahan industri pelancongan juga tidak terjejas. Langkah lain yang perlu dijalankan adalah dengan mengelakkan diri daripada melancong ke negara-negara yang terlibat. Rakyat negara kita atau negara lain perlu membatalkan rancangan buat sementara waktu untuk pergi melancong ke negara-negara yang sedang dilanda wabak itu seperti negara China, Hong Kong, dan Indonesia. Langkah yang dikatakan sebagai menyediakan payung sebelum hujan, sudah pasti dapat mengelakkan seseorang itu daripada dijangkiti oleh penyakit yang berbahaya itu. Pihak berkuasa setiap negara juga perlu membuat pemeriksaan yang ketat dan menyediakan alat pengimbas di pintu-pintu masuk utama negara masing-masing. Sebagai contohnya, alat pengimbas tersebut perlu diletakkan di lapangan-lapangan terbang
antarabangsa seperti di KLIA, Kuching, dan Bayan Lepas. Alat pengimbas tersebut berupaya untuk mengesan pelancong yang masuk sekiranya mereka dijangkiti oleh penyakit tersebut. Sekiranya mereka telah dijangkiti oleh penyakit tersebut, maka mereka perlu di bawa ke hospital untuk diberikan rawatan dan juga dikuarantin. Selain itu, pihak berkuasa perlu menyediakan ubat-ubatan dan vaksin yang boleh melawan virus H5N1 dan mencegah virus tersebut daripada menyerang manusia. Seseorang yang perlu ke luar negara atas urusan yang penting perlu diberikan suntikan vaksin yang dapat mencegah seseorang itu daripada dijangkiti penyakit tersebut. Hal ini demikian kerana, vaksin yang berkesan akan berupaya untuk melawan virus penyakit itu daripada menyerangnya. Orang yang sudah dijangkiti oleh penyakit ini pula, perlu diberikan rawatan yang rapi dan ubatubatan yang benar-benar berkesan untuk mengubati pesakit tersebut. Langkah seterusnya ialah pihak berkuasa perlu memusnahkan haiwan yang telah dijangkiti dan menjadi punca penyakit ini merebak kepada manusia pula. Unggas seperti burung dan ayam yang telah dijangkiti perlulah dihapuskan segera agar wabak tersebut tidak menjangkiti manusia pula. Hal ini demikian kerana, penyakit ini sebenarnya berpunca daripada unggas seperti ayam dan burung yang dijangkiti oleh virus tersebut dan seterusnya memindahkannya kepada manusia yang memeliharanya atau terlibat secara langsung dengan unggas tersebut setiap hari. Sebagai kesimpulannya, pihak kerajaan dan rakyat hendaklah peka terhadap keadaan di sekeliling mereka. Aspek penjagaan kebersihan dan kesihatan perlulah diberikan perhatian yang utama dalam kehidupan seharian. Janganlah sudah terhantuk baru nak tengadah kerana sekiranya aspek kebersihan diabaikan sudah pasti penyakit itu akan mudah menyerang mangsanya. Jadi, langkah awal penting untuk menghindarkan seseorang itu daripada dijangkiti oleh wabak yang berbahaya ini. Seterusnya, perkara ini juga akan dapat meyakinkan pelancong yang hendak melancong ke negara kita. Contoh Tugasan 2: Esei ; ; Bagaimanakah pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah dapat memupuk semangat cintakan warisan bangsa dalam kalangan rakyat Malaysia? Istilah pemeliharaan membawa maksud kerja-kerja baikpulih bangunan, monumen dan tapak tanah bersejarah dengan menggunakan pelbagai pendekatan yang bersesuaian seperti pencegahan, pengekalan, pengukuhan, pengembalian semula, pemulihan, pengeluaran semula, pembinaan semula dan lain-lain lagi. Perkataan pemuliharaan pula mengikut Oxford Fajar (2004:79) membawa kepada maksud “… kerja memulihara dalam bentuk yang sedia ada.” Burden (2004:62) pula mendefinisikan maksud perkataan ini sebagai pengurusan bangunan, monumen dan tapak untuk mengelak pereputan, kemusnahan, penyalahgunaan atau diabaikan…” Insan yang mempunyai semangat berbangga sebagai rakyat Malaysia dapat dibentuk melalui kajian bangunan bersejarah seperti kerana melalui kajian ini, kita dapat menjaga dan mempertahankan maruah bangsa dan negara dengan mempelajari dan meneruskan pemeliharaan dan pemulihan warisan bangsa ini.Dengan meneruskan dan memperkenalkan bangunan ini kepada generasi depan, bermakna mereka juga menyemai perasaan
patriotik.Sekaligus menunjukkan bahawa kita menghargai dan mengamalkan tradisi dan budaya bangsa. Dalam ertikata lain, melalui prinsip penjagaan bangunan ini, kita dapat menunjukkan bahawa kita bangga dengan sejarah bangsa. Melalui pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah juga , kita dapat menyemai semangat bersatu padu dan berharmoni di antara masyarakat majmuk. Dalam melaksanakan pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah seperti ini juga mengkehendaki kita bekerjasama dan tolong menolong antara ahli masyarakat. Semangat muhibah atau semangat bermuafakat yang dibentuk seterusnya akan melahirkan semangat patriotik antara anggota masyarakat. Dalam melaksanakan proses pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah juga, masyarakat Malaysia mestilah menunjukkan semangat disiplin yang tinggi Aktiviti seperti seperti ini juga memerlukan kita mempamerkan sikap bertindak wajar serta mematuhi undang-undang pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah Keadaan ini jika disemai berterusan akan melahirkan rakyat Malaysia yang mempunyai disiplin yang tinggi terhadap peraturan negara. Proses pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah juga mempamerkan sikap rajin dan gigih . Kita juga mesti menunjukkan sikap berdikari bagi menjayakan pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah yang biasanya dilakukan secara kerjasama berpasukan. Dalam proses pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah kita juga perlu menunjukkan sikap tabah menghadapi cabaran bagi melengkapkan proses tersebut. Sikap rajin, tabah dan berdikari ini akan menjadikan warga negara menyemai sikap-sikap ini bagi memajukan negara.
Langkah Memupuk Semangat Kejiranan Soalan: Semangat kejiranan dalam kalangan rakyat di negara kita semakin longgar. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang harus diambil supaya semangat kejiranan dalam kalangan penduduk dapat ditingkatkan. Jiran ialah orang yang tinggal di sekeliling rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan, dan juga di belakang rumah kita. Jika kita tinggal di dalam satu taman atau di sebuah kampung yang sama, mereka akan dikenali sebagai jiran tetangga kita. Jiran sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang akan membantu kita apabila kita menghadapi kesusahan nanti. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa "Jiran sepakat membawa berkat". Jadi, kita perlulah mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu hati dalam melakukan sesuatu perkara. Oleh itu, langkah-langkah yang wajar hendaklah diambil untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat. Langkah primer yang harus diambil ialah mengadakan aktiviti gotong-royong. Melalui aktiviti gotong-royong, jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa “tak kenal maka tak cinta”. Sebagai contoh,
aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara, dan sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalinkan dan meningkatkan hubungan sesama jiran. Selain itu, kita juga hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu sambutan perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat bertanya khabar dan bercerita tentang pengalaman dengan lebih dekat. Seterusnya, melalui majlis rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contoh, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Krismas, Deepavali, dan sebagainya majlis-majlis rumah terbuka hendaklah dijadikan acara tahunan. Tegasnya, majlis rumah terbuka mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan berkenalan dengan lebih erat lagi. Di samping itu, kita juga hendaklah mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat. Semasa aktiviti ini diadakan, semua ahli keluarga jiran akan turut serta untuk melibatkan diri dalam aktiviti seperti berkayak, memasukkan air ke dalam botol, terompah gajah, dan sebagainya. Apabila aktiviti Hari Keluarga diadakan, kemesraan akan terjalin bukan sahaja antara ibu dengan bapa, malah anak-anak juga. Aktiviti seperti ini hendaklah diadakan di padang bola sepak, gelanggang bola tampar, taman rekreasi, atau padang sekolah yang berhampiran. Jadi, melalui aktiviti ini, hubungan yang erat sesama jiran dapat dibentuk yang secara tidak langsung akan menimbulkan perasaan ingin membantu antara satu dengan yang lain seperti yang terungkap dalam peribahasa Melayu ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.
Bukan itu sahaja, kita juga harus menggalakkan rakyat supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial seperti persatuan atau pertubuhan. Penduduk setempat mestilah membentuk satu persatuan yang mempunyai satu sistem organisasi yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti Pertubuhan Rukun Tetangga, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian, dan sebagainya. Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rukun Tetangga, masyarakat setempat secara bergilirgilir mengawasi keselamatan taman untuk mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu, iaitu ibarat aur dengan tebing yang mementingkan semangat sandar-menyandar atau saling membantu dalam kehidupan.
Seterusnya, kita mestilah menyemarakkan budaya kunjung-mengunjung dalam kalangan rakyat sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat kejiranan. Dalam hidup bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti ini, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Sebagai contoh, kita perlu berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita bahawa jiran kita dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang pada prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Maksudnya ialah jika kita mempunyai semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasai segala kesusahan dan keperitan yang dialami oleh jiran kita. Jadi, melalui lawatan
kita itu, sekurang-kurangnya kita dapat meringankan penderitaan yang dialami oleh jiran kita itu. Kesimpulannya, kita perlu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat. Dalam era globalisasi ini, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan orang lain semakin menebal seperti yang terkandung dalam pepatah Melayu “bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”. Jika hal ini dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan perpaduan negara. Ada pepatah yang mengatakan bahawa “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan akan bertambah utuh dan teguh. Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya negara kita sentiasa aman, harmoni dan sejahtera.
Amalan Gaya Hidup Sihat Mutakhir ini, slogan `rakyat sihat ,negara maju‟ sering diuar-uarkan oleh pihak kerajaan untuk menggalakkan rakyat mengamalkan gaya hidup yang sihat. Sebagaimana yang dipertikaikan, pengamalan gaya hidup bukan sahaja dapat memajukan negara kita,malah kita dapat melahirkan generasi muda yang sihat ,kreatif dan inovatif. Gaya hidup sihat harus diamalkan oleh seseorang melalui cara fizikal dan mental. Jika kita ditinjau dari perspektif fizikal,seseorang dapat mengamalkan gaya hidup sihat dengan melakukan senaman. Pada abad ke-21 ini,orang ramai sibuk mengejar kekayaan dan kebendaan. Mereka sering beralasan supaya tidak perlu melakukan senaman.Kesannya,golongan tersebut mudah dihidapi penyakit yang kronik seperti penyakit sakit jantung dan obesiti.Sebenarnya ,senaman banyak membantu kita dalam mengamalkan kesihatan badan.Misalnya bahan toksik yang bahaya dapat dikeluakan dari badan kita melalui keringat. Selain itu,lemak yang berlebihan juga dapat dihauskan melalui senaman . Justeru, senaman harus dilakukan secara berterusan bagi mengamalkan gaya hisup sihat.
Selanjutnya ,makanan yang bakal menjadi penjana tenaga badan kita juga harus dirancang rapi. Ada pepatah yang mengatakan 'anda adalah apa-apa yang anda makan'.Hal ini benar jika ditelusi dari sudut kesihatan kerana makanan yang tidak sihat akan memberikan kesan negatif kepada badan kita.makanan yang disedialan haruslah mempunyai semua nutrien yang dihendaki badan. Garam ,minyak dan gula yang berlebihan dalam makan boleh mencetus penyakait kencing manis, tekanan darah tinggi serta memnbawa maut. Oleh itu,adalah wajar bagi kita untuk merancang makanan kita. Di samping itu,dari perspektid mental,seseorang harus menghindari gejala sosial yang akan menjatuhkan maruah diri. Hal ini berlaku kerana gejala sosial seperti
merokok,menagih dadah dan melakukan vandalisme boleh meninggalkan imej yang buruk kepada orang lain selain membahayakan diri sendiri. Seseorang terutamanya remaja yang berdarah setampuk pinang mudah terjerumus ke kancah tesebut. Oleh sebab itu.pelbagai usaha harus dilakukan oleh ibu bapa dan pihak sekolah untuk memastikan anaknya sentiasa berfikiran bersih. Penerapan nilai-nilai murni di kalangan pelajaran juga merupakan satu cara untu mengamalkan gaya hidup sihat. Hal ini disebabkan nilai-nilai murni tersebut dapat menjadi pedoman dalam kehidupan dan membeikan arah yang tepat semasa mereka kehilangan arah.Ibu bapa harus memberikan didikan moral dan agama kepada anak-anak mereka semasa mereka masih kecil bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Generasi yang muda ini bakal menjadi tonggak negara dan harus mengamalkan gaya hidup sihat.
Kesimpulannya, gaya hidup sihat bukanlah perkara yang susah untuk dilaksanakan.Peranan pelbagai pihak pasti dapat membawa kepada kejayaan,asalkan mereka berusaha untuk mengamalkan amalan tersebut.
FAEDAH MENABUNG SEJAK KECIL Dalam meniti kehidupan yang bertunjangkan nawaitu materialistik dan individualistik, kita seyogianya memahami kemaslahatan wang. Cendekiawan memfasiqkan bahawa dengan wang, kita dapat melakukan segala-galanya tetapi wang tidak dapat membeli segala-galanya. Oleh hal yang demikian, menabung memang sinonim dengan wang dan masa depan. Orang yang mengabaikan amalan ini diumpamakan orang yang menagak cabaran pada hari muka. Realitinya, peribahasa Melayu ada menjelaskan bahawa “sediakan payung sebelum hujan”. Dalam marcapada, menabungkan wang dikatakan dapat mendisiplinkan diri kita. kesabaran dan kesanggupan berkorban demi masa depan menjadi titik tolak seseorang menabung. Apabila menabung, prinsip “sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit”. Wang tabungan ini dapat mengekang diri kita daripada lalai dalam merancang masa hadapan. Disiplin diri yang terbentuk dalam amalan menabung dapat diaplikasikan dalam kehidupan sehari-hari. Ringkasnya, menabung merupakan rencah untuk mengawal diri daripada memboros. Walakin begitu, amalan yang dituntut agama ini dapat memupuk pemikiran yang mengapresiasi kesusahan mencari wang. Ibu bapa yang bekerja siang dan malam “bagai lebah mengumpulkan madu” demi membiayai kos kehidupan yang meningkat harus kita sedari. Baki wang saku yang diberi mestilah dimasukkan ke dalam tabung. Apabila kita memerlukannya pada kala kecemasan, pertolongan orang lain tidak diperlukan. Oleh sebab itu, nilai berdikari dapat ditanam di samping mengetahui setiap sen merupakan hasil titik peluh dan keringat yang bermakna. Ibu bapa memainkan peranan sebagai mencorakkan amalan ini kepada anak-anak sejak kecil lagi kerana “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Anak-anak bagaikan
kain putih, ibu bapalah yang harus mencorakkan dan mewarnakan kehidupan mereka dengan amalan murni seperti menabung. Dengan berbuat demikian, anakanak dapat diajar tentang perancangan masa hadapan. Mereka akan menyedari hakikat kepentingan berjimat cermat. Anak-anak yang pandai berjimat-jimat nescaya dapat berusaha dengan lebih giat untuk menjamin masa hadapan kerana “asal ditugal, adalah benih”. Wang tabungan yang dikumpulkan acap kali dibawa ke bank untuk disimpan. Di samping menabung, kita juga berpeluang untuk mempelajari perkembangan dunia perbankan. Hal ini secara tidak langsung menjadikan kita warga yang sentitif akan perkembangan ekonomi semasa. Daripada perspektif ekonomi, kita dapat memainkan peranan sebagai penjana virus yang dapat membebaskan negara daripada serangan wabak kemelesetan ekonomi. Tegasnya, simpanan tidak seberapa yang kita laburkan dalam simpanan bank dapat digunakan oleh pihak bank untuk pelaburan mega lain sekali gus menstabilkan ekonomi negara. Walhasil, sebagai anak bangsa yang bakal dibentuk menjadi modal insan kepada nusa tercinta, kita sewajarnya menjadikan amalan menabung sebagai rutin kehidupan. “Ingat sebelum kena, jimat sebelum habis” merupakan kata-kata mutiara yang mesti kita hayati. Dengan menabung, kualiti kehidupan yang lebih baik dapat kita nikmati. Wang yang ditabung boleh menjadi modal melanjutkan pelajaran demi memberi pulangan kehidupan yang lebih baik kepada ayahanda dan bonda tercinta. Pulangan yang lumayan daripada amalan menabung dapat dirasai bukan sahaja untuk diri justeru kepada seantero jagatraya.
Amalan Gaya hidup Sihat . .........Gaya hidup sihat bolehlah ditakrifkan sebagai satu amalan kehidupan yang membawa impak positif kepada diri seseorang, keluarganya dan masyarakat. Antara contoh kehidupan yang sihat ialah individu tersebut hidup dengan penuh ceria tanpa mengalami sebarang masalah yang boleh menjejaskan kehidupannya untuk satu tempoh tertentu pula. Sudah pasti dalam kehidupan era moden yang begitu banyak tekanan ini gaya hidup sihat menjadi satu matlamat yang perlu dicapai segera. Oleh itu, terdapat pelbagai tindakan yang boleh dilakukan untuk mencapai matlamat ini. . ..........Tindakan awal ialah seseorang itu perlu mengamalkan satu bentuk pemakanan yang seimbang dalam kehidupannya. Dalam keadaan kehidupan sebenar, orang ramai lebih suka mengambil makanan yang bersifat mudah seperti mengamalkan pengambilan makanan ringan ataupun makanan segera. Tidak kurang juga masyarakan kita hari ini yang lupa kesan pengambilan makanan berlemak ataupun makanan yang mempunyai kandungan garam, gula atau sodium glutamit yang tinggi. Hal ini boleh mendatangkan pelbagai penyakit kronik seperti sakit jantung, darah tinggi ataupun kencing manis yang juga menjadi punca kematian tertinggi di negara kita. Orang ramai juga mesti menjauhi amalan buruk seperti merokok atau meminum arak kerana kesannya amat membahayakan. Jelaslah, diet yang seimbang membolehkan kita semua mencapai kehidupan yang ceria kerana semua nutrien yang diperlukan oleh badan diperoleh menerusi pemakanan yang seimbang. .
..........Selain itu, aktiviti senaman yang berkala mampu menjadikan kehidupan yang dijalani oleh seseorang itu lebih sihat dan menceriakan. Kita boleh menjalankan aktiviti seperti bersukan, berekreasi, berjalan atau berlari bersendirian atau bersamasama keluarga ketika hujung minggu. Aktiviti senaman seperti ini diakui oleh pakar perubatan mampu menjadikan sistem peredaran darah manusia lebih baik serta menjadikan sistem imunisasi mereka tinggi. Mereka yang gemar bersukan biasanya memiliki badan yang sihat dan minda yang cerdas berbanding dengan orang yang jarang bersukan. Jelasnya, semakin kerap senaman dilakukan maka semakin tinggilah tahap kesihatan seseorang itu kerana minda yang cerdas datangnya daripada badan yang cergas. . ..........Orang ramai juga perlu mengutamakan kebersihan diri pada setiap masa bagi memastikan mereka terhindar daripada sebarang penyakit. Keperluan asas seperti menggosok gigi, mandi, berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat yang cukup juga perlu dijadikan amalan hidup seharian. Bagi mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit, mereka juga perlulah mengamalkan budaya mendisiplinkan diri dengan asas-asas kebersihan seperti mencuci tangan dengan bersih sebelum makan, menutup makanan dengan baik agar tidak diharung lalat mahupun memilih gerai atau tempat makan yang bersih semasa menjamu selera. Sikap sambil lewa masyarakat dalam aspek berkenaan mungkin boleh membawa padah. Justeru, amalan sebegini harus diutamakan agar dapat membentuk gaya hidup yang sihat dalam kalangan masyarakat. . ..........Pada masa yang sama selain mengutamakan kesihatan diri dan makanan, masyarakat juga perlu menjaga kebersihan persekitaran mereka. Persekitaran yang bersih perlu dijadikan amalan dan gaya hidup agar kita terhindar daripada sebarang penyakit. Umpamanya, orang ramai digalakkan mengadakan gotong-royong untuk membersihkan kawasan taman perumahan dengan membersihkan sampah-sarap atau memastikan kawasan persekitaran mereka sentiasa bersih. Amalan seperti ini dapat mengelakkan pembiakan agen-agen pembawa penyakit seperti nyamuk, lipas, lalat dan sebagainya. Tempat-tempat pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti pelapik pasu bunga ataupun tempat takungan air mestilah kerap dibersihkan ataupun ditukar. Dengan cara demikian, orang ramai akan dapat menjauhkan diri mereka daripada pelbagai penyakit serta membentuk kehidupan yang sihat. . ..........Gaya hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu. Mereka yang lebih terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain didapati lebih bermakna kehidupannya berbanding dengan individu yang suka bersendirian atau menyimpan masalah mereka. Sikap berkawan dan menghabiskan masa bersama-sama mereka menjadikan keperluan psikologi manusia dipenuhi dengan efektif. Masyarakat digalakkan menjalin hubungan komunikasi yang mesra bersama-sama rakan atau jiran tetangga. Hubungan baik yang berkekalan biasanya dapat melahirkan satu bentuk kehidupan yang ceria dan menggembirakan. Sesungguhnya, aspek psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi bagi memperoleh gaya hidup yang sihat ini. . ..........Pada masa yang sama sikap atau mentaliti positif penting untuk dimiliki oleh seseorang itu bagi menangani tekanan kehidupan dalam era moden ini. Pemikiran yang positif menjadikan seseorang itu mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang
melanda kehidupannya dengan baik tanpa tertekan. Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama tekanan di pejabat memerlukan satu persepsi positif daripada ahli masyarakat kita. Kepada mereka yang menghadapi tekanan hidup, mereka mungkin boleh mendapatkan bantuan daripada pakar motivasi ataupun rakan-taulan di sekeliling mereka. Hal ini perlu kerana tekanan yang dialami boleh menjuruskan seseorang pada perlakuan negatif seperti mendera, menagih dadah atau melakukan sesuatu perkara di luar jangkaan. Jadi, semakin positif minda seseorang itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat yang mampu dicapainya kelak. . ..........Kesimpulannya, gaya hidup yang sihat ini boleh diperoleh menerusi semua amalan yang dipaparkan tadi. Gaya hidup sihat hanya boleh dicapai sekiranya masyarakat mengamalkan semua aspek kehidupan berlandaskan ciri-ciri manusia sihat. Cuma sikap masyarakat yang masih memandang rendah kepentingan gaya hidup sebeginilah yang menyebabkan pelbagai masalah kesihatan timbul kelak. Kita semua perlulah memahami bahawa mencegah lebih baik daripada mengubatinya.
Amalan berjimat cermat dan menabung. ............Amalan berjimat cermat merupakan sikap yang mulia dan seharusnya dipraktikkan sepenuhnya oleh masyarakat Malaysia apatah lagi dengan keadaan harga barangan yang semakin meningkat kesan daripada kenaikan harga bahan bakar di pasaran dunia. Sikap boros ketika berbelanja haruslah ditangani agar tidak menyusahkan diri dan keluarga. Oleh itu, langkah-langkah yang sewajarnya perlu diambil untuk menanamkan sikap berjimat cermat dalam kalangan masyarakat. ............Antara langkah efektif yang telah diambil oleh kerajaan untuk mengalakkan rakyat Malaysia mengamalkan sikap mulia ini adalah dengan menanmkan sikap rajin menabung. Kerajaan telah mengambil inisiatif bagi memupuk semangat menabung dalam kalangan pengguna. Pengenalan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ialah contoh kesungguhan kerajaan untuk menyedarkan masyarakat akan pentingnya perancangan masa depan kerana kita perlu menyediakan payung sebelum hujan. ............Ibu bapa juga seharusnya memupuk sikap suka menabung kepada anakanak sejak dari kecil lagi. Anak-anak harus dididik mempunyai tabungan sendiri di rumah iaitu menabung wang lebihan perbelanjaan sekolah mereka dan menggunakan simpanan mereka apabila ingin membeli barangan keperluan sendiri. Ibu bapa juga boleh membuka akaun simpanan anak-anak di bank-bank tempatan seperti Bank Simpanan Nasional , bank Rakyat dan sebagainya kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Institusi perbankan hendaklah dimanfaatkan sebagai tempat menyimpan wang yang selamat dan hasil daripada tabungan ini dapat digunakan untuk keperluan masa depan yang lebih gemilang. ............Masyarakat juga hendaklah prihatin akan peranan skim-skim saham amanah. Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna telah menjayakan Minggu Saham Amanah bagi memupuk kesedaran melabur dalam kalangan pengguna. Oleh itu, masyarakat hendaklah sedar akan peluang yang terbuka luas
untuk melabur dan seterusnya mendapat dividen yang diagihkan pada setiap tahun. Hal ini pasti akan mendatangkan kebahagiaan kepada masyarakat kerana masyarakat yang bahagia mempunyai masa depan yang terjamin. ...........Sebelum membeli barangan, perancangan yang teliti hendaklah dilakukan terlebih dahulu. Barang-barang yang mahu dibeli perlu disenaraikan. Perbelanjaan berhemat ini wajar dipraktikkan bagi mengelakkan sebarang pembaziran dan masyarakat hendaklah membeli barangan mengikut keperluan, bukan mengikut nafsu. Ketika berbelanja, penggunaan kad kredit juga patut dielakkan kerana akan menambah beban tanggungan hutang dan lama kelamaan pengguna akan mengalami masalah kewangan. Justeru, mayarakat wajar berpegang pada peribahasa berjimat sebelum terlambat, beringat sebelum terkena. ............Kesimpulannya, amalan berjimat cermat sudah pasti akan melahirkan masyarakat yang bijak dan progresif kerana mempunyai sumber kewangan yang mencukupi dan sudah tentu untuk jaminan masa hadapan yang lebih cerah, seperti kata tokoh Mahatma Gandhi, berfikirlah untuk hari esok, namun bertindaklah hari ini. Oleh yang demikian, pelbagai pihak wajar memainkan peranan agar amalan berjimat cermat menjadi budaya masyarakat kita setiap masa tanpa mengira peringkat umur.
"Kepentingan Hutan Semula Jadi" Hutan merupakan anugerah daripada Tuhan. Anugerah ini memang tidak ternilai kepada hidupan sarwa alam. Oleh sebab itu, alam ini wajar dipelihara sebelum terlambat kerana “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna”. Hutan dapat dijadikan kawasan tadahan air hujan. Dengan ini, kita dapat menggunakannya dalam pelbagai aspek kehidupan harian seperti memcuci, memasak dan lain-lain. Oleh sebab itu, hutan menjadi nadi kehidupan kepada penduduk bumi. Selain itu, hutan juga menjadi kawasan mainan fauna di muka bumi ini. Hutan yang berfungsi sebagai habitat kepada flora dan fauna, hutan dapat menyelamatkan flora dan fauna. Hal ini demikian kerana kepupusan flora dan fauna berkait rapat dengan hutan. Sementara itu, hutan juga dapat memainkan peranan sebagai pengawal pemanasan global. Pemanasan global berlaku kerana pencemaran dan sikap manusia yang tidak cinta akan alam sekitar. Oleh hal yang demikian, tahap kepanasan di muka bumi ini dapat dikurangkan agar kita tidak berpanas. Hutan ialah tempat manusia mencari rezeki, terutamanya Orang Asli. Oleh itu, hasil hutan seperti herba dan ubat-ubatan dapat terus dicari dengan kewujudan hutan. Saya berharap amalan perubatan tradisional dapat diperkembangkan jika hutan dijaga dengan baik. Kesimpulannya, hutan wajib dipelihara dengan sebaik-baiknya oleh setiap penduduk bumi. Hutan dapat memberi ketenangan jiwa kepada kita dengan hutan yang malar hijau. Oleh itu, kawasan hutan mestilah diperluas dan dipulihara demi masa depan semua.
Kepentingan Sektor Pertanian Sektor pertanian pernah menjadi tunjang kekuatan ekonomi negara pada suatu ketika dahulu. Hasil getah, kelapa sawit, padi dan seumpamanya juga pernah menjadi penyumbang terbesar pendapatan negara dan mewujudkan banyak peluang pekerjaan untuk rakyat di negara ini. Namun, kemajuan arus pembangunan negara yang lebih menjurus kepada sektor perindustrian telah menenggelamkan bidang pertanian sedikit demi sedikit terutamanya dalam dekad terakhir abad kedua puluh. Walau bagaimanapun, keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu pada permulaan awal alaf baharu ini, mengembalikan semula kepentingan bidang pertanian di negara kita. Peralihan pucuk pimpinan negara pada akhir tahun 2003 mungkin dapat dilihat sebagai permulaan terhadap kebangkitan semula sektor pertanian di negara ini dari zaman suramnya kira-kira dua dekad yang lalu. Kesungguhan kerajaan bawah pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam memajukan bidang pertanian dapat dilihat melalui peruntukan pembangunan yang sangat banyak untuk memajukan bidang ini kita saksikan dalam belanjawan tahun 2005. Langkah ini amat tepat memandangkan negara kita mengimport bahan makanan yang terlalui banyak seperti gula, beras, buah-buahan dan sebagainya sedangkan kita mampu menghasilkan sendiri bahan makanan tersebut. Oleh itu, tumpuan terhadap bidang pertanian mampu mengurangkan pengaliran wang ke luar negara dan sekali gus mengelakkan defisit pada imbangan perdagangan luar negara. Selain dapat mengukuhkan imbangan perdagangan negara, penumpuan terhadap sektor pertanian berupaya mengelakkan pergantungan negara pada bekalan bahan makanan dari luar negara. Hai ini berlaku demikian kerana kadar pertumbuhan pesat penduduk di negara ini yang sudah pasti akan memerlukan jumlah makanan yang lebih besar. Kebanyakan bahan makanan asas seperti beras, gula dan bijirin yang lain sesuai ditanam di negara ini. Jika kekurangan buruh dijadikan alasan,kita boleh menggunakan buruh-buruh asing yang bekerja di sektor perkilangan, perkhidmatan dan sebagainya untuk bekerja di sektor pertanian. Dengan cara ini, kita bukan sahaja dapat menggunakan khidmat buruh yang murah bahkan dapat mengelakkan buruh-buruh asing ini daripada merampas peluang pekerjaan yang sepatutnya diberikan kepada rakyat tempatan. Pada hemat saya, keadaan dunia yang kucar-kacir akibat peperangan yang sering tercetus mewajarkan kita menumpukan perhatian untuk membangunkan sektor pertanian secara lebih serius. Dalam masa yang sama, negara kita Malaysia mempunyai tanah-tanih yang subur, bebas daripada bencana alam atau keadaan huru-hara yang boleh memusnahkan sebarang kegiatan ekonomi. Jika kelebihan ini tidak dimanfaatkan, bermakna kita telah mensia-siakan anugerah Allah ke atas bumi kita. Dari satu sudut yang lain pula, kita telah melihat kegagalan banyak syarikat yang berasaskan industri dan perkilangan di negara ini untuk bersaing di peringkat antarabangsa. Sebaliknya, jika kita menumpukan pengeluaran negara kita dalam menghasilkan produk pertanian, persaingannya di peringkat antarabangsa tidak sehebat persaingan dalam sektor perindustrian terutamanya sektor yang berasaskan teknologi maklumat. Kata orang tua-tua, ukur baju di badan sendiri.
Satu lagi alasan yang mewajarkan negara kita memberi tumpuan semula kepada sektor pertanian ialah bahan-bahan mineral yang ada di negara kita sudah semakin berkurangan. Petroleum dan gas asli dijangka akan habis menjelang tahun 2050 jika telaga yang baharu tidak ditemukan. Bijih timah dan bijih besi pula sudah tinggal sisa-sisanya sahaja sedangkan bahan-bahan ini amat penting untuk menggerakkan sektor perindustrian dan pembinaan. Sementelahan, kerajaan kita mempunyai pelbagai agensi yang dapat membantu meningkatkan kemajuan sektor pertanian seperti Lembaga Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan agensi yang lain yang telah membuktikan keberkesanan peranan mereka. Malah sektor perikanan di negara kita khususnya perikanan laut dalam juga berpotensi untuk dimajukan sebagai sumber ekonomi yang baharu. Kesimpulannya, saya berpendapat bahawa sektor pertanian mempunyai asas yang kukuh dan potensi yang baik serta prospek yang cerah untuk dimajukan. Kita harus menggunakan segala kepakaran yang ada untuk memajukan bidang ini demi kestabilan ekonomi negara. Rakyat Malaysia pertu berfikiran terbuka dan positif terhadap potensi sektor ini. Kita juga wajar menjadikan kejayaan negara-negara maju khususnya Jepun yang telah berjaya menguasai sektor perindustrian tetapi dalam masa yang sama terus membangunkan bidang pertanian untuk kesejahteraan hidup rakyatnya. Bak kata peribahasa Melayu, yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan.
Gagasan 1 Malaysia 1 MALAYSIA TERAS PERPADUAN NEGARA Dalam kerancakan penduduk jagatraya berjalan bersama-sama bayang-bayang keharmonian, riang berlagu gembira, pemimpin diumpamakan sebagai jantung sesebuah negara. Pemimpin perlu bijak mengorak langkah proaktif untuk mengekalkan kestabilan keharmonian dan keamanan negara.. Umum mengetahui, keunikan Malaysia adalah bersandarkan kesejahteraan hidup kesatuan tiga kelompok berbeza bangsa dan agama namun masih mampu mengekalkan keamanan sejagat. Perpaduan menjadi elemen penting dan merupakan cerucuk dominan dalam mengekalkan keamanan. Oleh hal yang demikian, idea yang dilontar dan dilemparkan oleh Perdana Menteri Malaysia ke lima, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib dalam mengetengahkan gagasan 1 Malaysia merupakan satu tindakan yang wajar dicontohi oleh tampuk kepimpinan yang lain. 1 Malaysia mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagaimana slogan YAB Perdana Menteri „Rakyat Didahulukan, Pencapaian diutamakan‟. 1 Malaysia dikatakan membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan antara kaum bagi memastikan rakyat Malaysia menjalinkan perpaduan yang lebih erat. Sekadar memetik kata-kata Datuk Seri Najib, beliau berbicara “saya berharap semua rakyat Malaysia melihat hari muka dengan lebih optimis dan keazaman untuk membina satu Malaysia yang lebih kukuh dan dinamik”. Sejajar dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju,
selamat dan makmur.
Konsep 1 Malaysia telah menjadi asas pegangan dalam menjaga keadilan untuk semua kaum, yang membawa maksud bahawa nasib semua kaum akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan. Umum mengetahui, perpaduan yang digambarkan oleh gagasan 1 Malaysia amat berbeza dari konsep asimilasi yang diamalkan di negara-negara lain, di mana identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan dan diganti dengan satu identiti nasional yang sama. Sebaliknya 1 Malaysia menghargai dan menghormati prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan dan identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia dan menganggapnya sebagai satu aset yang patut dibanggakan. Disini jelas menunjukkan bahawa negara mengekalkan keadilan setiap kaum tanpa mengubah pegangan dan cara hidup mereka. Rakyat diberi kebebasan dalam menentukan pegangan hidup masing-masing tanpa sebarang halangan. Memetik kata-kata daripada seorang peguam di Indonesia, beliau berkata “keadilan yang hakiki hanya ada disyurga, tetapi kita di dunia cuba hampiri ke tahap itu”. Justeru, kelebihan yang diperoleh apabila menjadi warga Malaysia seharusnya diiringi dengan rasa syukur kerana diberi peluang untuk hidup dalam suasana harmoni tanpa sebarang diskriminasi.
Seterusnya, 1 Malaysia ialah satu gagasan bagi memupuk sikap saling menghormati dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. Tidak kira sama ada Melayu, Cina, mahupun India, sikap ini perlu disemat kukuh dalam sanubari generasi hari ini untuk mengekalkan perpaduan negara. Kita tidak mahu negara gah dengan kemodenan berkelas pertama tetapi masyarakat masih mengamalkan gaya hidup berkelas ketiga lantaran ketempangan sikap saling menghormati. Masyarakat Melayu misalnya, perlu menghormati pegangan dan kepercayaan bangsa lain dan begitu juga sebaliknya kerana setiap bangsa mempunyai amalan dan kepercayaan yang tersendiri . Kita tidak boleh bersikap serperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing dengan mengamalkan sikap mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan sensitiviti bangsa lain. Di sinilah pentingnya sikap hormat-menghormati dalam kalangan rakyat kerana apabila hidup di bawah satu bumbung bersama tiga kelompok berbeza adalah suatu perkara yang tidak boleh diambil mudah dan dipandang enteng kerana setiap perlakuan dan tutur kata perlu dijaga rapi. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Justeru, sinergi daripada setiap lapisan masyarakat amat diperlukan dengan menjadikan sikap saling menghormati sebagai salah satu inisiatif dalam mengekalkan perpaduan.
Pemimpin perlu bijak dalam memainkan peranan untuk membina rumpunan bangsa Malaysia yang bahu-membahu atau bantu-membantu agar dapat memperkukuh ikatan kaum yang akan menjadi tunjang kepada pembangunan dan keharmonian
negara. Apakah ikatan dan jalinan ini akan berterusan jika ada rakyat yang tidak tahu menilai perpaduan negara?. Oleh yang demikian, konsep 1 Malaysia yang diketengahkan mampu menyemai sikap saling bekerjasama sesama rakyat. Sekadar mengambil contoh daripada persekitaran sekeliling, rakyat Malaysia mampu menjalankan urusan perniagaan secara perkongsian walaupun berbeza bangsa. Selain itu, jika dinilai dari alam persekolahan, sekolah-sekolah Cina tidak lagi hanya didiami oleh bangsa tersebut semata-mata, malahan anak-anak Melayu dan India turut menuntut di sekolah yang sama. Begitu juga dengan bangsa India, mereka tidak hanya tertumpu kepada sekolah jenis kebangsaan tamil atau SJK(T) sahaja. Di sini jelas menunjukkan bahawa sikap kerjasama tidak hanya wujud dalam golongan profesional sahaja, anak-anak di bawah umur mahupun belia-belia harapan bangsa turut mampu mengamalkan sikap saling bekerjasama antara satu sama lain. Oleh hal yang demikian, konsep 1 Malaysia membantu memepertingkatkan lagi sikap tersebut seterusnya perpaduan negara lebih mudah dicapai.
Ketulusan dan keterbukaan sikap rakyat Malaysia hidup dalam kesatuan tiga kelompok berbeza bangsa sering menjadi buah mulut masyarakat seantero dunia yang kagum dengan perpaduan yang dikecapi. Teras perpaduan ini adalah komponen-komponen asas yang menguatkan semangat bersatu padu dalam kalangan rakyat berbilang kaum. Teras perpaduan ini didokongi oleh nilai-nilai murni yang seharusnya mendasari cara hidup rakyat Malaysia. Teras perpaduan yang diterapkan iaitu penerimaan. Konsep penerimaan dan toleransi adalah dua perkara yang berbeza sama ada daripada ungkapan mahupun pelaksanaan. Penerimaan akan memperlihatkan perlakuan yang positif iaitu dengan menerima sepenuhnya sesuatu perkara dengan hati yang ikhlas tanpa ada unsur-unsur terpaksa. Manakala toleransi pula berlaku kerana tiada pilihan lain atau secara terpaksa. Perlakuan atau sikap toleransi berlaku apabila sesuatu pihak tiada pilihan dan kadangkala diterima dengan tidak jujur. Malaysia memerlukan rakyat yang dapat menerima apa sahaja perkara baik dan mendapat persetujuan secara kesepakatan. Penerimaan semua kaum mendapatkan apa yang terbaik amat diperlukan bagi membina sebuah negara bangsa. Justeru, perkara-perkara yang terbaik daripada kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain perlu diterima pakai serta mendapat penerimaan daripada masyarakat negara ini.
Tuntasnya, konsep satu Malaysia akan membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalinkan perpaduan yang lebih erat sebagaimana kehendak prinsip Rukun Negara. Melalui konsep 1 Malaysia ini tidak akan wujud perasaan tidak berpuas hati kepada mana-mana kaum kerana semua rakyat adalah bangsa Malaysia dan rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan cita rasa untuk bersama-sama memajukan negara. Rakyat perlu menumpahkan sepenuh kesetiaan kepada negara sebagaimana setianya Hang Tuah kepada sultan. Kerajaan khususnya perlu menagih komitmen dan pengertian
menyeluruh semua pihak terhadap kepentingan perpaduan negara dan peranan gagasan 1 Malaysia dalam membantu merealisasikan impian dalam membentuk sebuah negara bangsa. Keharmonian negara yang dikecapi dan keamanan menyirup udara segar hasil kemerdekaan perlu dikekalkan supaya keaman dan perpaduan ini tetap berterusan hingga generasi akan datang. Mantan Perdana Menteri Indonesia ada menyatakan, “jika ingin melihat generasi pada masa akan datang, lihatlah generasi pada hari ini.
Semangat Patriotik Pada zaman atom ini, sifat mementingkan kebendaan dan diri sendiri telah biasa diamalkan dalam kalangan masyarakat. Tidak kurang sikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing terutama di kawasan bandar. Generasi muda kini pula kurang bersikap patriotik. Budaya barat diagung-agungkan manakala nilai cinta akan tanah air sendiri diketepikan. Semangat patriotik memang harus diamalkan dalam jiwa rakyat negara ini semenjak mereka kanak-kanak lagi. Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kanak-kanak harus didedahkan kepada nilai cinta akan negara dan sifat-sifat patriotik. Mereka perlu disedarkan bahawa kepentingan semangat patriotisme. Ibu bapa harus mendidik mereka tentang sejarah kemerdekaan negara dan kepahlawanan tokoh-tokoh terkenal yang berjuang demi tanah air. Kanak-kanak akan ingat pada pengajaran dan ikut kata ibu bapa. Sikap yang diamalkan semasa kecil biasanya akan kekal hingga dewasa. Semangat patrotik yang disemaikan dalam jiwa bakal pemimpin negara turut akan diingati dan dipraktikkan oleh mereka pada masa hadapan. Bapa borek anak rintik. Ibu bapa wajar menjadi teladan kepada kanak-kanak. Mereka harus menerapkan semangat patriotik dalam kehidupan. Kanak-kanak yang cepat belajar daripada ibu bapa akan mengikut jejak mereka dengan mengamalkan semangat patriotik . Secara tidak langsung, perbuatan membelot negara akan dikeji dan lahirlah keinginan rakyat untuk memberi sumbangan untuk kepada negara. Dengan semangat itu, negara kita dapat membangun dengan pesat dan menjadi negara maju. Selain itu, pengaruh guru turut beperanan penting dalam usaha menyemai semangat patriotik dalam jiwa rakyat negara ini semenjak kanak-kanak. guru-guru yang mengajar di sekolah patut menekankan unsur-unsur patriotik terutamanya dalam mata pelajaran Sejarah dan Pendidikan Moral. Mereka perlu mendorong kanak-kanak lahir perasaan bangga dan syukur terhadap negara serta cinta akan negara. Mereka perlu mendedahkan amalan yang mengandungi unsur patriotisme kepada kanak-kanak. Maka wujud patriotisme dalam pembentukan sahsiah insaninsan mulia.
Pihak berkuasa juga boleh mengambil beberapa langkah untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan kanak-kanak. Pelbagai pertandingan boleh dianjurkan sempena bulan penghayatan merdeka. Misalnya, pertandingan menulis esei berkaitan dengan tokoh yang mempertahankan negara, pertandingan kolaj dengan topik merdeka atau sejarah, pertandingan kolaj dengan bertemakan topik merdeka atau sejarah, pertandingan melukis dengan bertemakan "negaraku" dan lain-lain lagi. Secara tidak langsung semangat patriotik dapat disemaikan dalam jiwa kanakkanak semasa mereka mengambil bahagian dalam pertandingan yang diadakan. Jika semangat patriotik tidak disemaikan dalam jiwa rakyat negara ini semenjak mereka kanak-kanak, kemungkinan mereka akan kurang perhatian terhadap isu-isu negara dan tidak mempunyai sifat-sifat patriotik. Mereka akan mengagung-agungkan budaya luar negara serta kurang kesedaran untuk mempertahankan maruah negara. Sebaliknya, mereka akan terpikat oleh dunia di luar dan meninggalkan tanah air demi kepentingan negara sendiri dan tidak mahu melakukan perbuatan tidak setia kepada negara seperti mambakar bendera negara. Kesimpulannya, semangat patriotik mesti disemaikan dalam jiwa rakyat negara ini semenjak mereka kanak-kanak. Demikianlah perbuatan derhaka dapat dicegahkan dan kukuh semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Maka wawasan 2020 dapat dicapai dan Malaysia akan menjadi negara gemilang. Rasa bangga sebagai warganegara Malaysia semasa Jalur Gemilang dikibarkan.
Langkah-langkah untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat lebih berkesan sekiranya dimulakan dari rumah Terdapat peribahasa Melayu yang berbunyi ,"bulat air kerana pembentung , bulat manusia kerana muafakat ". Semangat perpaduan berperanan signifikan dalam usaha melahirkan masyarakat yang bermuafakat dan menyemarakkan semangat integrasi nasional dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum selaras inspirasi "Satu Malaysia". Walau bagaimanapun , alangkah kecewanya melihat semangat yang murni ini kian hari kian di telan dek kemodenan dan diabaikan oleh generasi muda mutahir ini . Untuk mengelakkan semangat perpaduan daripada terkubur begitu sahaja , institusi keluarga memainkan peranan vital untuk menyuntik semangat perpaduan yang luhur dalam sanubari generasi muda yang merupakan bakal pelapis kepimpinan tanah air. Setelah meneliti dan mengkaji sehingga ke akar umbi , teladan ibu bapa atau lebih dikenali sebagai "role model" merupakan uslub primer yang efektif dan pragmatik untuk menyemai semangat solidariti dalam kalangan anak-anak. Dalam konteks ini , ibu bapa wajar menunjukkan suri teladan yang baik dengan menjalinkan
perhubungan yang yang erat dan karib dengan jiran tetangga. Sempena sambutan perayaan , ibu bapa haruslah mengadakan majlis rumah terbuka . Secara tidak langsung , amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan jiran tetangga setempat. Justeru, perpaduan akan bertambah utuh dan teguh . Di samping itu , memang tidak dinafikan bahawa ibu bapa turut berperanan penting dalam mengajar anak-anak mereka menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara serta menghormati adat istiadat kaum-kaum lain dengan penuh berdedikasi. Pada realitinya , ibu bapa haruslah memastikan generasi muda berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Rukun Negara untuk melahirkan masyarakat yang bersatu-padu dan harmoni dalam pelbagai aspek. Bertitik tolak daripada itu , ibu bapa turut bertanggungjawab memastikan anak-anak mereka memahami dan menghormati adat istiadat , pantang larang serta kebudayaan pelbagai kaum di Malaysia demi mengelakkan konflik antara kaum . Selain itu , semangat mahmudah yang jitu ini turut mampu diterap dalam jiwa generasi muda melalui dorongan yang diberi oleh anak-anak mereka untuk menyertai aktiviti-aktiviti yang dapat mengukuhkan perpaduan antara kaum di sekolah seperti PLKN , RIMUP dan sebagainya. Maka , program-program khas yang diwujudkan untuk remaja ini amatlah efektif dalam menjana peluang untuk mewujudkan interaksi antara generasi muda. Strategi serampang dua mata ini bukan sahaja dapat menyemai semangat perpaduan dalam kalangan remaja malahan mampu menyemarakkan semangat patriotisme mereka , bak kata pepatah "sambil menyelam minum air". Bukan itu sahaja , langkah bercerita tentang susur galur sejarah bangsa Malaysia kepada anak-anak juga merupakan satu minhaj yang ideal diambil oleh ibu bapa. Ibu bapa perlu menekankan bahawa kemerdekaan tanah air kita yang dicapai hari ini adalah berkat perjuangan semua kaum dan semua anak watan wajib menghargai titik peluh bekas pemimpin kita yang tidak ternilai ini. Sebagai analoginya , generasi muda yang umur baru setahun jagung , darah baru setampuk pinang tidak akan terlalu taksud dengan kenikmatan materialistik sehingga hidup dalam kepompong sendiri dan mengambil enteng tentang kepentingan mewujudkan perpaduan dalam tanah air sendiri . Seterusnya, ibu bapa juga perlulah menggalakkan anak-anak mereka menonton filem , drama dan iklan yang bertemakan perpaduan antara kaum. Statistik yang sahih telah menunjukkan filem-filem ini memang jauh lebih efektif dan berkesan berbanding dengan bahan bertulis kerana persembahan media elektronik lebih menarik , kreatif dan inovatif. Maka , pelbagai iktibar dan pengajaran dapat diperoleh oleh generasi muda melalui persembahan-persembahan elektronik ini . Rentetan itu, wujudlah garis panduan yang berladaskan segala iktibar dan pengajaran yang diperolehi oleh generasi muda untuk mengecapi perpaduan dan keharmonian .
Seperti yang terkandung dalam pepatah Melayu "bersatu kita teguh, bercerai kita roboh", semangat perpaduan yang menjadi panduan hidup anak watan merupakan inti kepada pembentukan masyarakat sakinat dan harmoni. Untuk merealisasikan matlamat ini , iaitu membentuk masyarakat sakinat dan mengecapi perpaduan antara kaum , segenap lapisan masyarakat sayugialah bersinergi bagai aur dengan tebing dan jangan sekali-kali bernafsi-nafsi bagai enau dalam belukar ,melepaskan pucuk masing-masing . sebagai intihanya , iltizam dan komitmen masyarakat amatlah vital dan berperanan signifikan .